BAB 1

Romance Completed 836

Desiree menyapu sedikit pemerah pipi di pipinya sebelum mencalit warna merah di bibirnya yang merekah cantik. Dipandang wajahnya yang sudah disolek cantik namun ringkas itu dengan teliti di cermin. Setelah berpuas hati, diambil pula perfume jenama Calvin Klein dan disembur ke bahagian badan yang diigini. Sekelip mata, haruman dari jenama mahal itu menusuk ke rongga hidungnya. Senyuman terukir di wajahnya di saat dia menyambar beg jenama Gucci yang baru dibelinya dan melangkah keluar dari biliknya. Serta-merta matanya dihidangkan dengan hiasan dalaman yang mewah dan moden di ruang tamu sebaik sahaja dia menuruni tangga marmar yang sudah pasti mahal.
“Puan, sarapan sudah siap. Datuk dan Datin sudah menunggu di meja makan,” sopan sekali seorang gadis lingkungan 20 an menegurnya. Desiree tersenyum dan tanpa kata melangkah ke dapur yang dihiasi meja makan yang besar dan di atasnya terpapar pelbagai jenis pinggan mangkuk yang mahal dan kebanyakannnya dibeli dari serata dunia oleh mamanya. Sekali lagi tanpa kata Desiree duduk di kerusi.
“Nak pergi mana cantik-cantik ni, Desiree ?” tanya seorang wanita lingkungan awal 50an yang masih kelihatan cantik. Desiree tersenyum.
“Desiree nak jumpa kawan sekejap, ma,” ujar Desiree sopan. Datin Sofea tersenyum.
“ Desiree dah fikirkan cadangan papa tu?” tanya Datuk Rosli. Desiree terdiam. Gerakan tangannya yang sedang menyapu roti bakar dengan mentega terhenti.
“Er, Desiree tak fikir habis lagi, papa,” perlahan jawapan Desiree . Datuk Rosli berhenti menyuap. Dia memandang Desiree lama.
“Apa susah sangat? Terima ajalah, Desiree . Lagipun kalau Desiree terus kerja dengan papa, senanglah Desiree jumpa kami berdua. Kami tetap akan anggap Desiree anak kami walaupun Desiree dah tak jadi menantu kami lagi,” pujuk Datin Sofea. Desiree mengangkat wajah sambil tersenyum.
“Desiree rasa seganlah, mama, papa. Apa pulak tanggapan Melissa nanti kalau Desiree terus kerja dengan papa. Lagipun bila Noah balik dari London nanti, dia kerja kat syarikat papa jugak. Tak naklah, papa,” tolak Desiree . Datin Sofea dan suaminya berpandangan.
“Nak segan apanya. Noah tu suami kamu jugak. Syarikat tu, syarikat mertua kamu,” Datin Sofea masih tidak mengalah. Desiree terdiam. Dia meletakkan roti bakar yang tidak sempat dijamah di atas piring kembali. Matanya tepat memandang mertuanya itu.
“Tapi lepas ni kami dah tak jadi suami isteri lagi. Kami dah jadi orang luar, mama, papa. Desiree tak nak timbul salah faham antara Lissa dengan Noah . Mereka kan nak nikah nanti,” lembut Desiree memberi penerangan. Jujurnya memang itu alasannya selama ini. Dia mahu cepat-cepat keluar dari hidup Noah dan mulakan hidup yang baru.
Perkahwinan yang dimeterai atas dasar cinta pada usia muda hanya bertahan hanya setahun. Noah , suaminya mengambil keputusan untuk bekerja di cawangan syarikat di London. Katanya untuk menyendiri sambil memberi ruang kepada hubungan yang mula terumbang-ambing. Namun, entah di mana silapnya, hubungan yang dingin menjadi bertambah dingin. Hampir dua tahun suaminya di London, dan hanya beberapa kali mereka berhubung.
Dari tahun lepas lagi Desiree sudah pasti perkahwinan mereka sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Dan di saat itu barulah Desiree tahu rupa-rupanya kedinginan hubungan mereka membawa kepada percambahan bibit-bibit cinta antara Noah dan Lissa di London. Saat mengetahui hal itu, tiada langsung rasa cemburu di hatinya. Dia sendiri pelik dengan dirinya. Mungkin hal ini kerana cinta untuk Noah sudah lama pudar. Sewaktu Noah menelefonnya sebulan lepas untuk menyelesaikan segala kekusutan dalam perhubungan mereka, mereka berdua bersetuju untuk bercerai sebaik sahaja Noah pulang dan mengambil alih syarikat papanya. Selepas penceraian mereka, Noah akan berkahwin dengan Melissa manakala dia akan teruskan dengan kehidupan asalnya semula. Mungkin ini yang terbaik.
“Mama dan papa tak tahu nak cakap apa lagi. Kamu berdua dah dewasa. Biarlah kamu berdua yang membuat pilihan. Cuma mama dan papa berharap kamu tak menyesal dengan keputusan kamu tapi mama tak habis fikir, kamu tak sayang ke pada perkahwinan kamu? Kamu dah yakin betul ke kamu dah tak boleh selamatkan perkahwinan kamu?” tanya mama bertalu-talu. Desiree tersenyum lalu mengenggam tangan ibu mertuanya itu.
“Mungkin jodoh kami sampai sini sahaja atau kami silap perhitungan dulu. Kami masih muda dulu dan sekarang barulah kami sedar yang kami memang tidak ditakdirkan bersama, mama. Baiklah, Desiree pergi dulu ya,” Desiree bangun dan menyalami ibu dan bapa mertuanya sebelum menghilang di balik pintu. Datin Sofea dan Datuk Rosli berpandangan.
“Saya tak tahulah apa nak cakap apa lagi dengan mereka berdua tu. Degil!” keluh Datin Sofea.
“Kita berserah sahaja. Biar mereka yang tentukan hidup mereka sendiri,” Datuk Rosli menggelengkan kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience