Berada di kelompok keluarga Muaz entah mengapa Muaz leka dengan
telatah adik-beradik Shakira . Ibarat seperti dia sudah lama kenal.
Begitu juga dengan ibu Shakira yang tidak kekok melayaninya. Namun hanya
satu persoalan yang bersarang di dalam fikirannya. Di manakah ayah Shakira ?
Usai bersembahyang subuh Shakira menghantar Muaz sehingga di pintu
rumah. Melihatkan Muaz yang sudah bersiap sedia untuk pulang ke Kuala
Lumpur membuatkan hati Shakira bagai diulit seribu perasaan. Kenangan
semalam kian menerjah di kotak fikirannya. Dan selepas ini sudah tentu
dia tidak akan bertemu dengan majikannya itu. Kalau ada pun mungkin dari
kejauhan sahaja.
Muaz masuk ke perut kereta dan segera menghidupkan enjin kereta. Namun
sudah puas dia memulas kunci keretanya namun senyap dan sunyi. Pelik!
Semalam okey je. Keretanya masih lagi tidak mahu hidup. Dia kemudianya
keluar dari kereta dan melihat keadaan enjin keretanya. Dia menggarukan
kepalanya yang tidak gatal. Macam mana dia ingin pulang ke Kuala Lumpur
kalau keretanya meragam?
“Kenapa Encik Muaz ?” Shakira berlalu menuju ke arah Muaz yang sudah
mula berputus asa.
“Entahlah. Kereta ni meragamlah pulak.” Shakira tersenyum.
“Mungkin Encik Muaz kena beraya kat sini kot? Mana nak cari mekanik
sekarang ni.” Muaz mengeluh sekali. Dia tidak tahu apa yang perlu
dilakukan sekarang ini. Halijah yang berada di dalam bilik setelah
bersembahyang subuh turut keluar untuk melihat Muaz yang ingin pulang
ke Kuala Lumpur. Namun dia melihatkan Muaz masih lagi setia di kereta
sambil riak wajah yang bermasalah.
“Kenapa Shakira ?”
“Ini mak…. Kereta Encik Muaz ni…. Segan nak hidup.” Ujar Shakira
melawak. Semenjak semalam dia tidak pun melihat segaris senyuman dari
bibir majikannya itu.
“Nampaknya Muaz kena beraya dengan kami. Lagi pun Shakira kata Muaz
tak ada kampung nak beraya. Apa salah beraya dengan kami. Boleh merasa
raya dikampung. Dah alang-alang sampai sini. Lagi pun esok dah
raya.”Kali ini Puan Halijah pula yang mempelawa. Muaz memandang wajah
Shakira dan Puan Halijah dengan silih berganti. Bagaimana harus dia
memberitahu bahawa dia sedikit pun tidak membuat persiapan.
“Maafkan saya, makcik. Lagi pun saya tak buat sebarang persiapan pun.
Baju raya pun saya tak beli. Seganlah saya makcik. Tak apa. Nanti
matahari naik saya cuba cari mekanik.” Ujar Muaz .
“Alasan saja tu mak. Mustahil Encik Muaz tidak beli sebarang persiapan
untuk hari raya?” Muaz menggeleng. Shakira tersenyum lagi.
“Masih belum terlambat lagi, Encik Muaz . Nanti saya minta tolong adik
saya Sukri temankan Encik Muaz beli semua tu. Lagi pun ada banyak
barang nak beli. Nanti boleh beli baju melayu.”
“Tapi…”
“Tak payah nak bertapi lagi, Muaz . Besar tapak tangan nyiru kami
tadahkan. Dah, masuk. Banyak kerja nak buat ni. Nanti boleh tolong kami.”
Share this novel