angin malam bertiup lembut di perkampungan itu, membawa haruman hutan dan desiran daun yang bergeseran sesama sendiri. Namun, suasana yang damai bertukar mendebarkan apabila sekumpulan bayang-bayang muncul di kejauhan.
"Kau tengok sana, Megat," bisik Putera Elias sambil memandang seorang gadis yang duduk di hadapan khemahnya. "Puteri Mayang Mengurai akhirnya tiba di kawasan kita. Lebih dari 10,120 purnama,(843 tahun) beta menunggu kesayangan beta! Sekarang, beta mahu kamu tangkap Puteri Mayang Mengurai dan kurung dia di istana beta!"
Megat menjeling ke arah khemah Maya dan menghela nafas. "Ampun Tuanku, nak menangkap Puteri itu bukan masalah, tetapi Tengku tak nampak dua pengawal peribadinya? Wan Limah dan Awang bukan calang-calang orang."
Putera Elias tersenyum sinis. "Kuasa beta lebih hebat dari mereka berdua."
Dia mengeluarkan uncang kecil berisi serbuk mistik. Dengan bibir yang berkomat-kamit membaca jampi, dia meniupkan debu itu ke arah khemah Maya. Dalam sekelip mata, Maya merasa kulitnya gatal-gatal dan tanpa sedar, dia menanggalkan cincin yang tersemat di jarinya.
"Tidak!" bisik Wan Limah, wajahnya berubah cemas. "Cincin itu pelindungnya!"
Tiba-tiba, Wan Limah dan Awang melayang-layang di udara, tubuh mereka kehilangan kawalan seperti boneka tanpa tali. Megat segera mengambil peluang, melangkah ke hadapan dan mendukung Maya yang masih terpinga-pinga.
"Lepaskan aku!" jerit Maya, cuba meronta, namun tubuhnya terasa lemah.
Sebelum dia sempat melawan, dunia di sekelilingnya menjadi gelap.
Fajar baru menjelma ketika telefon di atas meja bergetar nyaring. Wan Zaki mengerutkan dahi sebelum menjawab panggilan.
"Apa Cikgu!Maya hilang?" Suaranya sedikit terkejut. "Baik, saya akan ke sana sekarang."
Munirah yang duduk berdekatan tersentak. "Apa? Kakak hilang? Macam mana boleh jadi macam ni?"
Wan Zaki menggeleng. "Abang tak tahu. Jom kita pergi ke tempat terakhir dia berada."
Di dalam hutan, Wan Limah dan Awang masih tergantung di udara, tetapi kini mereka perlahan-lahan turun ke Seorang kawan Maya membawa Cincin berpermata merah irubkepada seorang cikgu.
"Cikgu semalam saya nampak Maya pakai cincin ni, tadi saya jumpa cincin ni Dalam khemah Kami
JBAwang menoleh ke arah Wan Limah dengan wajah serius.
"Macam mana ni, Wan Limah?"
Wan Limah mengetap bibir. "Kita tunggu Wan Zaki. Hanya dia yang boleh bantu kita sekarang."
Maya tersedar apabila angin sejuk menyentuh kulitnya. Dia mengerjapkan mata beberapa kali, cuba memahami keadaan sekeliling.
Dia tidak lagi berada di dalam khemah.
Sebaliknya, bilik ini besar, dihiasi langsir sutera ungu dengan lampu-lampu minyak yang berkelip-kelip di dinding emas. Aroma gaharu memenuhi udara, mencetuskan perasaan aneh di dalam hatinya.
"Kakak di mana ni?" bisik Maya, tubuhnya menggigil ketakutan.
Pintu kamar terbuka perlahan, dan seorang dayang berpakaian indah melangkah masuk sambil menundukkan kepala. "Tuan Puteri sudah bangun."
"Puteri?" Maya menggeleng pantas. "Saya bukan puteri! Saya nak balik! Mana pintu keluar?"
Dayang itu menunduk lebih dalam, tidak berani membalas kata-kata Maya. Sebaliknya, dia hanya berkata lembut, "Tuan Puteri akan menghadap Tuanku Putera sebentar lagi."
Darah Maya berderau.
"Siapa tu?!"
Namun, dayang itu hanya tersenyum misteri sebelum berundur dan menutup pintu rapat.
Di tepi hutan yang sunyi, Wan Zaki memandang Wan Limah dengan penuh tanda tanya. "Wan Limah, siapa yang boleh bantu kita cari Maya?"
Wan Limah menarik nafas dalam, matanya menatap ke arah langit seakan mencari petunjuk. "Kita perlukan Farhana."
"Farhana?" dahi Wan Zaki berkerut. "Siapa dia?"
"Dia waris bidan istana. Hanya dia yang boleh menjejak keberadaan Maya kerana darah yang mengalir dalam tubuhnya bukan sembarangan," jawab Wan Limah tegas. "Dia cucu kepada "Tok Sari" Bidan Istana yang terakhir, satu-satunya pewaris yang masih memiliki ilmu perubatan dan mistik warisan istana lama."
Wan Zaki segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari nombor Farhana. Dengan jari yang sedikit menggigil, dia menekan butang panggilan.
"Helo, Farhana? Saya Wan Zaki."
Di hujung talian, suara lembut tetapi tegas menyambut. "Ya, saya Farhana. Ada apa, Wan Zaki?"
"Saya perlukan bantuan awak," kata Wan Zaki serius. "Anak sulung saya, Maya, hilang secara tiba-tiba. Kami yakin ini ada kaitan dengan perkara mistik."
Farhana terdiam seketika sebelum bersuara perlahan. "Di mana dia hilang?"
"Di kawasan khemah dekat hutan."
Farhana menarik nafas panjang. "Jika ini melibatkan unsur mistik, kita perlu bertindak segera. Saya akan ke sana sekarang."
Beberapa jam kemudian, Farhana tiba di kawasan khemah. Dia mengenakan baju kurung labuh berwarna hijau tua dengan selendang hitam, kelihatan tenang tetapi penuh dengan aura misteri.
"Tunjukkan kepada saya tempat terakhir Maya berada," katanya.
Wan Limah membawa Farhana ke kawasan khemah yang kini kosong. Farhana duduk bersila di tanah, tangannya mengusap permukaan bumi seolah-olah cuba membaca jejak yang tersisa.
Dia kemudian mengeluarkan sebuah bekas kecil dari begnya dan menaburkan sedikit serbuk putih ke tanah sambil membaca jampi dalam bahasa lama. Tiba-tiba, angin bertiup kencang, dan di hadapan mereka, bayangan samar-samar muncul—seperti pantulan kejadian yang telah berlaku pada malam sebelumnya.
Kelihatan Maya sedang duduk di khemahnya, sebelum tiba-tiba serbuk mistik ditiup ke arahnya. Mereka melihat jelas bagaimana Maya menjadi gatal, menanggalkan cincin, dan kemudian Megat membawanya pergi.
"Putera Elias..." bisik Farhana, matanya membulat.
"Awak kenal dia?" tanya Wan Zaki, terkejut.
Farhana mengangguk. "Dia bukan manusia biasa. Putera Elias berasal dari alam bunian. Dia sudah lama mencari Puteri Mayang Mengurai, dan sekarang dia yakin bahawa Maya adalah puteri yang dia tunggu selama ribuan purnama."
Wan Zaki menggenggam tangannya erat. "Jadi bagaimana kita nak selamatkan Maya?"
Farhana merenung ke dalam kegelapan hutan, matanya berkilat. "Kita perlu masuk ke istana Putera Elias. Tapi ia bukan sesuatu yang mudah... kerana hanya orang tertentu yang boleh memasuki alam bunian."
Suasana di tepi hutan semakin tegang. Wan Limah, Wan Zaki, dan Farhana masih berdiri mengelilingi kawasan khemah yang kini sunyi tanpa Maya.
"Masalahnya sekarang," kata Wan Zaki, "hanya orang tertentu boleh masuk ke alam bunian. Jadi siapa di antara kita yang boleh pergi?"
Sebelum sesiapa sempat bersuara, Awang melangkah ke hadapan. Matanya bersinar samar dalam kegelapan, wajahnya tenang tetapi penuh keyakinan.
"Aku akan pergi," katanya.
Wan Limah dan Wan Zaki berpandangan. "Awang, kau pasti?" soal Wan Zaki, sedikit ragu.
Awang mengangguk perlahan. "Aku bukan manusia biasa. Aku adalah saka pelindung keluarga kau, Wan Zaki."
Mata Wan Zaki membulat. "Apa maksud kau?"
"Darah keluargamu telah mengikat aku sebagai pelindung sejak beratus tahun dahulu," jawab Awang, suaranya mendatar tetapi penuh makna. "Sebab itu aku mampu bertahan apabila serbuk jampi Putera Elias mengenai aku. Sihir mereka tidak dapat menghapuskan aku sepenuhnya."
Farhana memandang Awang dengan penuh minat. "Kalau begitu, kau ada kelebihan yang kita perlukan."
"Tapi Awang," Wan Limah bersuara, "alam bunian bukan tempat biasa. Kalau kau masuk ke sana, tak mustahil kau akan terperangkap selamanya."
Awang tersenyum kecil. "Aku tak kisah. Maya perlu diselamatkan. Aku takkan biarkan dia menjadi tawanan Putera Elias."
Farhana mengangguk. "Baiklah. Aku boleh membuka pintu masuk ke istana bunian, tapi Awang, kau perlu berhati-hati. Jangan terpedaya dengan ilusi mereka."
Farhana duduk bersila di atas tanah, mengambil sebilah keris kecil dan mencalarkan hujung jarinya, membiarkan setitik darah menitis ke tanah. Serta-merta, angin berputar kencang di sekeliling mereka.
"Dengarlah wahai penjaga antara dunia, aku menyeru pintu yang tersembunyi. Tunjukkan jalan ke istana Putera Elias!"
Sebuah gerbang bercahaya muncul di hadapan mereka, bentuknya samar tetapi perlahan-lahan menjadi semakin nyata.
"Itulah pintu masuknya," bisik Farhana. "Tapi Awang, ingat satu perkara. Jangan makan atau minum apa-apa di alam bunian. Kalau kau melakukannya, kau takkan boleh kembali."
Awang mengangguk. Dia melangkah ke arah gerbang itu, tetapi sebelum dia masuk, dia menoleh ke belakang.
"Wan Zaki, kalau aku tak kembali… jaga diri."
Tanpa menunggu jawapan, Awang menyeberangi gerbang bercahaya itu—dan menghilang ke dalam kegelapan.
Di dalam istana yang megah, Maya berdiri di hadapan sebuah cermin besar yang dihiasi ukiran emas. Pakaian yang dikenakan kini bukan lagi baju biasa—tetapi gaun indah berwarna biru laut dengan sulaman halus yang berkilauan.
"Apa semua ini?" bisik Maya, hatinya berdegup kencang.
Pintu bilik terbuka, dan seorang lelaki melangkah masuk. Putera Elias.
"Tuan Puteri kelihatan sangat jelita," ucapnya dengan senyuman yang penuh misteri.
Maya menggeleng pantas. "Saya bukan puteri! Tolong benarkan saya pulang!"
Putera Elias mendekat, matanya redup tetapi tajam. "Puteri Mayang Mengurai, takdirmu bukan di dunia manusia. Kau adalah milik beta."
Air mata Maya mula mengalir. "Tidak… ini semua salah. Saya tak ingat apa-apa tentang dunia ini."
"Kau akan ingat," bisik Putera Elias. "Cepat atau lambat."
Di luar istana, Awang kini berdiri di hadapan pintu gerbang. Matanya merenung bangunan megah itu dengan tekad.
"Aku akan bawa kau pulang, Maya."
Share this novel