#3 Catatan Rizal (Bahagian 1)

Romance Completed 2641

#3
Catatan Rizal (Bahagian 1)

Hujan masih lagi menimpakan bumi Kuala Lumpur ini. Rasanya masuk yang

kali ini, sudah 2 minggu hujan tidak pernah terlepas peluang untuk menitiskan airnya. Bila hujan, rasa yang dibawa hujan bergantung kepada hati yang memerhatikan hujan itu. Dan, apa yang aku rasa sekarang adalah perasaan sedih. Hujan berjaya menemankan aku untuk menjadi lebih sedih.

Ini sudah kali ke empat kau telefon dan memberitahu mahu datang bersama niat untuk berjumpa denganku (semestinya aku tidak angkat dan permintaan itu aku hanya dengar melalui peti suara). Itupun kalau aku kira untuk minggu ini sahaja. Rasanya, alasan yang aku selsema sudah tidak boleh dipakai lagi. Sebab akhirnya kau tinggalkan nota di pintu menyatakan kau akan menunggu di tempat pertama kali kita bertemu. Tak sampai hati aku nak biarkan kau terus keseorangan.

Segera, aku capai baju hujan dan payung bagi menghadapi hari yang tidak begitu menggembirakan hati mereka yang hendak melihat matahari. Sambil berjalan itu, aku berdoa pada Tuhan agar kau mengalah dan segera pulang ke rumahmu di Seremban sana.

Kali ini, doaku tidak dimakbulkan Tuhan.

Aku lihat kau sedang berdiri keseorangan di hadapan 7-11 sambil memegang payung berwarna biru. Aku boleh nampak dari gigil tubuh kau yang kau kesejukan akibat daripada baju yang basah kuyup. Ternyata, pakaianmu itu tidak mampu lagi memberikan kehangatan yang sepatutnya. Tidak. Aku tidak boleh lihat dia terus berkelakuan begini.

Segera, aku menghampiri.

Kau tersenyum tatkala melihat aku.

Aku enggan ambil peduli.

"Kau tak perlu jumpa aku lagi Sarah," ujar aku. Aku ujarkan juga tentangnbeberapa perkara yang aku reka supaya kita tidak lagi bertemu.

Senyuman kau masih ada. Terukir setia.

"Saya rindukan awak," ujar kau.

"Mari, aku hantarkan kau balik," ujar aku dengan suara paling dingin yang mampu aku buat.

Kami mula mahu berjalan meredah hujan. Kau tak membuka payung yang sedang kau pegang, dan aku tahu kau melakukannya kerana mahu berkongsi payung dengan aku.

"Bukaklah payung kau cepat. Kita dah lewat ni. Nanti takde train pulak," ujarku.

Dengan muka habis tak rela, kau membuka payung dan berjalan menuju ke kereta bersama aku.

Di dalam kereta, kau menyatakan yang kau masih belum makan semenjak dari pagi. Dan sekarang, jam sudah menunjukkan pukul 6 petang. Kau mengajak aku untuk menemankan kau makan di kedai makan berhampiran.

"Taknak," jawab aku pantas dan tegas.

Kau mengeluh.

Hampa mungkin.

Kemudian, kau meminta aku menghantarkan kau ke stesen kereta api dengan segera. Sambil memandang ke luar tingkap, kau mengeluh lagi sambil membuat muka sedih yang kebiasaannya aku akan pujuk. Kerana, muka sebegini cantik dan indah tidak layak untuk dibentukkan kepada sebuah kesedihan.

Namun kali ini, aku tidak memujuk.

Benda yang aku buat selepas itu cuma menurunkan brek tangan dan menekan pedal minyak. Membiarkan kereta meluncur laju menuju ke stesen kereta api yang paling dekat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience