Arisa buat tidak dengar. Tak kuasa membazirkan tenaga mulutnya nak menjawab.
“Arisa Farhana, jom. Teksi susah nak dapat kat sini,” Aril masih tidak putus asa.
Arisa mengetap bibir. Eleh, konon prihatin la ni dengan aku? Arisa tayang muka dingin. “Tak payahlah. Abang datang ambil,” bohong Arisa.
“Buat apa nak susahkan abang awak, saya boleh hantarkan.”
Arisa diam. Lama.
Aril mengeluh. Putus asa dengan kedegilan Arisa lantas dia kembali masuk ke dalam perut kereta dan memecut laju.
Arisa hanya memandang dari hujung mata.
“Fuiyoo! Langkah kanan la kita. Ada awek cun la!”
Arisa dikejutkan dengan suara bising dua orang remaja yang semakin mendekati. Ah, sudah! Bala apa pulak ni?
“Ha’ah la Burn. Rezeki kot,” balas seorang remaja yang memang membuatkan mata Arisa naik berbulu. Dengan rambut karatnya, baju gambar tengkorak entah apa-apa, jeans koyak rabak, telinga capangnya yang bertindik subang yang bukan satu tapi boleh bukak kedai aksesori dah. Mana la datangnya manusia macam ni?
“Aku pun memang tengah ‘lapar’ ni,” sahut lelaki yang dipanggil Burn tadi. Burn konon. Entah Bakar je nama kau.
Burn dan mamat bersubang itu mengelilingi Arisa sambil memandangnya atas bawah. Arisa kecut perut tapi dia tetap bersedia dengan apa-apa kemungkinan. Sedia menggunakan kemahiran taekwondo yang dipelajari. Meskipun lawannya ini ialah lelaki, Arisa tidak gentar.
Saat dagunya dicuit mamat bersubang itu, Arisa tidak membiarkan. Dicapai kemas tangan itu dan terus disilangkan ke belakang badan. Kemas dia mengunci lengan kanan itu.
Baru sahaja Arisa ingin meneruskan langkah seterusnya, bahunya terasa dicengkam kemas dan ditarik ke belakang. Arisa hilang imbangan lantas terjelepok. Aduh!
“Fuhh! Barang baik der. Pandai dia melawan. Ni buat aku makin geram ni,” Burn bersuara dengan suara yang memang Arisa sangat-sangat meluat.
Arisa ingin bangkit, namun kesakitan yang kembali menyerang di bahagian pergelangan kakinya membuatkan dia menyeringai. Aduhai, time ni jugaklah aku nak sakit-sakit bagai. Arisa sudah mula kecut perut. Dia tahu sukar untuk dia melawan saat ini dengan keadaan kaki yang membatasi pergerakannya. Ya Allah, tolonglah aku. Apa aku nak buat ni?
Bagai mengerti keadaan Arisa, lelaki berdua tadi sengih bahagia. Tahu bahawa kemenangan berpihak pada mereka memandangkan keadaan Arisa menyukarkan gadis itu untuk melawan. Mereka semakin menghampiri.
Share this novel