BAB 10

Romance Completed 3508

“Kak Mai tak ada apa-apa nak cakap dengan Najwa ?” Najwa memulakan bicara setelah suasana bisu mengisi ruang mereka bertiga buat beberapa minit.

Maizura diam. Apa nak cakap? Memohon maaf? Mampukah Najwa memaafkannya dengan hati terbuka sekaligus menerima dengan redha apa yang telah berlaku? Sudah Najwa katakan kepadanya dulu, dia cukup benci akan wanita yang merampas kebahagiaan wanita lain. Kenyataan itu sekaligus membuktikan Najwa pasti sudah membenci dirinya yang bergelar perampas ketika ini.

“Kak Mai?” Najwa memanggil sekali lagi. Tegas kedengaran.

Maizura beranikan diri mengangkat wajahnya. Pandangan wajah Najwa yang tajam mencerlung terarah kepada anak matanya dibalas.

“Akak minta maaf, Najwa …” Hanya itu ungkapan pertama yang meniti di bibir Maizura. Air mata terus jatuh ke pipi kemudiannya.

Najwa tergelak. Gelak sinis. Itu yang Maizura perhatikan menerusi anak matanya. Wajah kecewa wanita itu memang ketara nampak.

“Kalau Najwa maafkan Kak Mai, bolehkah kembalikan masa bahagia Najwa dengan abang macam dulu? Bolehkah kembalikan Kak Mai yang Najwa percaya macam dulu dan, bolehkah kembalikan ketenangan Najwa ?” Air mata Najwa pula yang luruh ke pipi. Setitis, setitis lagi dan kemudian jadi lebat selebat air hujan yang menggila membasahi bumi di luar sana.

Maizura diam. Maikel sama seperti tadi. Membisu seolah-olah hilang terus kata-kata untuk diungkapkan bagi melembutkan hati Najwa yang sedang berperang hebat menahan kesakitan itu.

“Bolehkah abang kembalikan Maikel yang Najwa percayakan sebelum ini? Bolehkah abang kembalikan cinta yang Najwa pelihara selama ini?” Najwa beralih pula kepada Maikel. Lelaki itu juga sama seperti Maizura. Hanya menundukkan wajah. Membisu tanpa kata. Lagak manusia-manusia bersalah yang menanti untuk di jatuhi hukuman, begitulah mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience