BAB 7

Drama Completed 823

"BUDAK KUDUNG!" Kuat sekali jeritan itu kedengaran.

Lisa tersentak. Lama sudah dia tidak mendengar ucapan tersebut. Pantas
matanya tajam merenung segenap pelosok sekolah. Namun tiada bayangan
orang kelihatan.

“Budak kudung!” Jeritan itu kedengaran lagi diikuti ketawa yang kuat.
Waktu persekolahan sudah tamat, tetapi dia tahu masih ada pelajar yang
masih belum pulang kerana mengikuti kelas tambahan atau kokurikulum.

Lisa melangkah pantas. Tajam telinganya mendengar bunyi ketawa
tersebut sebelum langkahnya mati. Dia berada di belakang kantin.
Beberapa pelajar yang lengkap berpakaian pendidikan jasmani berada di
belakang kantin.

“Kenapa ni?” Keras suara Lisa .

Mereka berpaling. Pucat wajah masing-masing sebelum berlari pantas
meninggalkan Lisa tanpa sempat ditahan. Lisa kenal mereka.
Kebanyakan mereka berada dalam tahun enam. Esok dia akan berjumpa guru
besar membincangkan hal ini. Gejala buli perlu dibendung dari awal
supaya tidak semakin parah.

“Hafnan ?” Terkejut Lisa .

Hafnan mendongak. Baju sekolahnya comot, daripada warna putih menjadi
warna coklat.

“Kenapa ni?”

Hafnan menggeleng. Dia cuba berdiri. Matanya merah.

“Jom,” ajak Lisa .

Hafnan menggeleng.

“Hafnan nak tunggu nenek,” beritahu Hafnan perlahan. Loghat bahasa Jepun
pekat sekali. Tetapi dia kagum kerana Hafnan mampu bertutur dalam bahasa
Melayu walaupun masih tersangkut. Mengajar bahasa Melayu menjadikan dia
sedar akan kelemahan Hafnan itu. Istimewanya Hafnan mampu mengeja dan
membaca dengan lancar sekali walaupun baru darjah satu.

“Kenapa tunggu kat sini?” soal Lisa .

“Abang tu tarik Hafnan sampai sini.” Serak suara Hafnan .

Lisa mengeluh. Dia mengambil beg sekolah Hafnan dan terus digalas. Dia
mencapai tangan kanan Hafnan sebelum mengajak Hafnan memulakan langkah
menuju ke tempat menunggu bas. Lambat sungguh nenek dan datuk Hafnan
menjemput cucu mereka ini.

“Hafnan okay?” risau Lisa . Dia duduk di sebelah Hafnan . Beberapa orang
pelajar yang masih belum pulang bermain di sekitar perhentian bas.
Sesekali mereka mencuri pandang tangan kiri Hafnan . Beberapa lama
kemudian, Hafnan menutup tangan kirinya dengan beg sekolahnya.

Lisa tersenyum. Pantas dia mengambil beg sekolah Hafnan dan diletakkan
di sebelahnya. Hafnan mendongak.

“Kenapa nak sorok? Ini keistimewaan Hafnan yang orang lain tak ada. Allah
jadikan Hafnan istimewa,” beritahu Lisa .

Hafnan tunduk. Dia malu.

“Hafnan benci tangan ni,” beritahunya perlahan.

Lisa tersentak. Terkejut sebenarnya dengan pengakuan Hafnan itu. Sudah
sebulan lebih Hafnan bersekolah. Tidak lama lagi cuti persekolahan akan
bermula.

“Kenapa?”

“Kenapa Hafnan tak ada tangan? Semua orang ada tangan.”

“Betul ke?”

Hafnan mengangguk yakin.

“Betul?” Lisa tersenyum. Dia menepuk lembut bahu Hafnan .

“Tengok ni.” Tunjuk Lisa dan terus menyinsing lengan baju sebelah
kanan. Mata Hafnan membesar. Dia terkejut.

“Cikgu?”

Lisa tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience