Selesai bersembahyang sunat aidilfitri, Muaz bertekad untuk pulang ke
Kuala Lumpur dan akan menyambut hari raya bersama-sama dengan ayahnya.
“Assalamualikum….” Muaz melangkah masuk ke dalam rumah sambil membuka
songkok. Dia begitu kacak dengan mengenakan baju melayu hijau cekak
musang. Namun langkah Muaz terhenti apabila dia mengenali wajah yang
sedang duduk di ruang tamu.
“Ayah?” Muaz terus memeluk Dato’ Malik dengan erat. Air mata Muaz
mengalir. Sayu dan terharu.
“Maafkan Muaz , ayah. Selama ini Muaz banyak mengguriskan hati ayah.”
“Al-hamdulillah…. Hasrat ayah untuk berhari raya dengan Muaz tahun ini
termakbul.”
“Tapi…. Macam mana ayah tahu yang Muaz ada kat sini?”
“Tu… Shakira yang beritahu. Kalau dia tak ada, mungkin ayah ingat kamu
di Switzeland.” Muaz berpaling kepada Shakira yang sedondon dengannya.
Detik hati Muaz bagaikan terhentik apabila melihatkan Shakira yang
melemparkan senyuman.
“Saya minta maaf pada Encik Muaz kalau saya membuat keputusan tanpa
bertanya lagi. Niat saya adalah ikhlas, untuk melihat Encik Muaz
berhari raya dengan keluarga sendiri sebelum terlambat. Betapa indah
jika keluarga berada di samping kita saat ini.” Sekali lagi Muaz kagum
dengan kata-kata Shakira itu.
“Tidak…. Sebenarnya saya yang perlu mengucapkan terima kasih yang tidak
terhingga kerana menyedarkan saya. Memberikan nasihat dan kekuatan yang
selama ini saya lemah. Terima kasih, Shakira .” Berbunga hati Shakira
mendengarkan butir bicara dari Muaz itu. Memang niatnya untuk
menyatukan kedua beranak itu.
“Nasib baiklah kampung Pak Ishak kamu ni sebelah je. Malam tadi Shakira
telefon ayah. Beritahu kamu di mana. Ayah telefon kamu, tak berangkat.”
“Maaf ayah. Telefon Muaz tertinggal di pejabat. Kalut masa nak balik
tempoh hari. Mungkin ada hikmahnya apa yang telah berlaku untuk dua tiga
hari ini, ayah.” Muaz sedar jika tidak dia tertinggal telefon,
terlanggar Shakira dan keretanya rosak mungkin dia tidak dapat menikmati
hari raya yang penuh bermakna seperti sekarang ini.
“Tahun depan nak beraya di mana?” Saja Dato’ Malik ingin menduga anak
terunanya. Muaz tersenyum dan lantas mengerling kepada Shakira .
“Saya dah ada kampung.” Tegas Muaz megah.
Share this novel