SELEPAS kejadian tadi, Dahlia hanya berkurung di dalam bilik. Masih berkecil hati dengan Pak Rahim sebenarnya. Bukan besar mana pun kesalahannya sampai dihukum dengan getah paip. Apa abahnya ingat dia masih Dahlia sepuluh tahun yang lalu?
Apalah nasib… Dah besar panjang pun kena pukul dengan getah paip. Nak buat macam mana, Pak Rahim memang garang dan tegas orangnya. Maklumlah, bekas komando.
Tapi garang-garang Pak Rahim pun, Dahlia masih berani buat perangai. Daripada kecil lagi ada saja masalah yang ditimbulkan. Dan yang selalu menjadi penyelamatnya, tentulah Umar. Setiap kali Dahlia dihukum, Umar akan cuba memujuk Pak Rahim. Dengan Umar, hati Pak Rahim lebih lembut.
“Lia.” Mak Esah muncul di muka pintu biliknya.
Dahlia yang sedang duduk di birai katil itu angkat wajah.
“Ni, Umar bagi.” Plastik yang berada di tangannya dihulurkan pada Dahlia.
“Apa tu?” soal Dahlia. Lambat-lambat dia bangun berjalan ke arah Mak Esah.
“Ubat. Umar tu risaukan kau. Sapulah dekat tempat kena getah paip tadi.”
Dahlia mencebik. Huluran Mak Esah disambut.
“Umar je risaukan Lia. Mak tak risau?”
“Mak ni dah terlebih-lebih risau Lia. Salah sendiri, tanggung sendirilah. Lain kali jangan buat abah kau tu marah.”
“Dah lah, mak nak masak. Jangan lupa sapu ubat tu.” Mak Esah terus berlalu meninggalkan bilik Dahlia.
Dahlia menutup pintu. Plastik yang Umar berikan itu dibelek. Ada pelbagai jenis krim dan ubat luka di dalamnya. Punyalah banyak Umar beli ubat untuknya. Padahal bukan teruk mana pun lukanya. Melecet sikit je.
“Nak ambil hati aku baliklah tu,” gumam Dahlia sendiri. Dia masih geram dengan lelaki itu sebenarnya. Sakit hati bila Umar kutuk Edri. Padahal apa yang Umar katakan itu ada benarnya juga.
Kalaulah Edri tak ikutkan emosinya tentu hubungan mereka tidak akan berakhir begini…
SELEPAS pulang daripada masjid, Umar duduk di beranda rumah sambil menikmati angin malam. Fikirannya jauh melayang teringatkan Dahlia. Pasti wanita itu masih marah dengannya. Ah Umar! Tu lah, sebelum cakap tak fikir dulu. Ikutkan sangat perasaan tu. Dah tentu-tentulah Dahlia tu marah bila Umar mengutuk bekas suaminya.
Serba salah pula dibuatnya. Lagi-lagi apabila dia menolak untuk membantu Dahlia. Bukannya dia tidak mahu membantu. Kalau hal lain, dia tak akan teragak-agak untuk membantu. Tapi ini soal kahwin. Bukan hal yang kecil.
Memang dia cintakan Dahlia. Ini peluang untuknya memiliki Dahlia. Namun apalah ertinya jika dia hanya menjadi suami sementara buat Dahlia. Selepas itu dia perlu melepaskan Dahlia dan wanita itu akan kembali pada Edri. Makin sukar untuknya melupakan cinta pertamanya itu. Dalam hal ini, Umar perlu fikirkan soal hatinya juga.
“Kat sini rupanya. Umi ingatkan dah tidur,” tegur Mak Minah.
Umar tersentak daripada lamunannya. Dia tersenyum kecil pada Mak Minah.
“Umar ingat umi dah tidur.”
“Umi siapkan tempahan baju tadi,” balas Mak Minah. Duduk dilabuhkan di sebelah Umar.
“Banyak lagi ke tempahan baju yang nak disiapkan?” soal Umar.
Mak Minah memang seorang tukang jahit. Ramai orang kampung yang menempah baju padanya. Bukan takat orang kampung je. Kadang-kadang ada orang luar yang sanggup datang daripada jauh untuk menghantar tempahan baju. Ini kerana hasil kerja Mak Minah sangat cantik dan kemas.
“Ada dalam dua tiga pasang lagi.”
Umar mengangguk kecil. “Umi tak payahlah ambil tempahan banyak-banyak. Nanti umi penat,” ujarnya. Dah banyak kali dia minta Mak Minah berhenti menjahit namun wanita itu tetap ingin meneruskan kerjanya. Bukannya Umar tak mampu tanggung perbelanjaan mereka sekeluarga. Malah lebih daripada cukup. Lagipun cuma mereka berdua saja di rumah ini.
“Yalah. Umi dah kurangkan ambil tempahan tahun ni. Umi bukan apa, menjahit ni dah sebati dalam diri umi. Bila tak menjahit umi rasa macam ada yang kurang.”
Umar menghela nafas perlahan. “Umar bukan tak bagi umi menjahit. Tapi Umar tak nak umi penat sangat. Kesihatan umi tu perlu dijaga juga.”
“Ya, umi tahu Umar risaukan kesihatan umi. Lagipun sekarang ni umi dah tak amik tempahan banyak-banyak macam dulu.”
“Baguslah kalau macam tu.”
“Umi rasa umi kena turunkan bakat umi ni dekat seseorang. Supaya ada yang jadi penyambungnya nanti bila umi dah tak boleh lagi nak menjahit.” Mak Minah tersenyum di hujung ayatnya.
Dahi Umar berlapis memandang Mak Esah. “Umi nak Umar belajar menjahit ke? Koyak kain tu Umar kerjakan nanti.”
Mak Minah ketawa kecil. Umar tak faham rupanya kiasan dia.
“Bukan Umar tapi menantu umi.”
Terkedu Umar dibuatnya. Air liur ditelan. Dah kenapa pula umi tiba-tiba cakap pasal menantu ni?
“Umar tak nak kahwin ke?” soal Mak Minah tiba-tiba.
“Kenapa tiba-tiba umi cakap pasal kahwin pula ni?” soal Umar sedikit gugup. Entah-entah umi dah tahu kut yang Dahlia ajak dia kahwin. Tapi tak mungkinlah Dahlia berani beritahu umi.
“Tengok orang lain timang cucu, umi pun teringin. Umar tak ada berkawan dengan sesiapa ke sekarang ni?”
Nak tercekik Umar di buatnya mendengar soalan yang keluar daripada mulut Mak Minah.
“Ta-takda.” Umar geleng perlahan. Dia memang tak pernah ada kawan perempuan selain Dahlia.
“Nak umi tolong carikan calon isteri untuk Umar?” tawar Mak Minah.
Makin terkedu Umar dibuatnya. Biar betul umi ni?
“Sejak bila pula umi jadi agen cari jodoh ni?” selorohnya. Cuba menutup rasa gugup yang menyerang.
“Umar nak yang macam mana? Anak dara? Ibu tunggal? Atau…” Tak sempat Mak Minah habiskan ayatnya, Umar sudah memintas.
“Umi…”
“Apa?” Kening diangkat.
“Kahwin ni bukan hal yang kecil. Besar tanggungjawabnya. Kalau boleh biarlah Umar kahwin bila Umar rasa diri Umar dah betul-betul bersedia untuk pikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Buat masa sekarang biar Umar jaga lembu-lembu dekat kandang tu je.”
Mak Minah menepuk perlahan paha Umar. Main-main! Dia tak tahu ke orang tengah serius ni?
“SAYA dah jumpa cina buta yang boleh tolong kita.”
Dahlia terdiam. Debar jantung memukul dada.
“Dia kenalan saya juga jadi awak jangan risau.”
“Tapi Ed…” Ada keraguan yang menyisip di hati. Dahlia takut. Walaupun dia ingin kembali bersama Edri tapi dia tidak sanggup membayangkan yang dia perlu berkahwin dengan lelaki asing yang dia langsung tak kenal.
“Lia, jangan risau. Semuanya akan selesai dengan cepat. Lepas habis tempoh idah awak, saya akan uruskan urusan pernikahan awak dengan dia.”
Dahlia mengeluh perlahan. Senang betul kerja Edri. Yang menanggungnya nanti Dahlia juga.
“Tapi mak dengan abah…”
“Kita berterus-terang je lah yang kita guna lelaki tu sebagai cina buta.”
“Ed! Awak nak saya kena bunuh dengan abah ke?” Naik geram Dahlia dibuatnya. Mudah betul Edri berkata. Yang nak kena hadapnya nanti dia juga. Bukannya Edri.
“Awak janganlah risau Lia. Saya akan uruskan semuanya. Saya rindukan awak. Bila kita boleh jumpa?”
Ayat terakhir Edri buat hati Dahlia yang panas tadi sejuk kembali. Edri memang pandai mengambil hatinya. Sebab tu lah Dahlia berkali-kali jatuh hati pada lelaki itu walaupun kadang-kadang perangai Edri menyebalkan.
“Hujung minggu ni awak datang sini boleh? Saya nak kenalkan awak dengan Farid.”
Dahlia hanya diam. Otaknya ligat mencari idea bagaimana dia ingin memberitahu mak dan abahnya. Tentu saja mereka terkejut jika tahu Dahlia mahu bernikah lagi.
Share this novel
kerja gila, jgn jadi bodoh berkali-kali lia