BAB 3

Drama Completed 823

"BUDAK KUDUNG!" jerit Haikal sebelum ketawa galak bersama kawan-kawannya.

Lisa tersentak. Pantas dia menundukkan wajah. Langkah dicepatkan. Dia
tidak sangka akan berjumpa dengan Haikal .

“Kenapa dik?” Inara menyoal. Pelik melihat perangai adiknya hari ini.
Selalunya apabila balik dari sekolah, banyak sahaja cerita yang akan
diceritakan oleh Lisa .

Lisa menggeleng.

“Ada orang buli ke?” soal Inara tidak berpuas hati. Dia menutup buku
sekolahnya. Tahun ini dia bakal mengambil peperiksaan UPSR. Jarang dia
berada di rumah kerana papa dan mamanya akan menghantarnya ke kelas
tambahan. Kebetulan hari ini kelas tambahan dibatalkan. Puan Kalsom dan
Encik Lufti masih tidak pulang dari kerja.

Sekali lagi Lisa menggeleng. Dia memerhatikan buku sekolahnya.
Perlahan-lahan air matanya menitik.

“Kenapa ni?” soal Ian pula. Dia yang sedang bersenang-lenang di atas
sofa sambil bermain PlayStation terkejut mendengar tangisan Lisa . Dia
sepatutnya ke kelas tambahan pada petang ini sama seperti Inara kerana dia
bakal menduduki SPM, tetapi kelasnya juga dibatalkan.

“Kenapa ni? Kak Inara buat adik ke?” Sekali lagi Ian menyoal sambil tajam
matanya merenung Inara .

"Bukanlah. Adik menangis tiba-tiba." Inara menafikan.

“Kenapa dik?” soal Ian lagi. Dia mendukung Lisa . Walaupun sudah
berusia sembilan tahun, tubuh Lisa kecil dan kurus sahaja. Ian pula
membesar dengan badan tegap dan tinggi, sama seperti papa mereka.

Lisa menyeka air matanya.

“Dah....” Ian memujuk. Rambut lurus Lisa diulus lembut. Semakin kuat
tangisan Lisa . Dia memeluk erat leher abangnya. Dia takut. Dia malu.
Sungguh besar rasanya beban yang dipikulnya selama ini. Hanya kerana
kekurangannya, dia selalu dipersendakan dan dipermainkan. Dia tidak
faham kenapa ini berlaku padanya sedangkan dia selalu berjanji pada papa
dan mamanya yang dia akan menjadi anak yang baik. Tetapi dia masih tiada
tangan. Bukan dia yang pinta lahir sebegini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan
kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah
yang manis (wajah ceria dan senyuman).” – Hadis Riwayat Muslim.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience