BAB 11

Horror & Thriller Completed 8014

30 tahun yang lalu..

"Kamu cantik sekali, Wadah." Puji Kismis sambil duduk disebelah Wadah. Merenung dengan penuh rasa cinta.

"Ah, kamu ni Mis ada-ada aja." Wadah tersenyum tersipu lagak pohon semalu pabila disentuh. Lalu dia berlari-lari anak ke batu bersebelahan. Terkejip-kejip mata Wadah menggoda Kismis. Bagi Wadah, Kismis adalah pemuda pertama yang mengetuk pintu hatinya, mengucap salam cinta dan buat diri Wadah tak senang duduk merindui Kismis.

Kismis, anak tunggal Haji Jumaat. Seorang yang kacak, bertahi lalat di tepi bibir serta rambut berjambul. Ke mana sahaja dengan seluar kembangnya. Ramai anak dara yang mencuba nasib ingin menjadi ratu dihati, namun tidak berhasil.

Kismis dinamakan begitu kerana ketika ibunya mengandungkan dia, teringin sangat nak makan kismis. Pergilah si Haji Jumaat ke pekan untuk memuaskan idaman si isteri. Haji Jumaat rasa bersalah mahu meninggalkan Salamah keseorangan. Mengikut pengiraan bidan, esok atau lusa maka lahirlah anaknya itu.

"Ish tak sedap betul hati aku ni. Bini aku tu kalau tak diturutkan hajatnya, muncung aja lah mulutnya itu. Udah mau beranak, lagi mau mengidam. Ish ish ish." Rungut si Haji Jumaat sambil mengayuh basikal tuanya. Lagak gaya seperti Pak Mustar cerita Pendekar Bujang Lapok. Terhuyung-hayang basikalnya itu. Sudah tua begini, yang maju ke depan, perutnya dulu baru kaki.

"Ha, Haji? Mau ke mana?" Tegur Sarip yang hanya berjalan. Bayangkanlah perlahan macam mana kayuhan Haji Jumaat. Si Sarip yang berjalan kaki lagi laju dari dia, siap boleh ajak bersembang.

"Ni ha, si Salamah mahu makan kismis. Aku nak pegi la ke pekan kedai Sheikh tu. Nak beli dalam se.. eh.. eh... eh.." Haji Jumaat cemas mengelak batu. Hampir-hampir sahaja mahu tumbang. Dia menjeling Sarip. Kalau si Sarip tak sembang dengan dia, pasti dia tak panik begitu. Sudahlah nak tengok bawah masa mengayuh pun tak nampak, boroi sangat.

"Ha, yelah. Tak apa lah Pak Haji, elok-elok lah pergi tu. Saya mau cepat ni." Sarip tersengih lalu meninggalkan Haji Jumaat.Dia Cuma mengangguk. Bersyukur kerana tak terlentang sebentar tadi.

Kismis yang diidam dah dapat. Haji Jumaat sekali lagi mengayuh dan mengayuh dengan penuh bersungguh untuk pulang.

Setibanya dirumah, Salamah sudah pun melahirkan. Perasaan gembira bercampur pelik. Gembira kerana selamat melahirkan, pelik kerana//lama sangat ke aku kayuh basikal? Sampai bini aku sudah selamat ni.//Tapi, tak apalah..

"Bang, mau letak nama apa sama anak kita ni?" Tanya Salamah sambil tersenyum.

"Aku mau letak Kismis. Bagaimana pula fikirian kau?" Haji Jumaat memberi cadangan.

"Kenapa kismis bang? Tiada yang senonoh sikitkah?" Muncung si Salamah.

"Sengaja dibubuh namanya gitu. Baru bunyinya Arab gitu. Aku ini kan sudah haji. Jadi, nama anak harus Arab. Mengerti?" Tegas Haji Jumaat penuh yakin.

Salamah hanya mampu mengalirkan airmata memikirkan idea suaminya. Mahu dilawan, berdosa pula. Sakit hatinya lebih parah dari sakit melahirkan.

"Maka dipendekkan cerita, bertemulah sang pria bersama dara, pertemuan bermula di majlis timbang tara,ketika Kismis disoal bicara." Kismis dihadapkan ke muka pengadilan kerana tidak mahu mengaku bersalah akibat melanggar itik kacukan peliharaan jirannya ketika menunggang motosikal. Ketika itulah buat pertama kali si Wadah melihat Kismis. Terpesona hatinya melihat Kismis yang sedang sugul menunggu perbicaraan. Semenjak hari itu, setiap hari Wadah menghantar juadah ringan seperti kuih-muih buat Kismis. Memang benarlah kata orang, mahu pikat hatinya, pikat dulu perutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience