BAB 7

Romance Completed 3508

Memang benar dan Maikel akui sendiri, sepanjang mengenali Najwa sejak dari zaman percintaan mereka dan seterusnya mereka melanjutkan hubungan ke alam pertunangan lantas kemudian mendirikan mahligai rumah tangga atas ikatan pernikahan, tidak pernah sekalipun Najwa menduakannya atau dalam erti kata yang lain mempunyai hubungan dengan lelaki lain di belakangnya. Najwa pencinta yang setia!

“Abang yang salah sebab tak tahan sabar… abang lupa, Allah belum kurniakan rezeki seorang anak kepada kita mungkin kerana mahu menguji. Ternyata abang gagal dalam ujianNya.” Maikel bersuara dalam nada lirih dan wajahnya masih ditundukkan ke bawah. Bola matanya kian panas dan air jernih yang mula bertakung sedikit mengaburi pandangan lelaki itu.

Malu kepada Najwa kerana menduakan cinta sejati isterinya itu membuatkan Maikel segan untuk mengangkat wajahnya dan membalas renungan tajam Najwa. Pilu perasaan semakin bertambah-tambah apabila anak mata lelaki itu sempat terarah kepada tangan Najwa yang sedang mengusap perlahan perut memboyot di hadapan mata itu.

Maizura terduduk di sofa. Tangannya kejap merangkul kemas anak kecil yang sedang lena di pangkuan ketika itu. Wajah Maikel yang sedang berdiri di hadapannya terus ditatap lembut. Wajah lelaki itu sedikit kusut. Bola mata lelaki itu juga menunjukkan kesan bengkak, mungkin kerana menangis semalaman. Maikel menangis!

“Dia nampak kita makan malam bersama di sebuah restoran…” Beritahu Maikel dalam suara lemah.

“Malam minggu yang lepas agaknya?” Maizura bertanya dalam nada meneka. Seingat dia, kali terakhir mereka makan malam bersama adalah malam minggu yang lepas, itu pun kerana dia beria-ia mengajak Maikel makan malam di luar. Mungkin malam itu agaknya rahsia yang mereka simpan elok-elok selama ini terbongkar.

Maikel anggukkan kepala. Lelaki itu kemudian melabuhkan duduk di sofa sebelah Maizura dan kepalanya disandarkan ke belakang. Bola matanya dilemparkan jauh memandang entah ke mana. Maizura yang berada di sebelah lelaki itu mengeluh perlahan. Masalah yang rumit nampaknya kian menghimpit mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience