BAB 7

Romance Completed 5795

Sengaja Ihsan mencari alasan. Kerana dia tahu kuih yang di atas meja itu datangnya dari kedai Kasih. Sebelum datang dia sudah selidik dulu. Dia kemudiannya membeli bahan untuk Wati membuatkan kuih untuknya.

Wati menjengah isi di dalam plastik pemberian Ihsan. Dia kemudiannya mengeluarkan tepung pulut, tepung jagung, tepung beras dan tepung gandum. Perasaan takut menyelubungi hati Wati. Wajah ibunya dipandang berkali-kali. Seolah mencari pertolongan.

“Nak tunggu apa lagi? Semua bahan dah ada. Buat jelah.” Ujar Rahim dengan nada sindiran. Puas pula dia rasa bila mendengarkan idea Ihsan malam tadi. Sengaja dia berpakat dengan ibu bapa Wati untuk melihat sejauh mana kata-kata Wati. Pucuk dicita ulam mendatang bila ibu Wati menyambut baik ideanya.

“Bagus juga tu cikgu. Makcik kat rumah tu dah berbuih mulut minta tolong kat dapur. Berat sangat tangan tu nak pegang bawang.” Ujar Mak Senah yang gembira saat mendengarkan cadangan Ihsan sewaktu selesai berjemaah di surau.

“Tapi… sayanglah kuih tu. Tak apalah. Esok-esok saja ye.” Wati mencari alasan.

“Tak baik kan patahkan hasrat saya. Bukan ke saya kata yang saya suka dengan kuih koci. Berapa banyak pun saya boleh habiskan. Please…… saya memang teringin nak tahu macam mana nak buat kuih ni. Lagi pun Wati kata yang Wati boleh buat kuih koci lebih sedap dari Kasih, kan?” Ah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Wati terdiam. Ihsan masih lagi menunggukan reaksi Wati. Wati terpinga-pinga. Tidak tahu mana satu tepung yang ingin digunakan. Yang dia tahu tepung gandum buat cucur bolehlah. Lama juga Wati menimbang antara tepung beras dan tepung pulut. Sekali lagi Wati memandang kepada Mak Senah.

“Boleh tak ni?” Tersentak Wati bila dia disergah oleh Rahim.

“I’m waiting.” Wati kian rasa bersalah saat Ihsan pula yang bersuara. Ah, kalau tak cuba mana nak tahu kan? Akhirnya Wati menyambut akan cabaran Ihsan itu. Dia kemudiannya mencapai kelapa, gula Melaka untuk membuat inti. Tapi….. hatinya masih berbelah bagi sama ada dia perlu menggunakan tepung beras atau tepung pulut. Erm…. Bantailah. Dia kemudiannya mencapai tepung beras dan mula menguli.

Melihatkan Wati itu Ihsan hampir mahu menahan tawa. Begitu juga dengan Rahim. ‘Habislah kuih kegemaran aku.’ Bisik hati Ihsan. Mak Senah yang memerhatikan dari jauh hanya menggelengkan kepala. Lantaklah Wati….. memang tidaklah si Ihsan tu nak makan kuih koci tepung beras.

Setelah siap semuanya, Wati menghidangkan kuih kocinya kepada Ihsan. Kecil besar Ihsan memandang kuih itu. Dia membuka daun pisang. Memang peliklah dengan kuih koci dari tepung beras.

“Saya nak Wati jujur dengan saya.”

Wati tidak betah untuk memandang kepada Ihsan. Dia tunduk memandang lantai.

“Saya tak kisah kalau Wati tak pandai memasak. Tapi saya tak boleh terima bila Wati membohongi saya. Kalau perkara macam ni boleh berlaku apa lagi kalau kita ada hubungan.”

Wati malu sendiri dengan kata-kata Ihsan itu. Bagaikan menjerut perasaannya. Mahu sahaja dia menutup mukanya ketika itu. Namun dia seperti membatu.

“Nampaknya awak kena banyak belajar, Wati. Saya yakin, kalau awak belajar untuk jujur dan menjadi seorang wanita saya pasti ada yang akan suka dengan awak. Saya minta maaf, Wati. Saya bukan yang terbaik buat awak.” Ada kesan di hati Wati dengan butir bicara yang lancar meniti di bibir Ihsan.

“Ya, saya mengaku. Saya beli dari Kasih. Saya saja beritahu untuk ambil perhatian abang. Itu sahaja.” Ihsan tersenyum.

“Belajar dari kesilapan. Nak buat kuih koci ni pakai tepung pulut. Bukannya tepung beras dik oi!” Ujar Rahim seloroh.

“Ye, saya janji. Takkan akan kacau abang lagi. Maafkan Wati.” Yes! Lepas satu beban dihatinya.

Saat itu Wati sedar bahawa betapa malunya dia dengan Ihsan. Tidak tahu di mana ingin disorokkan wajahnya ketika itu. Selama ini dia berjaya menambat hati lelaki dengan wajah dan manjanya. Namun Ihsan benar-benar bukan lelaki yang mudah tunduk dengan kecantikan pujuk rayu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience