Angin petang yang bertiupan perlahan mula menggugurkan dedaunan kering yang mengiringi langkah gontai sang gadis. Sesekali dia mendongak ke langit yang kelihatan mendung kelabu. Kemungkinan untuk hujan lebat membasahi bumi adalah 99.9%
Namun, langkahnya diteruskan juga. Beberapa hari ini fikirannya diasak dengan persoalan yang sama tanpa henti. Tanpa sedar, dia menghembus keluhan berat. Lantas, dia berpeluk tubuh sambil menyandar pada pagar besi laluan kaki yang tidak berbumbung.
Pandangannya dihambau jauh ke arah pejalan kaki yang berpusu-pusu melintasi jalanraya tatkala lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau. Saat ini hanya perasaan kesal yang tergambar jelas pada wajahnya tentang peristiwa yang berlaku kelmarin.
Mengingat kembali detik kemesraan Saffiyah bersama lelaki yang disangka ayahnya itu amat menyakitkan hatinya. Tergamak sungguh ayahnya meninggalkan dia dan ibunya demi harta. Jika diikutkan hatinya, ingin saja dia menjerit sekuat hati. Tetapi, memikirkan dia berada di tempat awam, maka niat itu terpaksa dipendam.
Apa kaitan ayah dengan perempuan tu? Ayah kahwin baru ke? Tak mungkin dia anak ayah?! Mustahil! Mustahil!!
Tanpa diduga, dia tersepak tiang besi disitu. Menyeringailah dia sendirian sambil menggosok kakinya yang beralas kasut. Tiba-tiba, pandangannya terpaku pada lelaki yang disangka ayahnya itu.
"Ayah..." Bisiknya perlahan.
Melihatkan lelaki itu sendirian, maka Raisyah terus mengatur langkah cepat mendapatkan lelaki itu yang sedang leka menghisap rokok sambil menyandar pada pintu kereta yang tertutup.
Perasaan yang dirasuk kebimbangan cuba dikikisnya sedikit demi sedikit. Namun, semakin dia mendekati lelaki itu semakin resah gelisah menjamah tangkai hatinya. Jantungnya pula tak henti-henti berdegup kencang.
Tika dia ingin menyapa lelaki itu, seseorang telah memanggil lelaki itu terlebih dahulu. Bagai terpaku Raisyah saat lelaki itu menoleh sekilas ke arahnya. Terkebil-kebil dirinya akan reaksi ayahnya itu. Masakan bisa lelaki itu tidak mengecam dirinya?
Tidak dapat dibayangkan perasaan dia saat itu. Bibir bawahnya diketap, cuba menahan air mata yang hampir membanjiri wajahnya. Sosok tubuh yang semakin jauh itu ditatap dengan sejemput kehampaan yang ternyata di air wajahnya.
"Eh, Ahmad. Aku perati budak perempuan dekat luar tu. Dari tadi dia tengokkan kau. Kau kenal ke budak tu?" Soal Raiz sambil menarik kerusi dihadapan Ahmad.
"Budak mana?" Soal Ahmad, lurus sambil mencari gadis yang dimaksudkan oleh Raiz.
"Tuuu... Budak yang galas beg sandang tu." Terjuir-juir bibir Raiz menunjuk ke arah Raisyah.
"Sape tu? Aku tak kenallah. Alah... Biarlah dia. Bebudak tu..." Balas Ahmad acuh tak acuh sebelum meneguk cappucino panas.
"Kalau kau tak kenal, takpelah." Raiz turut mengabaikan persoalan yang menganggu benak fikirannya itu sebaik saja mendengar jawapan Ahmad.
Bunyi guruh di langit sahut menyahut sebelum langit menumpahkan air matanya bertali temali. Lantas, Raisyah berjalan pulang dengan hati yang tersayat. Dia menangis dalam hujan.
Ting! Ting!
Saat Raisyah membuka pintu cafe ibunya, dia terkejut melihat wajah-wajah yang tidak dikenalinya itu berada bersama ibunya. Mereka turut terkejut melihat Raisyah pulang dalam keadaan basah kuyup.
"Sayang... Kenapa tak call ibu? Habis lencun..." Ujar Maisara sambil mendekati anak daranya itu.
"Siapa dia orang tu, ibu?" Raisyah memulangkan soalan kepada Maisara sambil matanya menatap mereka dengan penuh curiga.
"Sayang pergi bersihkan diri dulu. Baju basahan ada kan dalam bilik atas tu?" Raisyah mengangguk tanda turut arahan ibunya.
Sepanjang mendaki anak tangga, dia hanya menunduk. Tidak sedikit pun dia mengangkat muka walaupun dari ekor matanya, dapat dia rasakan dirinya menjadi perhatian mereka.
"Siapa tu?" Soal Hajah Rafidah.
"Tu anak kak ngah." Jawab Maisara bersama segaris senyuman tika membawa sedulang kopi panas terlaris cafenya. Diselitkan juga sepinggan biskut special buatannya sendiri.
"Seriuslah kak ngah? Cantiknya dia..." Puji Masyitah, teruja.
"Tengoklah sape ibu dia..." Balas Mariam sambil tertawa diikuti semua yang berada disitu.
"Ada-ada jelah kak long nie." Sangkal Maisara tersipu malu.
"Eh... Betullah tu. Anak-anak Hajah Rafidah memang cantik-cantik semua. Lagi-lagi yang bongsu nie... Cantik giler..." Puji Masyitah dengan senyuman bangga.
"Eyyy! Perah santan betul budak niee.." Mariam menepuk manja bahu Masyitah.
"Jemput minum. Sorrylah cuma ada nie dekat cafe. Bonda, jemput minum."
Hajah Rafidah tersenyum. Namun, senyumannya tidak dapat menutupi mendung yang menyeliputi wajah tuanya. Disentuh dan digenggam jemari Maisara.
Macam manalah anak aku yang manja nie hidup sorang-sorang besarkan cucu aku, Ya Allah. Kesiannya anak aku... Bisik hati tuanya.
Raisyah menuruni anak tangga. Dihampiri ibunya.
"Sayang, salam nenda." Ujar Maisara. Raisyah menurut seperti biasa. Hajah Rafidah mengucup kedua pipi cucunya dengan lembut.
"Nie maklong dengan muksu." Sambung Maisara lagi.
"Nama siapa?" Soal Masyitah, mesra.
"Raisyah, muksu." Lembut Raisyah menjawab soalan muksunya bersama segaris senyuman.
"Ohhh... Sedapnya nama..." Puji Masyitah lagi. Raisyah tsrsenyum sambil menoleh ke arah ibunya kerana nama itu dipilih oleh ibunya sendiri.
Macam mana ayah sendiri boleh tak kenal anak dia?
Share this novel