BAB 11

Romance Completed 3508

Najwa ketawa kemudiannya. Ketawa kuat yang sesekali berselang seli dengan tangisan.

“Sayang…” Maikel bangun daripada duduk lantas menghampiri Najwa. Bimbang perasaannya melihatkan emosi Najwa yang kian menjadi-jadi itu. Bahu Najwa disentuh lembut daripada belakang.

Najwa menjarakkan tubuhnya daripada Maikel. Sentuhan lembut Maikel di bahunya di tepis perlahan.

“Kenapa abang pilih Kak Mai…?” Pertanyaan Najwa kedengaran sayu.

Baru sahaja Maikel mahu membuka mulut menjawab, satu lagi soalan meluncur dibibir Najwa yang sedikit bergetar itu.

“Kenapa Kak Mai pilih abang dan bukannya Doktor Farish?” Soalan kedua itu diajukan pula kepada Maizura.

Maikel berusaha meraih jemari Najwa untuk dikucup dalam usaha melembutkan hati wanita itu, namun Najwa pantas melarikan jemarinya. Semakin Maikel cuba mendekati, semakin Najwa menjarakkan dirinya sedikit demi sedikit.

“Kak Mai memang sukakan abang dari dulu lagi, sejak dari zaman universiti. Dia mula mendapat tempat di hati Kak Mai sejak dia terlibat dengan kerja-kerja mengubahsuai rumah keluarga Kak Mai tiga tahun yang lalu…” Maizura memulakan cerita sambil sesekali anak matanya melirik ke arah Maikel di satu sudut.

Najwa diam mendengar. Kering sudah air mata di pipinya. Pun begitu, genggaman kedua tangannya kemas seakan tergenggam bara dendam yang berapi.

“Abang yang goda Maizura. Abang pujuk Maizura terima abang sebagai suami. Abang cakap, abang teringin sangat nakkan anak dan mak pula sudah tidak sabar-sabar mahu menimang cucu.” Maikel pula meneruskan cerita Maizura.

“Kak Mai terima abang bila melihat ketulusan abang nak memperisterikan kak Mai. Pujukkan mak agar Kak Mai sudi jadi isteri kedua abang tambah menguatkan perasaan Kak Mai terhadap abang. Betul, Kak Mai bersalah. Masa tu, Kak Mai lupa Najwa adalah isteri abang. Kak Mai lupa, Najwa kawan baik Kak Mai, malah macam adik Kak Mai sendiri.” Suara Maizura sudah kedengaran sebak. Rasa bersalah menerjah kotak hatinya ketika itu memaksa air mata terus menerus terjun menyembah pipi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience