“Saya yang singgah di R & R sekejap. Saya nak mandi, solat dan makan
sekali. Sudahlah saya tertinggal maghrib tadi.” Muaz terus mengubah
tajuk. Dia sebenarnya tidak mahu bersoal jawab dengan Shakira sekirnya
gadis itu bertanyakan tentang dirinya.
Shakira akhirnya mengangguk setuju. Dia kemudiannya merasa serba-salah
kerana mencampuri urusan peribadi majikannya itu. Shakira turun dari
kereta dan turut menunaikan solat. Usai solat dia kemudiannya membeli
makanan untuk dirinya dan juga Muaz tanda terima kasih yang tidak
terhingga untuk majikannya. Dia kemudiannya pulang ke kereta untuk
menantikan Muaz .
Penantian Shakira berakhir apabila melihatkan kelibat Muaz yang sudah
pun menukar baju. Ah, orang lelaki memang senang dan sempoi je. Kali ini
Muaz agak lebih santai dengan memakai t-shirt dan berseluar jeans. Yang
jelas Muaz lebih tampak kacak. Sepanjang perjalanan Shakira lebih
banyak membisu. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut tentang apa yang
berlaku memandangkan Muaz sendiri tidak selesa dengan pertanyaanya.
“Macam mana dengan kaki awak? Dah okey dah?” Muaz bertanya memecah
kesunyian malam. Sudahlah jalan sesak. Melayani lagu hari raya yang
kerap berkumandang di corong radio membuatkan Muaz kian tidak selesa.
Dan penyelesaianya dia cuba untuk berbual dengan Shakira .
“Dah okey dah. Kurang sikit masa saya letakkan minyak panas tadi.”
“Kalau tak okey saya hantarkan pergi klinik.”
“Tak mengapalah Encik Muaz . Saya dah okey dah.” Tolak Shakira . Sudahlah
Muaz mempelawanya untuk hantar pulang ke kampung. Itu pun sudah cukup
untuk dia berterima kasih.
“Sekarang memanglah tak sakit. Esok baru terasa.” Shakira memandang
kepada Muaz yang luar biasa tindakannya.
“Tak apa…. Saya okey. Encik Muaz hantarkan saya balik ni pun dah cukup.
Tak payahlah susah-susah.” Tolak Shakira .
“Saya yang langgar awak. Dan sudah jadi tanggungjawab saya untuk
pastikan awak selamat.” Ujar Muaz . Shakira diam. Memang dia masih
terasa sakit di kakinya tetapi dia yakin semuanya itu tidak lama. Namun
apa yang penting pada ketika ini adalah dia ingin cepat sampai ke
kampung untuk bertemu dengan keluarganya.
Mereka kemudiannya sampai di Melaka tatkala jam menunjukkan ke angka
2.00 ekoran dari jalan yang agak sesak di lebuh raya . Muaz mula rasa
letih. Maklumlah…. Perjalanan yang biasanya 2 jam menjadi 5 jam memang
memenatkan. Namun dia perlu gagahi juga untuk dia pulang ke Kuala
Lumpur. Apa yang penting kini dia sudah pun menunaikan amanah yang telah
dijanjikan olehnya untuk pastikan yang Shakira selamat sampai di kampung.
Share this novel