Teringat bagaimana Inara meraung apabila dimaklumkan berita kematian mama
dulu. Malangnya Inara tidak dapat balik. Mama pergi secara mengejut. Semua
bersedih dengan kematian mama. Raya tahun ini merupakan raya pertama
tanpa mama. Persiapan yang selama ini meriah agak suram. Tiada lagi
suara mama yang memerintah Lisa dan papanya mengemas rumah. Suram sekali.
“Tokki nak merajuklah,” balas Encik Lufti. Terus membuat muka.
Berkelip- kelip mata Iskandar . Tahun hadapan Iskandar bakal melangkah ke
tahun satu. Kasih sudah sarat mengandung anak kedua. Jauh sungguh
perbezaan usia Iskandar dan adiknya nanti. Sama seperti jarak usia Ian
yang jauh berbeza dengan Inara dan Lisa .
“Eee.. atok macam papa. Mainan pun nak berebut dengan Iskandar ,” balas
Iskandar . Mukanya nampak tidak puas hati. Dia kembali duduk di atas riba
Encik Lufti.
Ian ketawa besar. Memang dia selalu berebut mainan dengan Iskandar . Bukan
itu sahaja apabila dia melihat Iskandar seronok bermain game di Ipad,
sengaja dia cuba merampas Ipad tersebut. Dia sengaja mahu mengusik anaknya.
“Papa Iskandar tu tak sedar diri dah jadi orang tua. Nak berlagak macam
budak kecik,” ucap Encik Lufti. Dia memeluk tubuh Iskandar yang berisi.
“Kat Kuantan pukul berapa berbuka dik?” soal Kasih.
Berkerut dahi Lisa .
“Kalau tak silap… pukul 7.13 Kak Kasih. Papa kan?”
Encik Lufti mengangguk. Segala persiapan untuk berbuka sudah disediakan
Lisa . Banyak sekali juadah untuk berbuka pada hari ini. Hari terakhir
bulan Ramadan.
“Macam mana sekolah dik?” Ian duduk di sebelah Lisa . Bahu adiknya
dipeluk.
“Macam biasalah abang. Tapi semalam kelas Lisa ada budak baru masuk.
Budak tu istimewa.”
“Istimewa?” Berkerut dahi Ian tidak faham. Dia melepas pandang Kasih
yang turut mengangkat bahu. Encik Lufti hanya tersenyum. Dia faham
dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Lisa .
“Ni.” Tunjuk Lisa pada tangan kanannya.
“Macam adik juga?” soal Ian .
Lisa mengangguk. Terbayang wajah Hafnan Rifki.
“Abang terkejut sangat tu kenapa? Ramai lagi orang macam Lisa ni kan,”
balas Lisa tersenyum. Dia bersandar pada bahu abangnya. Lama sudah
tidak bermanja dengan Ian .
Share this novel