Muaz memerhatikan gelagat orang ramai yang sedang beratur membeli
juadah untuk berbuka nanti. Baazar ramadhan yang menyediakan pelbagai
menu juadah membuatkan Muaz mula rambang mata. Kalau boleh semua yang
tersenarai di anak tekak ingin dibelinya. Namun memandangkan dia cuma
dua ‘mulut’ terpaksa juga dia buat short list. Apa yang benar-benar yang
ingin dirasa. Pak Ishak masih lagi mengikut Muaz dari belakang. Dia
juga turut rambang mata. Namun murtabak yang berada di tangan di kirinya
adalah juadah wajib untuk dia berbuka.
“Pak Ishak, nak makan apa ni?” Tanya Muaz sambil memandang ke arah
tepung pelita yang menggamit seleranya.
“Terpulanglah pada Encik Muaz nak makan apa. Kuih tu pun nampak macam
sedap je.” Ujar Pak Ishak.
“Kak, minta kuih tu empat ringgit.” Muaz menundingkan jarinya ke arah
kuih Tepung Pelita.
“Banyak sangat tu Encik Muaz . Nak buat apa?” Tanya Pak Ishak
kehairanan. Muaz tersenyum dan lantas memandang kepada Pak Ishak.
“Pak Ishak bawak balik rumah separuh.” Ujar Muaz .
“Eh, tak payalah susah-susah. Pak Ishak makan murtabak ni pun dah cukup.
Lagi pun Mak Mah kamu dah masak nasi kat rumah tu.” Tolak Pak Ishak lembut.
“Ala…. Ambik jelah Pak Ishak. Bawakan untuk Mak Mah. Mana tau dia
teringin nak makan kuih ni.” Pak Ishak merasa serba-salah. Akhirnya dia
mengalah.
“Yelah….” Pak Ishak menyambut kuih dari tangan Muaz . Bak kata orang
rezeki jangan ditolak dan musuh jangan pula dicari.
Akhirnya Muaz tiba di rumah jam 700 malam dan masih lagi berbaki 20
minit sebelum umat islam berbuka puasa. Pak Ishak pula segera pulang ke
rumah setelah menghantar Muaz pulang. Kuih tepung pelita yang dibelikan
oleh Muaz dibawanya sekali. Muaz segera turun ke ruang makan setelah
masa kian menginjak waktu berbuka. Dia kelihatan santai dengan berbaju
t-shirt dan berkain pelikat. Muaz memberi salam kepada ayahnya, Dato’
Malik yang dari tadi menantikan Muaz untuk berbuka bersama-sama. Aroma
gulai ayam masak lemak cilia pi mula menjamah hidungnya yang agak
mancung itu. Dia melabuhkan punggung di hadapan Dato’ Malik dan segera
menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“Bila masa pulak Mak Mah masak ni. Nampak macam sedap je.” Tegur Muaz .
“Nampak sedap ye. Yang sebenarnya abah yang masak.” Muaz tegas
berpaling. Hah? Boleh percaya ke ni?
Share this novel