Bab 5

Romance Series 20689

JAM di pergelangan tangannya dijeling sekilas. Sudah hampir lima belas minit dia duduk di tebing sungai menanti Dahlia. Dahlia yang mengajaknya berjumpa hari ini di sini. Pelik juga. Boleh saja berjumpa di rumah Dahlia atau rumahnya tapi kata Dahlia ada hal penting yang mahu dibincangkan.

Memori sepukuh tahun lepas menjengah fikirannya kembali. Ketika dia dan Dahlia masih berada di bangku persekolahan.

“Umar, lepas habis SPM nanti kau nak buat apa? Kau nak sambung belajar tak?” soal Dahlia. Wajah Umar yang berjalan di sebelahnya dipandang sekilas.

Umar angkat bahu. Gayanya seperti sedang berfikir. “Entahlah Lia. Aku tak fikir lagi. Kau macam mana? Dah ada plan ke?” Giliran Umar pula menyoal.

Dahlia tersenyum membayangkan impiannya. “Aku nak keluar daripada kampung.”

“Kau nak pergi sambung belajar ke?” soal Umar tak percaya. Dahlia itu malas belajar orangnya. Dalam kelas pun tidur. Mustahil gadis itu memasang impian untuk melanjutkan pengajian di universiti.

“Sambung belajar tu tak. Tapi aku nak kerja dekat KL.”

Umar terus menoleh memandang Dahlia. “Kat kampung ni kan ada kerja juga yang boleh kau buat. Kenapa nak pergi cari kerja jauh-jauh?”

Dahlia menghela nafas berat. “Sampai bila kita nak terperuk je dekat kampung ni Umar? Aku teringin sangat nak duduk bandar. Nak pakai baju cantik-cantik. Nak pergi butik mahal. Nak pergi spa. Nak bawa kereta mahal. Nak duduk rumah bertingkat-tingkat.”

Umar geleng kepala perlahan mendengar angan-angan Dahlia. Jauh betul Dahlia berfikir. Sedangkan sekali pun tak pernah terlintas di fikirannya untuk meninggalkan kampung halamannya ini. Memang duduk di bandar itu seronok. Tapi tak sama rasanya dengan duduk di kampung. Jauh manapun kita pergi, akhirnya nanti kita tetap akan ke tempat asal kita.

“Lagipun kalau duduk kampung ni, apa je yang aku boleh buat?” sambung Dahlia lagi.

“Lia, banyak je kerja yang kau boleh buat. Kau boleh ambil upah menjahit. Kau boleh jual kuih. Haa kau boleh juga kerja dekat kilang kerepek Syihan.” Bersungguh-sungguh Umar memberi idea. Kalau boleh dia tidak mahu kawan baiknya itu keluar daripada kampung.

Dahlia mencebikkan bibirnya mendengar cadangan Umar. Kemudian dia ketawa mengejek. “Tak ada class langsunglah. Aku ni ada cita-cita tau Umar. Ada impian. Aku kalau boleh nak kahwin dengan lelaki yang kaya-raya. Lepas tu aku nak duduk bandar. Aku dah muak duduk kampung ni. Sekali-sekala balik tu bolehlah. Takkanlah kau tak teringin nak tengok dunia luar? Sampai bila kau nak terus terperuk dekat dalam kampung ni?”

Umar sedikit terkejut mendengar jawapan Dahlia. “Lia, kat mana pun kita berpijak, akhirnya nanti kita akan pulang ke tempat asal kita juga. Aku tak kisah kalau duduk kampung terus sampai bila-bila. Lagipun aku nak jaga umi. Umi dah tak ada sesiapa selain aku. Takkan aku nak tinggalkan umi seorang-seorang dekat kampung ni.”

Dahlia mengeluh perlahan. “Klise lah jawapan kau Umar. Bukannya tak boleh kau bawa umi ikut kau pergi bandar sekali.”

“Habis tu macam mana dengan lembu-lembu tu? Siapa nak jaga?”

“Jual je lah. Dapat duit, pergi mulakan hidup baru dekat bandar tu.” Senang Dahlia memberi cadangan.

“Lembu-lembu tu je lah satu-satunya peninggalan arwah ayah aku. Aku dah janji nak tolong umi teruskan perniagaan ayah,” tukas Umar.

“Kita ni hidup cuma sekali je tau Umar. Bila lagi nak merasa semua tu kalau kita tak mula dari sekarang?” soal Dahlia.
“Teruk sangat ke duduk kampung Lia?” Suara Umar berubah tegas. Dia tak suka bila Dahlia seolah-olah merendahkan orang kampung. Hina sangat ke duduk di kampung? Apa yang nak dimegahkan sangat jika duduk di bandar?

“Hmm teruk tu taklah. Cuma kolot sikit.” Dahlia ketawa di hujung ayatnya.

“Apapun, aku tetap nak kahwin dengan orang kaya. Aku yakin suatu hari nanti impian aku akan tercapai. Aku akan keluar daripada kampung ni,” ujar Dahlia penuh yakin. Seolah dapat membaca perjalanan hidupnya.

Dan...

Impian Dahlia untuk berkahwin dengan orang kaya tercapai. Tak sangka perkenalan singkat dia dan Edri membawa sehingga ke jinjang pelamin. Ketika Dahlia memberitahu Umar yang dia mahu berkahwin dengan Edri, hati Umar bagai ditoreh-toreh. Saat itu dia tahu yang dia bakal kehilangan Dahlia. Dia bakal kehilangan sahabat baiknya merangkap cinta pertamanya.

Tapi tak sangka baru beberapa bulan bergelar isteri kepada Edri, Dahlia sudah diceraikan. Talak tiga terus pula tu.

“Umar!” Panggilan itu membuatkan Umar tersentak daripada lamunan panjangnya. Kepala ditoleh ke arah suara itu. Dilihat Dahlia turun daripada basikal yang ditunggang. Wanita itu datang ke arahnya.

“Dah lama ke tunggu aku?” soal Dahlia.
“Sikit lagi aku nak terjun dalam sungai ni tadi,” sindir Umar.

Dahlia tergelak kecil. “Sorry. Mak aku pula banyak soal tadi.” Duduk dilabuhkan di atas batu bersebelahan Umar.

“Mak cik tanya apa?” soal Umar ingin tahu.

“Dia tanya aku nak pergi mana,” balas Dahlia. Terpaksa dia berbohong dengan Mak Esah tadi. Katanya mahu ke kedai. Padahal mahu berjumpa Umar di sungai.

“Kenapa tak nak jumpa dekat rumah je?” soalnya hairan.

Pelik juga bila Dahlia beria-ia ajak dia berjumpa di sini. Memang di sungai ini tempat mereka selalu meluangkan masa dulu. Tapi dalam keadaan status Dahlia sekarang, tak manis jika mereka berdua-duaan di sini.

“Sebab ada hal penting yang aku nak cakap dengan kau. Orang lain tak boleh dengar. Tak boleh tahu,” tegas Dahlia.

Dahi Umar berlapis memandang Dahlia. “Apa dia?” soalnya tidak sabar.

“Aku... aku... aku nak...” Tergagap-gagap Dahlia dibuatnya. Entah kenapa tiba-tiba ayat yang sudah disusun dalam kepala hilang begitu saja. Keberaniannya untuk berhadapan dengan Umar seolah hilang ditiup angin lalu.

“Aku apa?!” Sergah Umar.

“Aku nak ajak kau kahwin dengan aku!” Dengan satu nafas Dahlia menjawab.

“Hah? Kahwin?” Nak tercabut jantung Umar mendengarnya. Matanya bulat memandang Dahlia tak percaya.

Dahlia gigit hujung bibirnya. Jantungnya juga berdetak laju. Dia tahu ini kerja gila. Tapi dia benar-benar perlukan pertolongan Umar. Hanya Umar yang boleh membantunya. Dia lebih rela jika Umar yang jadi cina buta untuknya.

“Kenapa dengan kau ni Lia? Aku tak fahamlah.” Umar menggeleng perlahan. Pening kepalanya dengan perlakukan Dahlia. Mula-mula dia ajak Umar jumpa di sungai. Tiba-tiba pula ajak Umar kahwin. Tak ada angin tak ada ribut. Sudahlah dia baru saja berpisah dengan bekas suaminya.

Nafas dihela berat. Wajah Umar direnung dalam. “Sebenarnya aku perlukan cina buta. Kau tahu kan aku dengan Ed dah bercerai talak tiga. Kami dah tak boleh nak rujuk semula melainkan aku kahwin lain.”

Terbuntang mata Umar mendengar penjelasan Dahlia. Jadi Dahlia mahu dia menjadi kambing hitam agar dia dan Edri boleh berkahwin semula.

“Lia... Kau dah gila ke?” Umar menggeleng perlahan. Terselit rasa kecewa di hati apabila Dahlia seolah-olah mempergunakannya. Apa Dahlia fikir perkahwinan ni macam main masak-masak?

“Umar, aku tahu ni kerja gila. Tapi aku cintakan Ed dan dia pun masih cintakan aku. Tapi kami dah tak boleh nak bersama lagi. Jadi aku betul-betul perlukan pertolongan kau,” jelas Dahlia. Wajahnya penuh pengharapan.

“Bolehlah Umar. Kali ni je. Tolong aku. Aku kan kawan kau,” pujuk Dahlia. Dia benar-benar berharap Umar bersetuju untuk membantunya.

Keluhan berat dilepaskan. Bahunya mengendur. “Kalau hal lain tu, aku boleh tolong Lia. Tak ada masalah. Tapi ini soal kahwin. Bukan benda main-main. Nanti lepas aku ceraikan kau, apa yang aku dapat?”

“Ed akan bayar kau. Cakap je berapa kau nak.”

Umar berdecit perlahan. Dahlia ingat dia mata duitan macam Dahlia ke? “Ini bukan soal duit. Aku tak nak duit.”

“Dah lah nanti aku dapat tittle duda. Tak pasal-pasal je,” sambung Umar lagi. Sebal dengan Dahlia yang hanya pentingkan dirinya sendiri.

“Duda terlajak laris. Mesti jadi rebutan anak dara dekat kampung ni.” Dahlia tersengih memandang Umar. Tak dinafikan Umar memang mempunyai paras rupa yang kacak. Tapi mungkin disebabkan Umar itu kawan baiknya, jadi Dahlia tidak pernah tertarik pada lelaki itu.

WAJAH Dahlia masam mencuka. Geram apabila Umar tidak mahu membantunya. Berkali-kali dia pujuk lelaki itu tadi. Tapi jawapan Umar tetap sama. Katanya dia tidak mahu terlibat langsung dengan masalah Dahlia.

Ah! Kawan jenis apa kalau tak boleh nak tolong kawan sendiri ni? Hati Dahlia menjerit sebal.

Tiba di hadapan rumah, Dahlia turun daripada basikalnya. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan belakang tangan. Buang masa je jumpa dengan Umar tadi. Kalau dia tahu Umar memang tidak mahu membantunya, tak perlu susah-susah dia berjumpa dengan lelaki itu.

“Kau jumpa siapa tadi Dahlia?”

Dahlia tersentak apabila suara garau itu menampar gegendang telinganya. Melihat renungan tajam Pak Rahim membuatkan perutnya kecut. Mak Esah yang berdiri di belakang Pak Rahim juga merenungnya tajam seperti mahu telan Dahlia hidup-hidup.

“Lia... Lia pergi kedailah abah. Kenapa?” soal Dahlia. Takkan mak abah dah tahu kut dia jumpa Umar tadi? Tapi tengok gaya mereka, pasti mereka sudah tahu yang dia pergi berjumpa dengan Umar tadi. Entah-entah Umar yang beritahu mereka. Ah! Matilah dia kalau mak dan abah tahu yang dia meminta Umar menjadi cina buta untuknya.

“Abah tanya sekali lagi. Kau pergi mana tadi?” tegas sekali kedengaran suara Pak Rahim.

Gulp! Dahlia telan air liur. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Pak Rahim.

“Lia tak pergi kedai. Lia pergi sungai jumpa...” Tak sempat Dahlia habiskan ayatnya, Pak Rahim mencapai getah paip yang tersangkut pada tangga. Kakinya bergerak laju mendapatkan Dahlia.

“Ah! Sakit abah!” jerit Dahlia saat getah paip tadi singgah di badannya.

Dada Pak Rahim turun naik menahan amarah. Mak Esah hanya memerhati gerak suaminya itu. Sedikitpun dia tidak menghalang. Dahlia memang perlu diajar.

Sekali lagi getah paip tadi diangkat untuk melibas tubuh Dahlia namun ada tangan yang menahannya daripada berbuat begitu.

“Pak cik, jangan pak cik...” halang lelaki itu. Getah paip yang berada di tangan Pak Rahim pantas diambilnya.

Dahlia perlahan-lahan angkat wajah memandang pemilik suara itu. Dia...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience