Bab 9

Romance Series 20689

“MASALAH apa lagi yang kau nak buat kali ni Lia?” Masuk je kereta, Umar terus menyoal.

Dahlia mendengus sebal. “Jangan sibuklah. Kenapa kau ada dekat sini?”

Kecik besar kecik besar je Umar pandang Dahlia. Orang dah tolong bukannya nak ucap terima kasih!

“Kalau aku tak ada tadi, kau rasa apa yang akan jadi dekat kau?” soal Umar kembali.

“Kalau apa-apa jadi dekat aku, semuanya salah kau. Kau yang tak nak tolong aku, jadi aku carilah cara lain.”

“Apa maksud kau? Siapa lelaki tadi tu? Jangan cakap dia tu cina buta yang akan tolong kau dengan Ed,” tebak Umar.

“Ya. Ed yang carikan cina buta untuk kami.” Tapi sekarang ni Dahlia rasa dia dah berubah fikiran. Dia tak sanggup nak kahwin dengan lelaki seperti Farid. Belum apa-apa lelaki itu dah berani nak sentuh dia. Kalau dah kahwin nanti, tak tahulah apa yang jadi.

“Ya ALLAH, kau dah gila ke Lia? Kau tak kesian ke dekat mak dan abah kau? Cukuplah kau kecewakan dia orang hari tu. Kalau dia orang tahu plan kau ni, mesti dia orang bertambah kecewa.”

“Umar kau tak faham. Kau tak ada dekat tempat aku. Ini saja cara yang aku ada untuk kembali pada Ed. Kami dah tak boleh nak bersama selagi aku tak kahwin dengan lelaki lain.”

“Habis tu kau sanggup kahwin dengan lelaki entah apa-apa tu? Kau sanggup hancurkan hidup kau? Kau ingat kalau apa-apa jadi dekat kau, Ed tu akan selamatkan kau ke? Entah-entah nanti dia tinggalkan kau. Lepaskan diri macam tu je. Yang kena tanggung semuanya nanti kau sendiri.”

Dahlia terdiam. Sakit memang sakit dengar kata-kata Umar tapi ada benarnya juga apa yang lelaki itu katakan.

“Kalau nak menangis, menangis je lah. Jangan tahan-tahan.” Umar nampak bibir Dahlia sudah tercebik-cebik menahan tangis.

“Umar! Kau ni jahat lah.” Tangisan Dahlia terhambur. Ah, dia benci menangis di depan Umar tapi sekarang ni dia betul-betul tak tahan.

Anak mana yang mahu mengecewakan orang tuanya? Dahlia juga tidak sanggup. Tapi apakan daya, dia sudah tersilap langkah.
Umar tarik beberapa helaian tisu di tempat duduk belakang lalu dihulurkan pada Dahlia.

“Lia, kau bukan Dahlia sepuluh tahun lepas. Kau bukan budak sekolah lagi. Sebelum buat apa-apa keputusan, fikirlah dulu.” Kali ini suara Umar sudah tidak sekeras tadi. Dia pun tak sampai hati melihat Dahlia menangis.

“Habis tu kau nak aku buat apa? Kau tak nak tolong aku… Aku terpaksa cari lelaki lain.”

“Kalau aku kahwin dengan kau, boleh kau janji yang kau tak akan buat mak dan abah kau susah hati lagi. Boleh?”

Dahlia terdiam. Dia pandang wajah Umar tak percaya. Hari tu berkali-kali Umar menolak lamarannya. Tapi kenapa kali ni Umar tiba-tiba bersetuju pula untuk berkahwin dengannya?

“Kau nak tolong aku ke?” soal Dahlia meminta kepastian.

“Hmm.”

“Betul ke Umar? Kau tak main-main?” Entah mengapa Dahlia rasa lega sangat mendengar jawapan Umar. Mungkin lega kerana terlepas daripada berkahwin dengan lelaki seperti Farid.

“Aku cuma minta kau berhenti buat perangai.”

“Aku janji!” Dahlia kesat air matanya dengan tisu yang diberikan Umar tadi. Wajahnya terus berubah ceria.

“Malam ni kita nak tidur mana?” soal Dahlia. Kalau ikut rancangan asalnya dia akan bermalam di hotel.

“Kita balik terus.” Walaupun penat memandu tadi masih tak hilang, Umar terpaksa gagahkan juga untuk memandu pulang. Takkan dia nak bermalam di Kuala Lumpur bersama dengan Dahlia?

“Okeylah.” Dahlia iyakan saja. Kalau banyak complain nanti, takut Umar tiba-tiba berubah fikiran.

DENGKURAN halus menyapa gegendang telinganya. Umar yang sedang memandu itu mengerling sekilas ke arah Dahlia di sebelah. Wanita itu sudah nyenyak dibuai mimpi.

Hujung bibir Umar ternaik sedikit. Hatinya benar-benar lega bila ternampak Dahlia di restoran tadi. Kalaulah dia lewat datang, entah apa yang jadi pada wanita itu.

Umar tahu perkahwinan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main. Dia bersetuju untuk berkahwin dengan Dahlia bukan kerana ingin menjadi cina buta buat wanita itu tapi dia ingin menjadi pelindung Dahlia buat selamanya.

Dia berjanji pada dirinya yang dia akan menjaga Dahlia sampai hujung nafasnya. Untuk kali ini dia tak akan lepaskan Dahlia lagi. Dia tidak akan biarkan Dahlia jatuh ke tangan lelaki yang menghancurkannya.

Mungkin bagi Dahlia perkahwinan antara mereka hanyalah sekadar perkahwinan sementara. Tetapi tidak bagi Umar. Umar akan pastikan Dahlia jatuh cinta dengannya dan melupakan Edri sepenuhnya.

“Aku sayangkan kau, Dahlia,” ucap Umar tulus walaupun dia tahu Dahlia tidak akan mendengarnya.

“AKU terima nikahnya Dahlia Binti Rahim dengan mas kahwin sebanyak tiga ratus ringgit tunai.”

Dengan sekali lafaz, Dahlia dan Umar sah menjadi pasangan suami isteri. Siapa sangka dua sahabat baik sejak kecil itu kini sudah menjadi suami isteri.

Dahlia terkejut bila lihat reaksi Pak Rahim dan Mak Esah selepas dia memberitahu mereka yang dia mahu berkahwin dengan Umar. Mereka langsung bersetuju tanpa banyak soal. Berbeza dengan waktu dia suarakan mahu berkahwin dengan Edri dulu.

Mak Esah langsung tak kisah bila dia ingin berkahwin dengan Umar. Walaupun ini perkahwinan keduanya. Mereka cuma menasihatinya agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Kalaulah mereka tahu yang Dahlia cuma pergunakan Umar saja…

Tiada majlis yang meriah memandangkan ini perkahwinan kedua Dahlia. Hanya ada kenduri doa selamat sebaik majlis akad nikah selesai. Awal-awal hari tu Dahlia takut juga sebenarnya. Takut dengan penerimaan orang kampung. Mesti orang kampung mengata bila tahu dia berkahwin lagi.

Tapi Dahlia memujuk diri agar memekakkan telinga saja. Kalau nak ikut cakap orang, sampai bila-bila dia tak bahagia. Lagipun orang cuma bercakap sekejap je. Lama-lama nanti dia orang senyaplah.

“Alhamdulillah.” Mak Minah melafaz rasa syukur. Sebak menghempas dada. Rasa macam tak percaya Umar kini sudah bergelar seorang suami.

Dan dia tak sangka impiannya untuk menjadikan Dahlia sebagai menantu tercapai. Benarlah, sejauh mana pun kita pergi kalau sudah ditakdirkan bersama pasti akan bersama juga akhirnya.

“Lia, terima kasih terima Umar sebagai suami.” Mak Minah menggenggam erat tangan Dahlia. Matanya berkaca menatap wajah menantunya itu.

Dahlia mengangguk perlahan. Rasa bersalah menghimpit diri bila tengok reaksi Mak Minah. Kalaulah wanita itu tahu yang dia cuma
pergunakan Umar untuk kembali bersama Edri pasti dia kecewa.

“Pengantin lelaki, boleh sarungkan cincin.”

Umar bangun daripada tempat duduknya. Saat pandangan matanya beradu dengan mata Dahlia, Dahlia terkedu sebentar.

Umar menangis?

Dia nampak mata Umar berkaca dan lelaki itu juga cuba mengesat matanya. Sah, memang Umar menangis!

Tapi… Kenapa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience