“Bukan…. Saya memang seronok di sini. Tapi…. Shakira tahu mengapa saya
berhari raya di luar negara selama sepuluh tahun ini?” Shakira senyap.
Menantikan bicara lanjut dari Muaz .
“Ibu menyayangi saya dengan menatang minyak yang penuh. Berkongsi
kegembiraan dan juga kedukaan saya. Saat saya dahagakan lagi
kasih-sayangnya, Allah telah menjemputnya di malam aidilfitri kerana
barah yang dihadapinya. Semenjak dari itu, setiap malam raya saya akan
memikirkannya. Saya keluar negara untuk tidak memikirkannya.” Shakira
menghampiri Muaz . Minyak wangi berjenama polo menerawang mencecah
hujung hidungnya.
“Encik Muaz bukan melupakan masalah, tetapi Encik Muaz ingin melarikan
diri dari masalah. Encik Muaz beruntung kerana sudah tahu akan
pemergiannya. Saya, kehilangan ayah saat kami adik-beradik perlukan
kasih-sayangnya. Di malam raya juga ayah terlibat kemalangan jalan raya
semasa ingin ke masjid. Dengan keadaan kami adik-beradik yang ramai,
saya terpaksa mengharungi cabaran itu. Setiap yang hidup perlu teruskan
kehidupan. Lagi pun Encik Muaz punyai ayah.”
“Saya buntu Shakira .”
“Masih belum terlambat, Encik Muaz . Encik Muaz mempunyai ayah yang
perlukan kasih sayang dari seorang anaknya. Dan Encik Muaz perlu
mengambil kesempatan ini sebelum dia pula yang meninggalkan kita. Kita
tidak tahu akan ajal kita yang akan menjemput. Saya yakin dengan Encik
Muaz . Encik Muaz boleh lakukan.”
Muaz terdiam mendengarkan kata-kata Shakira yang begitu menusuk
hatinya. Dia memandang ke arah wajah Shakira yang tulus dan jujur itu.
Shakira akhirnya meninggalkan Muaz sendirian untuk melayani
perasaannya. Angin malam membuatkan Muaz meninggalkan jendela itu
bersama-sama dengan kenangan lama. Keriuhan adik-adik Shakira membantu
menyusun kuih raya membuatkan dia terhibur. Dia melepaskan satu keluhan
beban yang selama ini bersarang di dalam hati dan mala mini dia
benar-benar terasa lapang.
Azan subuh mula berkumandang dan kemudiannya disusuli dengan takbir raya
yang sayup kedengaran. Muaz segera bangkit dan terus ke bilik air.
Setelah mandi sunat aidilfitri wajahnya tulus disimbahi dengan air
wudu’. Meminta keberkatan dan keinsafan di hari mulia, air mata Muaz
mula tumpah. Setelah sepuluh tahun dia melarikan diri, inilah kali
pertama dia berhari raya di tanah airnya sendiri. Setelah siap sedia dia
terus menuju ke masjid bersama-sama dengan Sukri dan adik-beradik
Shakira yang lain untuk menunaikan sunat aidilfitri. Betapa dia gembira
dan seronok apabila melihatkan ramai umat islam yang berlumba-lumba
untuk ke masjid. Masing-masing semuanya berbaju baru dan berwarna-warni.
Share this novel