“Dahlah, jom saya hantarkan balik. Call abang awak, cakap tak payah datang jemput,” Aril melembutkan suara. Cuba memujuk Arisa.
Ewahh, suka hati pulak. “Orang cakap tak nak. Awak ni memang susah faham ek?”Arisa masih berkeras.
“Ya ALLAH! Arisa Farhana! For God sake, kenapa awak ni degil sangat? Kenapa susah sangat nak dengar cakap orang? Susah ke kalau sekali je awak mengalah, buang perangai keras kepala tu, cakap je ya.”
Arisa tersentak saat keras suara Aril menjengah gegendang telinganya. Dia memberanikan diri menatap wajah tegang Aril. Namun anak matanya yang mencerlung membuatkan Arisa kecut perut.
Seketika terdengar lafaz istighfar berkali-kali terbit dari bibir Aril. Aril menghela nafas dalam seraya meraup wajahnya beberapa kali. Cuba menenangkan perasaannya yang bergelodak kala ini. Dia tidak tahu kenapa dia meninggikan suara. Yang pasti, dia sangat geram dengan kedegilan Arisa. Setelah apa yang berlaku sebentar tadi, masih saja mahu berdegil.
“Arisa, boleh tak kalau awak berhenti buat saya sesak nafas. Berhenti buat saya risaukan awak. Risau dengan sikap terlampau berani awak ni. Saiz badan awak dengan saiz berani awak ni langsung tak balance, tahu tak?
Saya tak mintak banyak pun, saya just mintak nak hantar awak balik. Tu je. Faham tak? Itu je yang saya nak. Hantar awak balik. Make sure awak selamat sampai kat rumah. Saya tahu awak still marahkan saya, tapi kejap je, lupakan rasa marah tu. Bila awak dah sampai rumah, sambung la balik rasa marah tu. Boleh?” Aril masih cuba memujuk. Mana mungkin dia akan menurut kata Arisa kali ini setelah apa yang baru sahaja terjadi.
“Kenapa awak perlu risaukan saya?”
“Because I love you, Arisa! Tahu tak? I love you damn much!”
Arisa terkedu dengan apa yang baru didengari. Aril tergamam dengan tindakan sendiri.
Sepi.
“Tolong hantarkan saya balik,” perlahan Arisa menuturkan kata.
* * * * *
ARIL Shahfyz. Arisa tidak tahu kenapa nama itu harus berada dalam kepalanya saat ini. Sesak nafas terasa apabila memikirkan apa yang terjadi antara dia dan Aril. Lebih-lebih lagi mengenangkan apa yang dituturkan Aril beberapa minggu yang lalu. Beberapa minggu itu jugalah Arisa bagai orang mati suami. Kalau tak termenung, dia akan berangan. Kalau bukan berangan, dia akan berkhayal. Arisa tidak tahu apa bezanya berangan, berkhayal dan termenung itu, tapi yang pasti itulah kerjanya kini.
Disebabkan kehandalannya termenung, menyebabkan dia hampir sahaja melanggar kereta orang sewaktu traffic light. Bukan sekali, bukan juga dua tapi beberapa kali sampai dia malas mahu mengiranya. Tersalah meletakkan garam dalam kopi abah yang dah pun ada tekanan darah tinggi. Dia juga tersalah masuk rumah jirannya. Tebal mukanya di hadapan Aunty Annie.
Otaknya ligat memikirkan alasan yang dirasakan paling tak menampakkan dia seorang yang sedang angau tika ini. Angau? Ya, mungkin itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan Arisa tika ini. Dia angaukan Aril.
Share this novel