“ASSALAMUALAIKUM.” Umar melangkah masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Dia baru saja pulang daripada memberi makan lembu-lembunya di kandang. Beginilah rutin hariannya setiap hari.
“Waalaikumsalam. Haa Umar dah balik,” jawab Mak Minah yang sedang sibuk menyiang ikan di sinki. Ditoleh sekilas ke arah anak bujangnya itu.
“Ya umi. Umi masak apa hari ni?” soal Umar. Kerusi di meja makan ditarik. Duduk dilabuhkan di situ. Air kosong dituang ke dalam gelas lalu diteguk perlahan.
“Umi nak masak asam pedas ikan pari.”
Umar mengangguk perlahan. Sedap. Dah lama dia tak makan asam pedas. Bibirnya melorek senyum. Cakap pasal asam pedas, dia mula teringat pada seseorang.
“Dah kenapa pula tersenyum seorang-seorang tu?” tegur Mak Minah.
Umar cepat-cepat menggeleng. Tertangkap pula perbuatannya dengan umi.
“Umi ada nak kirim barang pada Pak Rahim dan Mak Esah? Umar ingat sekejap lagi nak singgah rumah dia orang.”
“Ada. Tapi tunggu umi siap masak dulu. Umi nak bagi sikit lauk asam pedas ni.”
Dahi Umar berkerut halus. Setahunya Pak Rahim dan Mak Esah tak makan ikan pari. Yang makan ikan pari cuma… Dahlia. Dan wanita itu tiada di sini.
“Umar tak tahu ke Lia dah balik sini?”
Dengar saja sebaris nama itu, jantung Umar mula berdegup kencang. Dahlia dah balik?
“Bila Dahlia balik?” soal Umar ingin tahu.
“Semalam. Tapi…” Suara Mak Minah mengendur. Terpeta riak tidak senang pada wajahnya.
“Tapi kenapa umi?” soal Umar tak sabar. Dia mula tak senang duduk. Ada apa-apa ke yang terjadi pada Dahlia?
“Dahlia dah bercerai dengan suami dia.”
Berita yang disampaikan oleh Mak Minah itu benar-benar mengejutkan Umar. Tak sampai setahun berkahwin Dahlia sudah berpisah dengan suaminya. Biar betul?
“Betul ke ni umi?” soal Umar tidak percaya.
Mak Minah mengangguk perlahan. Dia sendiri terkejut apabila diberitahu berita itu. Dahlia itu sudah di anggap seperti anak kandungnya sendiri. Macam mana dia sayangkan Umar, macam tu jugalah dia sayangkan Dahlia. Apabila tahu Dahlia sudah bercerai, dia juga turut bersedih.
Umar telan air liur yang terasa kesat. Dia mahu berjumpa dengan Dahlia. Mahu tanyakan sendiri pada kawan baiknya itu mengapa dia berpisah dengan Edri.
Lima bulan lepas Dahlia berkahwin dengan lelaki pilihannya, Edri. Mereka berdua berkenalan ketika Edri mengikut kawan baiknya pulang ke kampung. Tak sampai sebulan berkenalan, Edri terus mengajak Dahlia berkahwin.
Sebagai kawan baik Dahlia, Umar tumpang bahagia melihat Dahlia sudah mendirikan rumah tangga bersama dengan lelaki pilihannya. Tapi jauh di sudut hati dia tak mampu menahan rasa kecewa yang menyesak dada.
Daripada zaman sekolah dia menyimpan perasaan pada Dahlia. Tapi dia tidak pernah meluahkan perasaannya pada Dahlia. Bimbang jika Dahlia tidak boleh terima dan akan merosakkan hubungan persahabatan mereka. Jadi Umar memilih untuk memendam saja.
Tapi tak sangka secepat ini Dahlia jatuh cinta pada lelaki yang baru saja dia kenali. Tak boleh nak salahkan Dahlia. Ciri-ciri lelaki idaman Dahlia semuanya ada pada Edri. Lelaki itu sempurna di mata Dahlia. Bukan hanya rupanya yang tampan. Kerjanya juga bagus. Edri juga datang daripada keluarga yang berada. Awal-awal lagi Umar sudah kalah. Lagipun memang impian Dahlia mahu berkahwin dengan lelaki kaya dan mahu tinggal di bandar.
Umar sedar diri. Dia dan Edri bagai langit dan bumi kalau nak dibandingkan. Dia cuma penternak lembu. Belajar pun hanya setakat SPM. Mana mungkin Dahlia mahu memilihnya sebagai suami. Lagipun di mata Dahlia dia cuma seorang kawan. Tak lebih daripada itu.
Selepas bergelar isteri Edri, Dahlia tak lagi pulang ke kampung. Mujur ada Umar yang selalu singgah ke rumah orang tua Dahlia. Dia lah yang banyak membantu ibu bapa Dahlia jika mereka memerlukannya.
Umar tak sangka kali ini Dahlia balik ke kampung dan statusnya berubah kembali. Dia sangkakan Dahlia baik-baik saja di sana. Sejak Dahlia berkahwin, hubungan dia dan Dahlia tidak lagi rapat seperti dulu. Mak Minah banyak kali mengingatkannya supaya menjaga batas kerana Dahlia sudah bergelar isteri orang. Mereka tidak boleh lagi rapat seperti dulu. Dahlia juga nampak seperti ingin menjauhkan diri daripada Umar. Mungkin kerana mahu menjaga hati Edri.
“Umar jangan pula tanya Lia kenapa dia bercerai,” pesan Mak Minah.
“Tapi peliklah umi. Baru jer lima bulan dia orang tu berkahwin. Tak akan dah bercerai?”
“Jodoh pertemuan ni semua di tangan Allah. Kalau dah tertulis jodoh Lia dengan suami dia sampai situ je, sampai situ je lah. Kita tak perlu mempersoalkan keputusan orang lain. Mungkin ini jalan yang terbaik untuk mereka.”
Umar hanya mengangguk. Namun perasaan ingin tahu menebal di hatinya.
“Sebab tu ke umi masak lauk asam pedas ikan pari hari ni?” soal Umar.
Dahlia suka sangat lauk asam pedas ikan pari. Tiap kali dia teringin nak makan, dia mesti minta Mak Minah masakkan untuknya kerana Mak Esah memang tak pernah masak lauk itu di rumahnya. Dia dan suaminya memang tak makan ikan pari. Dahlia dulu pun tak makan ikan pari. Umar lah yang ajar dia makan ikan pari. Terus jadi lauk kegemarannya.
Mak Minah senyum segaris. Bila dia tahu Dahlia dah balik, cepat-cepat dia pergi pasar untuk membeli ikan pari. Dia juga rindukan Dahlia. Maklumlah sudah lama tidak bertemu. Kalau boleh dia mahu sekali Dahlia menjadi menantunya. Tapi dia tahu Dahlia tak pernah mempunyai perasaan pada Umar dan dia juga tidak mahu memaksa. Dia hormati pilihan Dahlia.
Umar menghela nafas perlahan. Dia tak tahu macam mana nak berhadapan dengan Dahlia. Mungkin akan rasa janggal kerana mereka sudah terlalu lama tidak bertemu.
Share this novel