Bab 6

Romance Series 20689

“BUKAN salah Lia, pak cik. Umar yang salah. Umar yang ajak Lia jumpa Umar dekat sungai tadi.”

Dahlia terkedu. Tak sangka Umar sanggup berbohong untuk menutup kesalahannya. Padahal memang dia yang mengajak Umar berjumpa di sungai.

“Kenapa tak jumpa di rumah je Umar?” soal Mak Esah yang sedari tadi mengunci mulut.

“Err… Saja. Dah lama tak lepak dekat sungai tu. Umar minta maaf ya?” Dikerling sekilas ke arah Dahlia. Mujur dia tergerak hati nak singgah ke rumah Dahlia. Kalau dia tak ada tadi, teruk Dahlia kena dengan Pak Rahim.

“Pak cik bukan apa Umar. Keadaan sekarang dengan dulu dah tak sama. Pak cik tahu Umar memang berkawan rapat dengan Dahlia sejak dulu lagi. Tapi status Dahlia dah berubah. Pak cik harap Umar faham. Pak cik tak nak orang kampung ambil kesempatan buat cerita yang bukan-bukan nanti tentang kamu berdua. Umar ada umi yang perlu dijaga air mukanya,” nasihat Pak Rahim. Amarahnya tadi serta merta hilang. Diganti dengan rasa bersalah.

Umar mengangguk faham. “Baik pak cik. Umar minta maaf sekali lagi ya?”

“Takpalah Umar. Lepas ni kalau nak jumpa Dahlia, jumpa dekat rumah je ya?” ujar Mak Esah.

Dahlia menghela nafas perlahan. Kalau dengan Umar, elok saja orang tuanya berlembut. Tapi kalau dengan dia, bukan main dingin layanannya. Tak tahu siapa anak kandung mereka sebenarnya. Dia atau Umar?

“SAKIT lagi ke?” soal Umar prihatin. Geram memang geram dengan Dahlia. Tapi tak sampai hati melihat Dahlia dipukul oleh Pak Rahim tadi.

Dahlia menggeleng perlahan. Masih terasa pedih di belakang tubuh sebenarnya. Pasti akan meninggalkan kesan berbirat. Rasanya kali terakhir getah paip itu singgah di badannya pada sepuluh tahun yang lalu. Semuanya gara-gara Dahlia ponteng sekolah. Tak cukup tanah dia lari waktu tu.

“Yang kau tipu mak dan abah kau kenapa? Kan dah tak pasal-pasal dapat habuan. Kenapa tak jujur je yang kau pergi jumpa aku?” soal Umar. Dia tak sangka pula yang Dahlia membohongi orang tuanya. Kalau Dahlia jujur, tak adanya Pak Rahim tu nak mengamuk sampai macam tu sekali tadi.

Dahlia mendengus. “Kau eh yang beritahu diorang aku pergi jumpa kau?” soal Dahlia.

“Bukan aku.” Laju Umar menafikannya. Memang bukan dia. Kalau dia yang beritahu mereka, tak adalah dia sanggup menipu untuk menutup kesalahan Dahlia tadi.

“Yalah tu. Habis tu, kalau bukan kau siapa yang beritahu?”

“Manalah aku tahu. Hei, jangan nak tuduh-tuduh aku pula. Patutnya kau tu ucapkan terima kasih dekat aku. Kalau aku tak datang sini tadi, lagi teruk kau kena,” bidas Umar.

“Habis tu kalau bukan kau yang beritahu abah aku, siapa lagi?”
“Manalah aku tahu. Sepatutnya kau tanya diri kau tu dulu. Kenapa kau menipu mak dan abah kau?”

Dahlia tarik muka. Takkan dia nak beritahu mereka rancangannya untuk menjadikan Umar cina buta. Lagi mengamuk Pak Rahim. Silap-silap dengan parang dia kejar Dahlia.

“Mak abah kau tak tahu yang kau ajak aku kahwin?” soal Umar.

“Mestilah tak! Kau nak aku kena pancung ke dengan diorang?” soal Dahlia kembali.

Umar menghela nafas perlahan. “Kenapa kau dengan Ed bercerai?” Serba salah sebenarnya nak tanya Dahlia soalan sensitif itu. Tapi perasaan ingin tahu membuak-buak.

“Salah faham je. Waktu tu masing-masing tak dapat nak kawal emosi,” jawab Dahlia. Suaranya kedengaran kesal. Andai saja dia mampu putar waktu. Tak perlu susah-susah dia merayu Umar menjadi cina buta untuknya.

“Ed tu pun satu. Takkanlah tak boleh nak fikir waras? Ikutkan sangat rasa hati tu. Bila dah jadi macam ni, kan dah menyesal. Nak patah balik pun dah tak boleh. Menyusahkan betul.”

Dahlia ketap bibir. “Janganlah salahkan Ed seorang. Aku pun ada salahnya juga. Kalau aku tak provok dia, mesti takkan jadi macam ni.”

Umar mencebikkan bibirnya. Tak suka bila Dahlia membela Edri. Dah terang-terang memang salah Edri. Ada sebab mengapa kuasa talak itu di tangan suami.
Sebab lelaki itu lebih terkawal emosinya berbanding perempuan. Dia lebih banyak menggunakan akal untuk membuat keputusan dan bukannya menggunakan hati seperti kaum perempuan.

Jadi dalam hal ini sepatutnya Edri perlu lebih bersabar. Ini tidak. Talak tiga terus dia beri pada Dahlia. Lepas tu menyesal. Menangis keluar air mata darah sekalipun tak akan mengubah kenyataan yang dia dan Dahlia tidak boleh rujuk kembali.

“Sebab tu sebelum kahwin, perempuan ni kena betul-betul pilih pasangan. Bukannya tengok dari segi rupa dan harta saja.” Tajam kata-kata yang meluncur keluar daripada bibir Umar.

“Kau ni kenapa Umar? Kau tu bagus sangat ke? Jangan nak suka hati menilai oranglah. Atau kau ni sebenarnya cemburu dengan Edri? Cemburu sebab Edri tu jauh lebih bagus daripada kau!” sembur Dahlia geram. Tajam matanya merenung wajah Umar. Suka-suka hati Umar saja nak menilai Edri. Apa Umar fikir dia tu bagus sangat ke? Sempurna sangat?

“Lia, buat apa aku nak cemburu dengan lelaki macam Edri tu? Kalau dia tu bagus, tak adanya dia buat keputusan bodoh macam ni. Keputusan bodoh yang dah menyusahkan orang lain,” balas Umar kembali. Entah apa yang bagus sangat Edri tu di mata Dahlia. Dia sendiri tidak mengerti.

Dahlia terus bangun daripada duduknya. Tajam matanya menikam wajah Umar. Menyesal pula minta pertolongan Umar. Kalau beginilah sikap Umar, dia pun tidak mahu meminta pertolongan lelaki itu.

“Kalau kau rasa kau tak boleh nak tolong aku, tak perlu tolong. Aku pun tak ingin lah kau jadi suami aku. Walaupun cuma sementara!” Usai menghamburkan amarahnya, Dahlia terus angkat kaki masuk ke dalam rumah. Umar ditinggalkan sendirian di pangkin itu.

“Lia!” panggil Umar. Bukan niatnya nak cari gaduh dengan Dahlia. Tapi hatinya sakit apabila Dahlia tak sudah-sudah membela Edri. Salah ke apa yang dia cakap?

Menonong saja Dahlia masuk ke dalam rumah. Panggilan daripada Umar langsung tidak dihiraukan. Hatinya sakit dengan kata-kata Umar.
Nafas dihela berat. Umar meraup perlahan wajahnya. Tu lah Umar, lancang sangat mulut kau tu. Tak pasal-pasal sekarang ni hubungan dia dan Dahlia bermasalah.


SURIA menghempaskan badannya di atas katil. Dia mendengus geram. Ingatkan bila Dahlia dah kahwin, semakin besar peluang untuk dia mendapatkan Umar. Tapi tak sampai setahun, Dahlia balik semula pula ke kampung ni. Sebal!

Sebenarnya tadi dia diam-diam mengikut Umar ke sungai. Tak sangka Umar berjumpa dengan Dahlia di sana. Geram dengan Dahlia, terus Suria pergi berjumpa dengan Pak Rahim.

Dia yang memberitahu lelaki tua itu Dahlia dan Umar berdua-duaan di sungai. Sengaja mahu Dahlia dimarahi oleh Pak Rahim.

Sejak zaman sekolah lagi dia menyimpan perasaan terhadap Umar. Namun dia tidak pernah berpeluang untuk mendekati lelaki itu. Mana tidaknya, Umar asyik berkepit dengan Dahlia. Kemana Umar pergi pasti Dahlia ada bersama dengannya.

“Aku akan pastikan kau takkan hidup tenang Dahlia. Huh, dah jadi janda barulah nak terhegeh-hegeh semula dekat Umar tu.”

Suria tekad. Kali ini dia tak akan berdiam diri. Dia tak akan biarkan Dahlia merebut Umar kembali. Umar harus menjadi miliknya. Walau dengan cara apa sekalipun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience