Satu malam, Junaidi balik dari surau selepas berjalan kaki kerana motor yang selalu digunakannya meragam pula tak mahu dihidupan ketika dia mahu berangkat ke surau.
Kalau bercuti ke kampung memang dia selesa menunggang motosikal ke mana-mana. Sudah rutinnya ketika di kampung memang begitu. Lagi pun jika dipandu kereta, mungkin dia tak dapat menegur orang kampung yang ditemuinya.
Sudahnya dia balik seorang diri malam itu sambil berjalan kaki. Mujur saja jarak surau dan rumahnya tidaklah jauh mana. Tak sampai satu kilometer pun.
Dalam perjalanan itu, dia ternampak kawan lamanya di kampung.
Junaidi memerhatikan Saleh dari atas hingga ke bawah.. Ada perubahan ketara pada sahabatnya. Nampak berserabut, selekeh dan kakinya sedikit tempang.
"Apa kena dengan kau ni? Apasal kaki kau tu? Lagi satu aku tengok kau ni macam ada masalah je..." tegur Junaidi. Saleh kelihatan murung. Mukanya menunduk ke bawah. Mata pun macam tak terangkat.
"Aku memang ada masalah pun. Eh! kau ni nak terus balik rumah ke?" Saleh mengubah topik.
"Cadangnya gitulah !" balas Junaidi.
"Ala ! singgahlah rumah aku dulu! Aku dah lama tak borak dengan kau. Banyak benda aku nak cerita. Bukan senang aku nak jumpa kau!" pujuk Saleh lalu menarik tangan Junaidi, dan tanpa membantah, Junaidi mengikut sahaja.
Fikirnya apalah salah mengikut kawannya itu balik ke rumah untuk bersembang seketika sementelah mereka sudah lama tidak berjumpa. Kalau dia tak pulang ke kampung kerana cuti hari raya, pastinya mereka sukar nak bertembung pun.
"Tak apalah, malam ni aku temankan Saleh! Pagi esok aku balik la! Boleh terus siap untuk sembahyang raya !" kata Junaidi dalam hati.
Share this novel