BAB 11

Romance Completed 5795

RAHIM memandang kepada Ihsan. Ihsan melemparkan senyuman manis buat Rahim. Dia membetulkan samping dan butang baju melayu juga dikenakan. Ihsan segak berbaju melayu berona peach yang disesuaikan dengan samping dengan warna yang sama.

“Aku ingat aku yang kahwin dulu. Rupa-rupanya kau yang sampai seru dulu. Tak sangka aku. Tahniah, Ihsan.” Rahim yang sedang membantu Ihsan bersuara.

Ihsan memandang kepada Rahim yang juga pengapitnya. Debaran Ihsan kian kencang saat waktu kian hampir dengan akadnya. Tangannya beku dan sejuk. Bekali-kali dia membetulkan songkok yang menghiasi kepalanya untuk menutup rasa getarnya.

“Aku nak ucapkan terima kasih pada kau, Rahim. Kau banyak tolong aku. Kalau bukan dengan pertolongan keluarga kau, aku tidak ada di sini.”

Rahim tersenyum dengan kata-kata Ihsan itu.

“Apa gunanya sahabat kalau tidak boleh membantu sahabatnya?”

“Ye, itu aku tahu. Kalau bukan sebab ayah kau, dah tentu aku tidak boleh menikahi dia.”

“Dahlah tu. Perkara yang lepas biarlah. Tapi aku tak sangka yang kau boleh terfikir sejauh tu. Nasib baik kau beritahu dengan ayah aku dan beritahu dengan keluarga Fikah. Kalau tidak hish! Selisih!”

Ihsan tersenyum kelat. Peristiwa itu benar-benar menakutkan. Nasib baik keluarga Fikah berada di dapur saat dia ditangkap khalwat, sebelum tok ketua mengetuk pintu. Mereka dengan perlahan memasukki rumah melalui pintu belakang. Nasib baik kunci pintu belakang dipegang oleh Pak Mail. Kalau tidak memang sah Ihsan ditangkap khalwat dengan Fikah.

“Aku yakin kau akan membahagiakan dia, Ihsan. Dia layak untuk mendapat kebahagiaan dari kau. Macam mana? Dah bersedia? Dah bersedia menjadi ketua keluarga?” Kata-kata Rahim disambut dengan senyuman yang manis. Ihsan mengangguk perlahan.

“Jom, dia dah tunggu tu.” Ajak Rahim.

Dengan langkah kanan dan doa yang dipanjat, Ihsan melangkah dengan langkah yang penuh dengan keyakinan.

Ihsan bersalaman dengan tetamu yang hadir sambil bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Kasih yang berada di sisi turut bersalam dengan tetamu wanita. Sesekali Ihsan memandang kepada Kasih dengan penuh rasa kasih. Sesekali Ihsan berbisik ditelinga Kasih sehinggakan Kasih tunduk malu dan merona merah.

Ihsan melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Kasih. Dewan hotel itu dipandang disegenap sudut. Dengan perlahan Ihsan mecapai tangan Kasih dengan lembut. Dia menggenggam dengan penuh erat. Kasih memandang kepada Ihsan dengan perlahan. Dia tersenyum bahagia.

“Terima kasih terima abang yang serba kekurangan ini. Dan terima kasih kerana percaya dengan abang.” Ujar Ihsan sambil memandang kepada Kasih.

“Yang sebenarnya kasih yang perlu ucapkan terima kasih pada abang kerana terima Kasih yang miskin ini. Kasih bukan yang terbaik buat abang.” Air mata Kasih mula tumpah. Hatinya bergetar saat jari jemarinya kian bertaut. Ihsan menyeka air mata Kasih dengan perlahan.

“Kalau Kasih bukan yang terbaik, Allah tidak akan menemukan kita. Abang adalah pelengkap di dalam hidup Kasih begitu juga sebaliknya. Kekurangan abang, kekuatan Kasih. Kekurangan Kasih adalah kekuatan abang. Abang percaya, sesuatu yang terjadi ada hikmahnya. Izinkan abang tanamkan kasih sayang abang untuk Kasih sedalam-dalamnya.” Kata-kata itu membuatkan Kasih terharu. Dia memandang Ihsan perlahan. Ihsan menyambut pandangan Kasih dengan senyuman.

“Sayang, jom…. Balik rumah. Sayang buatkan kuih koci untuk abang. Makan nasi minyak ni buat abang mengantuk jelah. Dapat kuih koci mesti terang biji mata abang. Ayah dengan umi dah lama nak merasa kuih yang sayang buat. Sayang tahu tak? Umi bukan main lagi puji menantu dia yang pandai memasak tau.”

“Ye ke?”

“Betul tu. Lagi satu umi pesan dengan abang. Dia kata, dia tak sabar nak timang cucu. Dia kata juga mesti anak kita cantik dan comel macam sayang dan cerdik macam abang.”

“Eleh…. Perasan.”

Hati Kasih berbunga dengan kasih untuk Ihsan. Dia tidak menyangka yang koci pulut hitam telah menemukannya dengan arwah Arif dan juga Ihsan yang juga kini sudah sah menjadi suaminya. Dia yakin dengan ketentuan Allah bahawa setiap yang bernyawa punya pasangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience