BAB 4

Romance Completed 665

18 Januari

- Selamat Hari Jadi! Selamat Hari Jadi!…… cuma aku saja yang tidak
menjadi. Apa lagi yang aku cari. Kekosongan. Hati ini terlalu kosong
sehinggakan aku terasa bagaikan dipinggirkan oleh Tuhan. Tuhan terlalu
kejam kerana memisahkan aku dengan semua yang aku sayangi. Uda…Aku masih
menyayangimu. Maafkan Raykal , Uda!

Terlintas di dalam lubuk mindaku, kenangan semasa aku belajar di kampus.
Kenangan itu masih berlegar-legar dalam lubuk mindaku. Keakraban aku
dengan Raykal seringkali disalahertikan dan diperlekehkan oleh orang lain
kecuali mereka yang benar-benar mengenaliku. Setiapkali 18 Januari, kami
(aku dan adik-adik angkatku yang lain) seringkali meraikan hari jadinya.
Aku sememangnya begitu. Semua adik-adik angkatku seringkali mendapat
hadiah di kala hari jadi mereka. Aku seringkali menghadiahkan mereka
dengan buku ataupun pen sebagai tanda ingatan seorang abang. Kadangkala
hubungan aku dengan adik-adik angkatku yang lain seringkali mendatangkan
kecemburuan di kalangan kawan-kawan akrabku. Tetapi dalam ramai adik
angkatku itu, Raykal lah yang paling akrab denganku.

Entah kenapa, tetapi aku menyayanginya bagaikan aku dan Raykal adalah dua
badan tetapi mempunyai satu jiwa. Permulaan perkenalan kami sememangnya
tidak datang dengan perasaan yang suka. Aku mengenalinya apabila aku
bertindak sebagai Pengarah PINTAS (Program Induksi Pelajar Tahun Satu)
yang mana semua pelajar tahun satu akan diletakkan di bawah satu program
pengawasan. Akulah orang yang terlibat sebagai penggerak utama program
tersebut. Seramai 35 orang pelajar senior yang dipilih berdasarkan
penglibatan akademik dan kokurikulum akan mempunyai 20 orang pelajar
junior di bawah pengawasan masing-masing. Raykal adalah salah seorang
daripada 20 orang pelajar junior yang di tempatkan di bawah pengawasan
aku. Pada mulanya aku langsung tidak menyukai pelajar junior yang
bernama Raykal itu. Dengan gaya dan lagaknya yang kelihatan sombong,
seringkali mendatangkan masalah dalam perbincangan “Binding Group” kami.
Dia seringkali dengan lagak yang keterlaluan menyebabkan tidak ramai
yang ingin mendekatinya sehinggalah dipertengahan semester, semasa
perjumpaan ‘Binding Group” kami yang ke sepuluh. Dia tiba lewat dengan
muka yang masam mencuka. Sepanjang sessi perbincangan, langsung tiada
sebarang penglibatan daripadanya seperti selalu walaupun selama ini
penglibatannya lebih bersifatkan provokasi, namun hari itu, lidahnya
kelu dengan muka yang mencuka.

Selepas sahaja tamatnya sessi perbincangan, kesemua yang di dalam
‘binding group’ mula menyalami antara satu sama lain untuk beredar
pergi. Tampak di airmuka Raykal suatu ketidakikhlasan sewaktu bersalam
antara satu sama lain. Dia langsung tidak berganjak dari tempat
duduknya. Dia memandang aku bagaikan seekor harimau yang sedang kemarahan.

“Kenapa dengan adik ini? Sapaku agak lembut walaupun pada masa yang sama
hatiku sakit bila ditenung bagaikan seorang pesalah.

“Lain kali, aku tak nak join lagi aktiviti bodoh ni!” bentaknya

“Kenapa ni Dik? Kami tidak pernah pun paksa untuk adik join ‘binding
group’ ini. Kalau adik rasa tak nak join, tak payah le datang lain
kali,” balasku masih dalam mulut yang tersenyum manis. Hipokrit.

“Bohong! Lepas ni, kau mesti bagi report kat Pengetua Kolej, kemudian
aku pulak tak ditawarkan penginapan pada semester depan,” jerkahnya.

‘Pulak dah! Apa pula mamat seekor ni merepek?’ getus hati kecilku. Aku
cuba mendekati perasaan marahnya. Cuba dan terus mencuba memusnahkan
benteng kemarahannya itu dan akhirnya aku berjaya.

Sejak hari itulah aku mula mengenali Raykal dan sikapnya mula berubah
sedikit demi sedikit. Barulah aku kenali siapa Raykal yang sebenarnya.
Aku mula senang berkawan dengannya dan begitu juga dengannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience