ARISA mengerling lagi jam yang melilit di pergelangan tangan. Sudah hampir setengah jam dia menanti. Langsung tiada teksi mahupun bas yang lalu. Teringat pelawaan Sara yang ditolak sebentar tadi. Dia tidak mahu menyusahkan gadis itu untuk menghantarnya pulang. Arah rumah mereka berlainan. Satu ke barat, satu ke timur. Takkan dia mahu menyusahkan Sara terpaksa memandu jauh-jauh.
Dia juga tidak sampai hati mahu meminta tolong abangnya. Dia tahu pasti abangnya yang berkerjaya doktor itu sedang sibuk. Nak cari bini pun tak sempat, lagi nak jemput aku bagai. Kalau tidak kerana keretanya buat masalah pagi tadi, dia pasti tidak akan ada di sini.
Pagi tadi datangnya dijemput Aril. Tapi memandangkan dia baru sahaja bertikam lidah dengan Aril sebentar tadi, dia tidak mahu dikatakan tebal muka meminta bantuan lelaki itu. Gila nak tayang muka tak malu nak minta tolong?
Kenapa dia bergaduh dengan Aril. Heh! Pening kepala dia memikirkan sikap Aril sejak kebelakangan ini. Anginnya tidak menentu. Senang marah tidak tentu pasal. Hari itu dia dimarahi kerana membiarkan Syamil memegangnya. Eh?
Masalahnya, mana ada aku kasik sesuka hati macam tu. Orang tu nak tolong aku je pun. Lepas tu, Aril naik angin bila Arisa sembang dengan waiter muka jambu waktu mereka keluar makan beberapa hari lalu. Tu tak kira lagi bila Arisa sembang dengan uncle jual paper, bila ada mamat hensem menguratnya. Dia dikatakan melayan saja.
Aduhai, mana ada dia menggedik mahu melayan. Susah sungguh mahu memahami Aril sekarang ni.
Tadi, tiba-tiba entah kenapa Aril memintanya berhenti daripada kelas taekwondo ini. Tak nak! Arisa tak rela kalau terpaksa menghentikan minatnya itu hanya kerana Aril risaukan keadaannya yang sering sahaja tercedera. Seperti kecederaan yang dialaminya sekarang ini.
Arisa akur kalau dia seringkali mengalami kecederaan sewaktu berlatih. Mungkin kerana dia lalai. Mungkin juga kerana saiz kakinya yang kecil membuatkan dia sukar untuk stabil. Apabila ada asakan daripada lawan, mudah sahaja untuk dia rebah.
Namun, Arisa bangga kerana walaupun hanya dengan ketinggian 150cm, Arisa masih berjaya merangkul banyak pingat dalam acara sparring kejohanan taekwondo yang disertainya.
Bangga Haji Mahmud dan Hajah Zaleha dengan anak gadis yang seorang ini. Nampak sahaja lembut di luar. Nampak seperti mudah sahaja dibuli tapi Arisa bukan gadis lemah. Dia sudah masak dengan jatuh bangun dunia seni mempertahankan diri.
Ini sudah bukan kali pertama dia mengalami kecederaan sebegitu. Sudah masak. Dia akur kalau adat berlatih, jatuh, cedera bukan lagi perkara asing.
Namun pendapatnya bertentangan dengan Aril. Kata Aril, sebagai perempuan, aktiviti lasak begitu tidak sesuai dengannya. Kaki mahu pakai lama, nanti kalau jadi apa-apa takut tak ada yang nak masuk meminang, tak perlu belajar defend diri sebab nanti boleh depend kat suami dan bermacam lagi sebab-sebab yang keluar dari mulut Aril.
Tapi, bagi Arisa, taekwondo benar-benar sudah sebati dengan jiwanya. Tidak bererti tidak. Dan jawapan itu membuatkan Aril berang. Gaduhlah jawabnya. Disebabkan gaduh itu, mahu tidak mahu, Arisa akur bahawa tiada lagi Aril untuk dia minta bantuan.
Sebuah kereta perdana yang berhenti di hadapan membuatkan Arisa mengeluh. Marahnya pada Aril masih belum reda. Kenapa lelaki itu harus muncul pada saat ini?
“Jom, saya hantarkan,” itu bicara pertama yang keluar dari mulut Aril.
Share this novel