Completed
11423
Permintaan Haris ini bukan hanya berasaskan pada alasan anak semata-mata tetapi juga hati. Wardah ialah cinta pertamanya, mereka pernah merancang untuk berkahwin sebelum dia bertemu dengan Suria.
Namun keluarga Wardah tidak menyetujui perancangan mereka. Memandangkan Wardah ialah satu-satunya anak tunggal dalam keluarga mereka, keluarga gadis itu ingin melihat anak mereka terlebih dahulu mencapai impian dalam kerjayanya.
Wardah telah melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Dia dan Haris masing-masing telah membawa haluan sendiri cuba untuk melupakan antara satu sama lain. Petemuan mereka semula setelah lima tahun ini ternyata telah menyemai semula rasa cinta itu. Apatah lagi faktor kerja yang memerlukan mereka untuk sering bersua muka.
Suria pernah bertemu sekali dengan Wardah ketika dia mengunjungi Haris di pejabat suaminya. Meskipun dia perasan akan perubahan riak pada wajah Wardah apabila Haris memperkenalkannya sebagai isteri lelaki itu, namun Suria tidak pernah mengesyaki apa-apa. Suria yakin Haris setia pada dirinya, kerana suaminya itu begitu terbuka bercerita kepadanya tentang masa lalu mereka berdua ketika Suria betanyakan tentang Wardah.
Membawa ingatan kepada Wardah, minda Suria mencongak sesuatu. “Kenapa Wardah??” Disoal Haris yang terlihat serba salah itu.
“Kalau hanya semata-mata kerana zuriat ramai lagi perempuan lain yang abang boleh kahwin. Tapi kenapa Wardah?” Nada Suria sudah menunjukkan tanda-tanda cemburu. Siapa yang tidak kan?
Haris perasan akan perubahan intonasi suara isterinya itu. “Kenapa tidak Wardah, Suria?” Tanpa sedar kata-katanya itu sudah manambahkan lagi dalam pada luka yang baru dia hadiahkan kepada Suria.
Suria tersenyum sinis. ‘Ya kenapa bukan Wardah kan. Dia kan cinta pertama awak.’ namun bisikan itu hanya terlontar dalam kotak minda Suria sahaja.
“Do you love her?” Suria kembali menyoal. Haris mengeluh perlahan. Masakan dia ingin menyatakan ‘Iya’ dengan terang-terang begitu kepada Suria.
Suria kalih pandangannya kepada Haris. Dia inginkan kepastian – adakah suami yang mengaku mencintai dirinya itu, mencintai wanita lain yang telah berjaya menggugat kedudukannya dalam hati Haris. Lelaki itu hanya senyap, dan tahulah Suria akan jawapan kepada soalannya itu, meskipun dia cuba untuk menafikan.
Air mata Suria mengalir laju tanpa dia sedari. Dia tidak betah lagi berhadapan dengan sang suami, insan yang sangat dia cintai selapas Allah, Rasul dan kedua-dua orang tuanya. Suria bangun dan membawa langkahnya laju meninggalkan Haris. Tudung yang sedia tersangkut di pintu keluar itu dia sarung. Keluar daripada rumah itu. Rumah yang selama ini merakamkan segala kenangan indah mereka berdua seolah-olah menghimpit jiwanya.
Share this novel