Bab 11

Romance Series 20689

SELEPAS makan malam, Mak Esah dan Pak Rahim langsung masuk tidur. Maklumlah, penat seharian melayan tetamu.

Dahlia pula duduk di ruang tamu sambil menonton televisyen bersama dengan Umar. Tapi bila telefonnya berdering, Dahlia terus masuk ke dalam bilik. Umar tahu yang menelefon isterinya itu adalah Edri. Lebar semacam senyuman Dahlia waktu menjawab panggilan itu tadi.

Rancangan di televisyen tiada satu pun yang menarik perhatian Umar lagi. Fikirannya terganggu dengan Dahlia. Agaknya apa yang Dahlia bualkan dengan Edri? Lebih kepada cemburu sebenarnya. Suami mana yang boleh duduk diam bila tahu isterinya sedang berbual di telefon bersama bekas suaminya?

Umar langsung tutup televisyen. Langkah diatur menuju ke bilik Dahlia yang kini sudah menjadi biliknya juga. Daun pintu ditolak perlahan. Nasib baiklah Dahlia tak kunci pintu. Kalau tak, tidur diluar lah dia malam ini nampaknya.

Tengok Dahlia masih lagi sibuk bercakap dengan telefon, Umar langsung berbaring di atas katil. Sambil itu telinganya mencuri dengar apa yang Dahlia bualkan dengan Edri.

Manja semacam suara Dahlia bila bercakap dengan Edri. Kalau dengan dia, jangan haraplah. Bukan main garang!

Bila Dahlia perasan Umar sedang memandang ke arahnya, Umar cepat-cepat melelapkan matanya. Berpura-pura tidur.

“Umar, awalnya tidur,” tegur Dahlia. Dia baru saja habis bercakap dengan Edri. Kalau boleh nak berbual sampai tengah malam tapi lelaki itu pula yang mahu tidur.

“Mak dengan abah pun dah tidur,” balas Umar.

“Dia orang memang biasa tidur awal. Kau pun jenis yang tidur awal ke? Biasanya, orang tua je yang tidur awal ni.” Sempat Dahlia mengusik. Hatinya senang dapat berbual dengan Edri.

Ah, tak sabarnya nak kembali kepada lelaki itu. Dia sudah merancang untuk berpisah dengan Umar selepas dua ke tiga bulan lagi. Lagi cepat, lagi bagus!

“Hei, kita ni sebaya tau. Jangan nak mengutuk aku. Kalau aku tua, kau pun tua.”

Dahlia ketawa. “Tapi aku always forever young.”

Umar mencebikkan bibirnya. “Seronok berbual dengan kekasih hati?” perlinya.

“Seronok.” Dahlia tersengih-sengih. Langsung tiada rasa bersalah. Dia tak sedar pun yang Umar tengah memerlinya.

“Malam ni malam pertama kita. Tapi kau sibuk berbual dengan lelaki lain dekat telefon. Apalah nasib aku…”

Riak wajah Dahlia terus berubah bila dengar Umar sebut tentang ‘malam pertama’. Haish, jangan nak macam-macam.

Dahlia tahu syarat wajib untuk dia berkahwin semula dengan Edri, Umar perlu menyentuhnya. Tapi… Dia masih belum bersedia!

Orang yang dia pandang selama ini hanya sebagai kawan baik tiba-tiba berubah status menjadi suami. Dahlia perlukan masa untuk terima semua tu. Lagipun dia masih ada banyak masa lagi. Takkanlah malam ni juga Umar nak tuntut hak dia kut.

“Erm… Umar… Aku…” Tiba-tiba Dahlia jadi gagap pula.

“Kau kenapa?” Umar tahan ketawa. Cuak semacam muka Dahlia bila dia cakap tentang malam pertama. Niatnya cuma mahu bergurau.

“Umar, aku tak bersedia lagi. Kau pun tahu kan kita kahwin sebab…”

“Hei, kau ingat aku ni apa? Aku tak gelojoh lagilah nak terkam kau. Tak payah risau. Tapi aku tak tahulah kalau kau yang terkam aku dulu.” Umar ketawa di hujung ayatnya.

“Kau ni kan!” Dahlia capai sebiji bantal lalu dilempar pada Umar. Dalam masa yang sama dia lega. Mujurlah Umar tidak memaksanya.

“Dah lah, tidur.” Umar bangun daripada pembaringannya. Dengan selamba baju t-shirt yang tersarung di tubuhnya ditanggalkan.

“Eh, Umar! Kenapa kau buka baju ni?” soal Dahlia kalut. Cepat-cepat dia larikan wajah ke arah lain. Tak senonoh punya Umar!

“Biasanya aku tidur memang tak pakai baju,” balas Umar selamba.

“Pakai baju cepat! Tak senonohlah,” gesa Dahlia. Dia masih memandang ke arah lain. Segan nak pandang Umar yang tak berbaju tu.

“Eleh, macamlah kau tak pernah tengok badan aku. Dulu waktu kau teman aku mandi sungai, okey je.” Umar menyarung kembali bajunya.

“Itu waktu kita budak-budak. Sekarang ni lain.”

“Lain? Lain kenapa? Sebab badan aku makin seksi eh? Kau takut tergoda?” sakat Umar sambil ketawa besar. Makin Dahlia marah, makin kuat dia mengusik.

Jelingan tajam dilempar pada Umar. Perasan! Sikit pun dia tak terliur tengok badan Umar. Cuma dia tak selesa je. Nanti lain pula yang jadi. Baik dia cegah awal-awal.

“Dah lah, aku nak tidur. Malas nak layan kau.” Sebiji bantal di atas katil dicapai. Dahlia sudah bercadang untuk tidur di atas lantai sahaja.

“Nak pergi mana?” soal Umar.

“Tidurlah.”

“Tidur dekat bawah?” tanya Umar lagi.

“Malam ni je aku bagi peluang kau tidur atas katil aku.”

“Katil ni tak cukup besar ke untuk kita?”
“Umar… Kan aku dah cakap…”

“Aku tak akan buat apa-apa. Kau tak percayakan aku ke? Tidur je lah.” Kesal Umar dibuatnya.

Dahlia terdiam seketika. “Kau janji yang kau tak akan buat apa-apa?”

“Kau ingat kita dalam drama ke? Kahwin paksa, seorang tidur atas katil. Seorang tidur dekat lantai.”

“Ya lah. Kalau kau ambil kesempatan dekat aku, siaplah kau.”

“Kalau aku nak ambil kesempatan, dah lama aku buat Lia.” Umar terus berbaring di atas katil. Sengaja dia letak bantal peluk di tengah-tengah. Biar menjadi penghadang untuk mereka.

Lambat-lambat Dahlia naik ke atas katil. Harap Umar betul-betul tunaikan janjinya.

SUARA orang mengalunkan surah Yasin menyedarkan Dahlia daripada tidurnya. Buka je mata, dia terkejut melihat Umar yang sedang duduk di sisinya sambil membaca surah Yasin.

“Umar!” Dahlia terus bangun daripada pembaringannya. Matanya yang masih mengantuk itu digosok-gosok.

“Haa, bangun pun. Ingatkan dah tak nak bangun terus tadi.”

Dahlia menampar perlahan lengan Umar yang sudah siap memakai baju Melayu itu. Awal betul Umar bangun.

“Yang kau bangun awal sangat ni kenapa? Nak ganti bilal azan dekat masjid ke?”

“Lagi lima minit nak masuk azan subuh. Pergi mandi cepat,” gesa Umar. Punyalah susah nak kejut Dahlia bangun. Orang dah baca Yasin baru sedar.

“Ya lah. Ish, membebel macam abah.” Lambat-lambat Dahlia turun daripada katil. Kalau dengan Edri dulu, dia yang bangun dulu sebelum lelaki itu. Itu pun selalu terlajak solat subuh pukul 7 pagi. Kadang-kadang dia tinggalkan solat tanpa rasa bersalah.

Umar hanya menghantar langkah Dahlia dengan pandangan. Bukan mudah untuk dia mendidik seorang wanita. Tanggungjawab yang dipikul ini amat berat. Tapi inilah tugas Umar sebagai seorang suami. Dia akan cuba sehabis baik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience