Bab 3

Romance Series 20689

DAHLIA menapak keluar daripada bilik. Langkah kaki dibawa ke dapur. Baru ada keberanian nak berhadapan dengan Mak Esah lepas apa yang dah berlaku semalam.

“Mak,” sapanya saat melihat Mak Esah yang sedang duduk di meja makan sambil memotong sayur.
Mak Esah hanya buat tak tahu. Bukannya telinga dia tak dengar suara Dahlia. Saja. Malas nak layan. Biar Dahlia tahu yang dia masih lagi marah dengan apa yang telah Dahlia lakukan. Bukannya kecil masalah yang Dahlia timbulkan.

“Mak nak masak apa tu? Mak nak Lia tolong?” soal Dahlia. Masih mencuba menarik perhatian Mak Esah. Kerusi di hadapan Mak Esah ditarik lalu dilabuhkan duduknya di situ.

“Tak payah. Mak dah biasa masak seorang-seorang. Sebelum ni bukannya Lia ada pun.”

Auch! Jawapan Mak Esah bagai duri yang tajam menembus ke lubuk hati Dahlia. Hujung bibirnya digigit kuat. Tahulah dia Mak Esah memerlinya.

“Lia bukan tak nak balik sini mak. Tapi Ed sibuk. Tak ada masa nak ba...” Tak sempat nak habiskan ayatnya, Mak Esah sudah memotong.

“Tak balik pun tak apalah. Dah selesa duduk di bandar tu kan. Mana mahunya balik ke rumah buruk ni lagi.” Mak Esah sebenarnya berjauh hati dengan Dahlia. Sejak berkahwin, Dahlia langsung tak balik kampung menjenguknya. Nasib baik ada Umar yang selalu singgah ke rumahnya bertanyakan khabar. Tak adalah dia dan Pak Rahim rasa sunyi sangat.

Kadang-kadang Umar juga mengajak dia dan Pak Rahim ke Pekan. Saja berjalan-jalan. Nak harapkan Dahlia, entah bila. Tak pernah sekali pun Dahlia pelawa mereka untuk datang ke rumahnya.

“Mak... Lia minta maaf. Lia bukannya macam yang mak fikirkan. Lia rindu sangat dekat mak dan abah. Kalau boleh nak balik selalu. Tapi Ed memang betul-betul sibuk,” jelas Dahlia. Tidak mahu Mak Esah terus salah faham.

“Yang Edri tu betul lah sibuk. Yang Lia ni tak boleh ke nak telefon mak? Telefon mahal-mahal tapi tak boleh nak telefon mak abah sendiri tak guna juga.” Sekali lagi Mak Esah memerli Dahlia.

Liur yang terasa berpasir itu ditelan. Dahlia tunduk bermain dengan jari sendiri. Tak tahu lagi nak jawab apa. Memang dia salah. Sudahlah dia satu-satunya anak mereka. Tentulah Mak Esah dan Pak Rahim berjauh hati dengan sikapnya yang begini.

“Bila dah susah macam ni, barulah nak jejakkan kaki semula ke rumah buruk ni kan.”

Dahlia makin tak betah apabila terus disindir begitu. “Mak tak suka Lia kahwin ke?” Dahlia memberanikan diri bertanya.

Mak Esah yang sedang memotong sayur itu terus terhenti pergerakannya. Pisau diletakkan di tepi papan pemotong. Wajah Dahlia dipandang.

“Mak ni bukan tak suka Lia berkahwin. Tapi mak tak suka bila Lia buat keputusan terburu-buru. Haa tengoklah sekarang apa yang dah jadi. Soal kahwin cerai ni tak boleh dibuat main Dahlia.”

Dahlia menghela nafas perlahan. Benar tekaannya. Mak Esah memang tak suka dia berkahwin dengan Edri. Waktu dia beritahu Mak Esah dia mahu berkahwin dengan Edri, wanita itu pada awalnya menentang keputusannya. Katanya Dahlia masih muda. Tapi Dahlia nekad dengan keputusannya. Biarpun Mak Esah tidak setuju. Dia tetap teruskan perkahwinannya dengan Edri.

Pak Rahim pula tak boleh nak kata apa. Perkahwinan itu perkara yang baik. Dia tak boleh nak menentang keputusan Dahlia. Daripada Dahlia buat perkara yang tak senonoh nanti, lebih baik diizinkan anaknya itu berkahwin.

“Lia tahu mak. Lia minta maaf kalau Lia dah buat mak dan abah kecil hati. Lia tak ada niat.”

“Nak lukakan hati orang ni tak perlukan niat pun Lia. Cukup dengan perbuatan kita yang kita sendiri tak pernah sedar. Baguslah Lia dah balik. Ada hikmah agaknya semua ni terjadi pada Lia.”

Dahlia angkat wajah pandang Mak Esah. Mungkin Allah uji hubungan dia dengan Edri kerana dia telah melukakan hati ibu dan ayahnya. Dadanya dihimpit sebak yang bukan sedikit.

Melihat riak wajah Dahlia berubah, Mak Esah jadi serba salah. Hati seorang ibu. Marah macam mana pun, jauh di sudut hatinya dia tetap sayangkan Dahlia. Dahlia lah satu-satunya anak yang dia ada. Dahlia lah racun. Dahlia lah penawar.

“Makanlah. Mak ada masak nasi goreng tadi.” Dia terus bangun daripada duduknya lalu bergerak ke sinki.

Dahlia hanya memandang sayu belakang tubuh Mak Esah. Hubungannya dengan Mak Esah tak pernah sedingin ini. Mereka sangat rapat. Tapi semuanya berubah selepas Dahlia mengenali Edri.

Dahlia capai pinggan kosong di tepinya. Tudung saji dibuka. Dia tersenyum nipis melihat nasi goreng yang dimasak oleh Mak Esah. Dah lama dia tak makan masakan Mak Esah. Baru dia ingin mencedok nasi goreng itu ke dalam pinggan, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Tertera nama Edri pada skrin telefonnya.

Dahlia memandang ke arah Mak Esah. Wanita itu sedang menumis bawang. Cepat-cepat Dahlia bangun dan bergerak meninggalkan dapur. Kalau Mak Esah tahu Edri menghubunginya, makin bertambah amarah wanita itu.

Kaki bergerak ke luar rumah. Dahlia duduk di pangkin kayu yang terletak di hadapan rumahnya. Panggilan daripada Edri terus dia jawab.

“Lia! Mana awak pergi? Kenapa lama sangat nak jawab call saya?” soal Edri di hujung talian. Suaranya kedengaran risau. Mungkin takut jika Dahlia tidak mahu menjawab panggilannya lagi.

“Saya kat dapurlah tadi. Mak ada.”

“Awak sihat? Mak dan abah macam mana?”

“Mengamuklah dia orang bila tahu kita dah bercerai. Dah lah talak tiga pula tu. Nak rujuk pun dah tak boleh,” balas Dahlia geram.

“Sorry lah sayang. Awak tak bolehlah nak salahkan saya sepenuhnya. Awak juga yang cabar saya lepaskan awak malam tu kan.”

Dahlia menghela nafas berat. Ya. Salahnya juga. Kalau dia tak mendesak Edri melepaskannya, pasti semua ini tidak akan terjadi.

“Saya rindukan awak Lia. Rasa lain sangat bila awak tak ada di sisi saya. Hidup saya kosong.”

Hati Dahlia disapa sayu. Tubir matanya terasa hangat. Dia juga rindukan Edri.
“Kita dah tak boleh nak bersama lagi Ed.” Mata dipejam perlahan. Itulah kenyataan yang dia dan Edri perlu terima sekarang ni.

“Lia, jangan cakap macam tu. Kita masih ada cara lain. Saya akan buat apa saja asalkan saya dapat bersama dengan awak semula Lia. Awak tahu kan yang saya cintakan awak. Trust me. Kita akan bersama semula.” Bersungguh-sungguh Edri meyakinkan Dahlia.

“Macam mana?” soal Dahlia. Boleh ke mereka bersama kembali andai talak tiga sudah dilafazkan?

“Kita cari cina buta.”

Terbuntang mata Dahlia mendengar cadangan gila Edri. Baru dia nak membalas, sebuah motosikal masuk ke perkarangan rumahnya.

“Nanti saya telefon awak semula.” Panggilan terus ditamatkan. Dahlia bangun daripada duduknya. Motosikal tadi berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Lelaki yang menunggang motosikal itu membuka topi keledarnya.

Saat lelaki itu menoleh ke belakang, pandangan mereka bertaut.

“Umar...” Bibirnya menyebut nama itu perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience