BAB 9

Romance Completed 3508

“Tapi Kak Mai, jangan kahwin dengan suami orang sudah lah!” Reda ketawa mereka, Najwa melanjutkan perbualan berbentuk pesanan.

Maizura diam. Gelaknya hilang serta merta ketika itu. Mujur tidak disedari Najwa akan perubahan raut wajahnya ketika itu.

“Najwa paling benci perempuan yang rampas hak perempuan lain. Orang bujang bukannya tak ada, suami orang juga yang mereka nak!” Najwa menyambung kemudian. Wajahnya berubah tegang. Beremosi pula!

“Najwa nak jumpa kita berdua malam ni…” Maikel memberitahu perlahan dalam suara yang masih kedengaran lemah. Maizura yang terbuai dalam kenangan lama kembali berpijak di bumi nyata. Wajah Maikel yang berada di sebelahnya di pandang sekejap.

Menemui Najwa malam nanti dan berhadapan dengan hakikat menyakitkan? Dia belum bersedia. Lebih-lebih lagi pada ketika Najwa sedang menanti masa untuk melahirkan bayi sulungnya. Bagi Maizura, masa untuk mereka berhadapan dengan perkara yang telah terbongkar itu belum sesuai lagi. Lebih baik menanti sekurang-kurangnya hingga Najwa selamat melahirkan nanti.

“Abang dah pujuk Najwa supaya tunggu sampai dia selamat lahirkan bayi kami dulu tapi Najwa enggan. Dia berkeras nak bertentang mata bersemuka dengan abang dan Mai malam ni juga…” Maikel memberitahu lagi.

Maizura kelu. Hilang kata-kata. Mindanya menerawang mencari bicara yang sesuai untuk berhadapan dengan Najwa malam nanti. Entah bahasa bagaimana yang terbaik boleh dia gunakan bagi memujuk jiwa Najwa yang telah dia dan Maikel sama-sama lukai itu.

“Najwa bukanlah manusia yang suka berpoligami…” Kata-kata Najwa suatu ketika dulu menguis cuping telinga Maizura.

“Kalau terpaksa?” Maizura menduga.

Najwa diam kemudiannya. Tiada sebarang jawapan pun yang meluncur daripada ulas bibir wanita yang menghampiri usia awal 30-an itu.

Maizura duduk bersimpuh, sedikit jauh daripada Maikel dan Najwa yang masing-masing duduk bersebelahan. Wanita itu tunduk merenung lantai, lama, hinggakan bola matanya yang jernih berubah kabur berkaca-kaca menandakan air jernih bakal jatuh ke pipi bila-bila masa sahaja lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience