MOTOR dia tongkat sebelum Hazim mematikan enjin sementara menunggu Alifah memunculkan diri di hadapan rumah. Sesekali dia menongkat dagu pada bahagian depan motor sementara menunggu gadis itu keluar.
"Lama betul... Pakai make up ke apa?" bebel Hazim sambil berdecit perlahan.
Baru saja dia memegang telefon untuk mendail nombor si Alifah, matanya tertancap pada gadis yang berpakaian baju tidur Masha and the Bear sedang membuka pagar rumah. Dan-dan Hazim mengulum tawa.
"Sorry aku berak tadi. Dah lama ke kau sampai?" soal Alifah sambil menggosok lengannya yang terdedah akibat baju tidur berlengan pendek.
"Sempatlah aku kira bintang kat atas tu. Ada dalam 53,000 butir bintang kat langit," usik Hazim dengan sebelah alis terjungkit-jungkit melihat wajah Alifah yang sudah berubah seperti mahu memukulnya.
"Hampeh gila perangai. Sepak baru tahu," kata Alifah selepas decitan kuat.
"Elehhh, pakai pun baju Masha ada hati nak sepak aku. Sejak bila jiwa girlie ni, dik? Jangan ya dik, ya. Nggak kuat gwe nahan tawa di perut," ujar Hazim lalu melepaskan tawa yang tertahan sejak tadi.
Alifah terus mendekat dan menampar kuat bahu lelaki itu berkali-kali. Tak guna betul Hazim ni! Ei, geram!
"Sakitlah! Kau ni... Jatuhlah harga hantaran aku kalau lebam nanti!" tutur Hazim lalu menepis tangan Alifah yang suka-suki menamparnya itu.
"Otak kau hantaran! Kau ingat kau perempuan ke, gila?"
"Dah kau perangai ganas sangat, aku jadilah lembut sikit. Barulah harmoni rumah tangga kita nanti. Kan, kan?" Kening dijungkitkan berkali-kali dengan senyuman mengusik terzahir pada pandangan mata Alifah.
"Kepala kau masuk air ke? Kau pergi kursus apa sampai jadi macam ni?" Wajah jijik ditunjukkan.
"Kalau aku cakap aku pergi kursus kahwin, kau percaya ke?" Kali ini wajah Hazim berubah serius. Matanya menatap terus anak mata Alifah yang seperti terkedu mendengar ayat yang terbit daripada bibir Hazim.
"Kau dah nak kahwin ke?" soal Alifah perlahan. Hati sudah terasa lain macam.
Hazim mengangguk perlahan. Wajah Alifah masih menjadi tatapannya.
"Bila?"
Hazim menjongketkan bahu. "Aku tunggu persetujuan bakal isteri aku untuk tarikh. Jangan risau, apa-apa aku akan maklumkan pada kau dulu. Kita kan bestie?" Hazim tersengih melihat wajah Alifah yang berubah kelat.
"Kau tak bagitahu aku pun yang kau dah ada awek..."
"Saja sebab dia minta rahsiakan. Aku just follow the flow aje," ujar Hazim dengan senyuman manis yang masih terlakar.
"Takpelah kalau macam tu." Alifah menjawab lesu. Dia sungguh-sungguh terasa sangat lesu mendengar khabar itu. Dia tidak tahu kenapa tapi dia tidak suka akan rasa dalam hatinya sekarang.
"Esok kau cuti kan? Kau datang kafe boleh?" tanya Hazim.
"Buat apa?"
"Alaaa, datanglah. Aku lama tak berborak dengan kau. Kau datang eh, aku tunggu." Hazim tanpa jemu mengajak gadis itu sekali lagi. Mata dikerdipkan berkali-kali sehingga menyebabkan Alifah mendengus perlahan.
"Yalah, nanti aku datang..." Pasrah Alifah menjawab.
"Yeay! Ni yang buat aku makin sayang kau ni, Alep!" Alifah terus terkedu dengan luahan itu walaupun dia tahu Hazim sedang bergurau.
"Nah, ambil lah. Makan dengan family kau. Yang kau punya aku beli takde sayur tau, Lep." Hazim menghulurkan plastik yang mempunyai empat bungkus burger kepada Alifah. Lagi satu sudah dia asingkan untuk dirinya sendiri.
Alifah perlahan-lahan mengambil huluran itu lalu memandang wajah Hazim.
"Kenapa kau beli ni untuk family aku?" soal Alifah penuh tanda tanya.
"Saja, nak belanja walaupun hanya burger tepi jalan. Sorry tau, lain kali aku belikan keluarga kau makanan yang sedap-sedap atau kita keluar makan kat restoran," jawab Hazim panjang lalu menggaru dagu bersihnya apabila melihat Alifah yang secara tiba-tiba berkelakuan agak behave pada ketika itu.
"Lain kali?" Kerutan di dahi Alifah semakin jelas.
"Haah lain kali. Family kau, family aku jugak." Hazim tersengih dengan jawapannya. Dan Alifah terkaku untuk kesekian kalinya. Jantung sudah berdegup laju buat pertama kali.
Dang, what happened Alifah? Why, why why?!
"Aku balik dulu, Lep. Esok kau datang kafe tau," pamit Hazim lalu menghidupkan enjin motornya.
"Okey. Hati-hati balik," ujar Alifah.
"Bye Lep!" Sejurus itu, dia terus meninggalkan kawasan perumahan gadis itu. "Aku sayang kau, Lep... Lebih daripada seorang kawan..." Senyuman lebar mula terlakar pada bibir Hazim Solehin ketika itu.
"Bye... Jim..."
Alifah melangkah masuk lalu pagar rumahnya dikunci dengan longlai. Entah kenapa dia terasa sangat kecewa sebaik saja Hazim memberitahu bahawa lelaki itu bakal berkahwin nanti.
Hatinya terasa seperti hancur berderai. Dia tidak pasti kenapa dia perlu ada rasa itu sedangkan dia dan Hazim hanya berkawan selama ini.
Matanya mula berkaca di hadapan pintu utama rumah. Dada yang terasa sakit dicengkam seketika.
Dia tidak tahu jika dia sudah jatuh suka dan sayang pada lelaki itu. Dia tidak tahu sejak bila perasaan itu bertapak dalam hati. Apa yang dia tahu ini merupakan kali pertama dalam hidupnya merasa sakit seperti ini.
Sungguh sakit sehingga air matanya secara tiba-tiba jatuh menyembah bumi pada malam itu untuk pertama kali sejak dia menginjak ke alam dewasa.
Share this novel