Bab 13

Romance Series 20689

“KAK Siti bagi nasi lemak dua bungkus,” pesan Suria.

“Boleh,” balas Siti. Tangannya tangkas membungkus nasi lemak dengan daun pisang.

“Kak Siti, Su nak tanya sikit ni.”

“Apa dia?”

“Kenapa Umar tu pilih janda miang tu jadi isteri? Punyalah ramai anak dara dekat kampung kita ni, janda tu juga yang dia nak.”

Mengucap Siti dibuatnya mendengar ujaran Suria. Tak sayang mulut betul!

“Hei, kenapa dengan kau ni Suria? Apa yang kau sakit hati sangat dengan Dahlia tu? Bukannya dia rampas suami kau,” marah Siti.

Suria ketap bibir. Memanglah Dahlia tak rampas suaminya tapi Dahlia rampas lelaki idamannya. Bertahun-tahun dia menyimpan perasaan pada Umar. Senang-senang je Dahlia berkahwin dengan lelaki itu. Lepas jadi janda pula tu.
“Perempuan macam tu tak layak untuk lelaki sebaik Umar.”

“Habis tu siapa yang layak? Kau?” Dengan Siti jangan main-main. Apa Suria ingat mulut dia je yang berbisa? Dia tak kenal Siti lagi.

“Kak Siti ni kenapa? Backup sangat perempuan tu.”

“Aku tahu Dahlia tu baik budaknya. Sekarang ni dia dah hidup bahagia dengan Umar. Kenapa nak ungkit masa silam dia?”

“Masalahnya dia tu baru je lagi bercerai dengan bekas suami dia. Tiba-tiba nak kahwin dengan Umar pula. Tak pelik ke?”

“Dah jodoh. Semuanya ALLAH dah susun cantik-cantik. Jadi kenapa kau sibuk nak mempersoalkan? Lagipun kalau dia orang berdua kahwin, tak ada kena mengena pun dengan kau. Lainlah kalau kau ada hati dekat Umar.”

Bibir diketap kuat. Suria mengesan sindiran di hujung ayat Siti. Tak guna betul!

“Tak jadilah nak beli nasi lemak. Dah kenyang. Akak jual je lah dekat orang lain.” Suria terus angkat kaki meninggalkan gerai Siti. Hatinya sakit.

Siti hanya mampu menggelengkan kepalanya. Tahu pula sakit hati. Dia bercakap tentang orang, tak fikir pula perasaan orang? Apa dia ingat dia je yang ada hati?

“BILA kita boleh jumpa?” soal Edri di hujung talian.

Dahlia mengeluh perlahan. Bukannya Edri tak tahu bukan mudah untuk dia bertemu dengan lelaki itu. Apa pula alasannya kali ini untuk ke sana?

“Susahlah awak. Nantilah. Bila keadaan semuanya dah okey, kita jumpa.”

“Tapi saya rindukan awak. Rindu sangat-sangat.”

Dahlia mengetap bibirnya. Hatinya sendiri tak tahan bila dengar suara Edri yang seakan merayu itu.

“Saya pun rindukan awak. Kita video call je eh?”

“Video call dengan jumpa depan-depan tak sama, sayang.”

Ah, bila Edri memanggilnya sayang lagilah buat Dahlia tak keruan. Kalau boleh dia juga mahu bertemu dengan lelaki itu. Tapi keadaan sekarang tidak mengizinkan.

“Lia, awak dah tidur dengan dia?” soal Edri tiba-tiba.

Dahlia langsung terdiam.

“Err… Tidur?”

“Ya, tidur. Dia dah sentuh awak? Saya tak senang duduk setiap kali bayangkan awak dengan dia. Sejujurnya saya cemburu. Tapi keadaan memaksa kita buat semua ni.”

Tubir mata Dahlia bergenang. Entah kenapa hatinya dihurung sebak mendengar ujaran Edri.

“Ed, semua ni akan berakhir nanti. Jangan risau. Kita akan kembali bersama.”

Tanpa Dahlia sedari, Umar berada di muka pintu bilik. Dia dengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut Dahlia dengan jelas. Hatinya bagai dihiris-hiris dengan belati tajam.

DAHLIA dan Umar melangkah masuk ke dalam kedai runcit Pak Samad. Mak Esah menyuruh mereka membeli bahan masakan untuk lauk tengah hari mereka nanti.

“Mak suruh beli apa lagi tadi?” soal Umar.

Dahlia angkat bahu. “Entahlah.”

Umar geleng kepala. Dalam kepalanya sudah ada senarai barang yang ingin dibeli. Sengaja dia bertanya pada Dahlia. Nampak sangat Dahlia memang tak ambil tahu.

“Apa yang kau tahu, Lia?”

“Makan.” Dahlia tersengih. Dia tahu dia boleh harapkan Umar. Makin sayanglah Mak Esah pada Umar.

Sedang Umar sibuk memilih bawang, telinganya menangkap jelas suara dua orang wanita sedang berbual. Bukan niatnya mahu mencuri dengar perbualan mereka tapi bila nama Dahlia disebut-sebut, terus dia fokus mendengar perbualan mereka.

“Si Dahlia tu tak sampai setahun kahwin dah jadi janda. Kesian… Tu lah nak sangat bernikah dengan orang kaya. Dia ingat orang kaya tu nak sangat ke dekat dia?”

“Akhirnya balik kampung juga. Kahwin dengan si Umar tu.”

“Gatal betul budak tu. Tak sabar-sabar nak kahwin semula.”

“Tak boleh hidup tanpa lelaki gamaknya.”

“Gila jantan lah tu.”

Umar mengetap kuat bibirnya. Wajahnya merah menahan rasa. Melampau betul tuduhan yang mereka lemparkan pada Dahlia.

“Umar, belanja aku ais krim ni.” Dahlia datang bersama dengan ais krim di tangan.

Tanpa mempedulikan Dahlia, Umar terus berlalu ke arah wanita-wanita tadi. Dahlia ditinggalkan terpinga-pinga.

“Eii, kedekutlah!” rungutnya.

Dia mengikut langkah Umar ke bahagian lauk basah. Tapi tiba-tiba…

“Assalammualaikum.”

Wanita-wanita tadi terkejut melihat Umar tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Tolong jangan cakap Umar dengar semua perbualan mereka tadi.

“Saya dengar mak cik-mak cik sebut nama isteri saya tadi. Ada apa-apa masalah ke?”

Terdiam masing-masing di situ. Liur ditelan berkali-kali.

“Kenapa Umar?” tanya Dahlia keliru. Dia tidak mengerti apa yang sedang berlaku ketika ni.

“Isteri saya tak ganggu sesiapa pun. Jadi tolong jangan nak cakap yang bukan-bukan tentang isteri saya. Kalau saya dengar lagi, saya tak akan duduk diam.” Usai itu Umar terus menarik tangan Dahlia yang masih lagi terpinga-pinga itu menuju ke kaunter pembayaran.

UMAR yang sedang memandu itu dikerling dengan hujung mata. Masuk je dalam kereta tadi suasana jadi sunyi sepi. Dahlia pun tak berani nak tegur Umar.

“Kenapa tak makan ais krim tu? Cair nanti,” tegur Umar. Akhirnya dia bersuara. Memecahkan kesunyian antara mereka.

“Mak cik-mak cik tadi tu mengata aku ke?” soal Dahlia. Dia tak pernah nampak Umar marah sampai macam tu sekali tadi. Pertama kali dia nampak Umar menakutkan.

“Kau tak payahlah dengar apa orang cakap tentang kau. Pekakkan telinga. Jangan simpan dalam hati.”

“Aku tak kisah dia orang nak cakap apa pun. Tapi kenapa kau marah sangat?” Dahlia tak sangka Umar siap bagi warning lagi dekat mak cik-mak cik tu tadi. Garang betul mamat ni!

Umar terdiam seketika. Siapa je yang tak marah bila isterinya dihina? Tugas seorang suami mempertahankan isterinya. Umar tak akan duduk diam bila ada yang cuba menyakiti Dahlia.

“Dah lah, makan ais krim tu sebelum cair.” Umar langsung menukar topik. Kalau boleh dia tidak mahu mengingat lagi kejadian tadi. Hatinya jadi panas mengenangkannya.

Dahlia mencebikkan bibirnya. Tanya pun tak boleh! Plastik ais krim dikoyakkan. Ais krim yang hampir cair itu langsung dijilat. Sesekali dia bernyanyi kecil sambil membuang pandang ke luar tingkap.

Umar menjeling sekilas. Hujung bibirnya ternaik sedikit. Nasib baiklah Dahlia tak dengar apa yang wanita-wanita itu katakan tadi tentangnya. Dia tidak mahu Dahlia terluka.

SEKALI lagi Dahlia buat kerja gila malam-malam begini. Disebabkan Pak Rahim dan Umar tiada di rumah, Dahlia sanggup memanjat tingkap biliknya untuk keluar berjumpa dengan Edri. Lelaki itu tiba-tiba datang ke kampungnya. Katanya dia sudah tidak tahan menanggung rindu pada Dahlia. Dapat jumpa sekejap pun jadilah.

Ada majlis ilmu di masjid. Pak Rahim dan Umar masih belum pulang. Kesempatan ini yang Dahlia gunakan untuk mencuri keluar bertemu dengan Edri. Mak Esah di ruang tamu. Rasanya dia juga tidak akan sedar jika Dahlia curi-curi keluar.
“Cepat lompat,” gesa Edri.

Dahlia telan liur. Boleh tahan tinggi juga kalau dia terjun daripada jendela biliknya ini. Waktu zaman dia sekolah dulu dia selalulah buat begini untuk curi-curi keluar rumah. Tapi zaman dulu dengan sekarang dah tak sama. Dahlia dah tak seberani dulu. Kalau dulu, dia redah je tanpa fikir panjang. Maklumlah jiwa remaja.

“Lia, cepat,” gesa Edri lagi bila Dahlia nampak seperti teragak-agak.

Sebelah kaki sudah berada di palang tingkap di biliknya. Dahlia telan liur. Kalau dia tersilap langkah, mahu patah riuk badannya.

Ah, redah je lah. Satu lagi kaki naik ke atas palang tingkap. Dia sudah bersedia untuk melompat.

“Dahlia!”

Dahlia yang terkejut terus terjatuh ke bawah. Dalam sekelip mata tubuhnya melayang ke udara dan jatuh ke bumi.

“Ah!” Terpejam mata Dahlia menahan kesakitan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience