Arisa bagai tidak percaya kalau sebenarnya alasan lelaki itu tidak meminta kebenarannya terlebih dahulu adalah kerana segan. Segan mahu mengungkapkan kata ‘boleh saya papah awak?’, ‘meh saya papah’ atau apa-apa sahaja yang seangkatan dengannya. Setelah pulang dari klinik, lelaki itu terus meminta maaf dan menjelaskan situasinya.
“Alaa, kalau dah suka tu cakap je la.”
Arisa membulatkan mata. Dia menayangkan buku limanya tepat di hadapan wajah Aril. Tidak kuasa melayan sengalnya Aril.
Bila memikirkan kembali saat bermulanya perkenalan mereka dulu, Arisa bagai tidak menyangka kalau akhirnya dia dan Aril akhirnya menjadi sahabat baik. Bukannya dia dan Aril sama sombong tapi mungkin masing-masing segan.
Hampir lapan bulan dia mengikuti kelas taekwondo itu, hanya setelah kejadian di mana Aril membantu menghantarnya ke klinik, barulah mereka mula bersahabat. Ada hikmah juga dia cedera agaknya.
Setelah mengenali Aril, barulah dia tahu hati budi Aril sebenarnya. Barulah dia menyedari kenapa Aril menjadi kegilaan hampir sebahagian daripada pelatih taekwondo di dalam kelas mereka. Kehebatannya dalam seni mempertahankan diri yang satu ini memang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Mungkin kelebihannya bila berbadan tinggi. 178cm. Kalah la kalau nak dibandingkan dengan Arisa. Ditambah pula dengan kekacakan Aril, matanya yang redup, keningnya yang lebat dan dagunya yang terbelah sedikit, tak hairan lah kalau ramai admirer termasuk akaks-akaks dan aunties-aunties pun. Hot gitu, kan.
Selama ini dia hanya memerhatikan Aril dari jauh sewaktu lelaki itu dalam latihan. Menjadi penyokong dan penyorak yang paling bersemangat sewaktu dia bertanding dalam kejohanan. Bukan Arisa seorang stalker. Tapi dia pun mengakui bahawa dia suka melihat langkah Aril yang pantas, gerak tangannya yang tajam, hayunan kakinya yang mantap.
Mengingatkan dia kepada lagak Lee Minho pujaannya dalam drama korea City Hunter. Ahh! Seminggu sahaja dia mampu menghabiskan 20 episod drama itu. Itu pun tengah dalam ujian akhir semester. Rakan-rakan yang lain demam exam, dia sahaja yang angau tak sudah, demamkan Lee Minho.
* * * * * *
BUAT kesekian kalinya, Arisa mengeluh lagi. Dia tidak kuasa mahu melayan cerewetnya Aril berbelanja. Itu tak kena, ini tak cantik, warna suram, corak macam zaman dulu, belang hitam kuning dah macam lebah. Penat Arisa melayan kerenah rakannya itu.
Kalau ikutkan hati dia malas mahu menemani Aril, sudah tahu benar kerenah Aril. Namun tidak sampai hati pula mahu menolak. Selama ini kalau dia dalam masalah, tak lain tak bukan lelaki itulah orang pertama yang dia akan cari.
Tak nak lah jadi kacang lupakan kulit. Cewah! Pandai pulak aku berperibahasa. Siapa kata anak Haji Mahmud fail BM?
“Risa,” panggilan garau itu membuatkan Arisa mendengus.
“Apa dia?” Arisa menjawab malas dan berpaling.
Eh? Mana Aril? Dia memandang kiri dan kanan.
Di hadapannya kini bukan Aril tapi seorang lelaki tinggi yang segak dalam kemeja. Siap bertali leher lagi. Wah! Hensem bukan main lagi kau ye. Siapa ni? Tau pulak nama aku? Sangkanya Aril yang menyeru namanya sebentar tadi.
Share this novel