TIGA tahun berlalu sejak majlis perkahwinan yang penuh kenangan itu. Kini, rumah kecil mereka tidak lagi sunyi, dihiasi dengan suara gelak tawa dan tangisan si kecil yang menjadi penyeri hidup Hazim dan Alifah.
"Zayyan! Jangan lari!" suara Alifah bergema dari dapur, tergesa-gesa mengejar anak lelakinya yang berusia dua tahun setengah. Si kecil itu berlari lintang-pukang dengan hanya memakai lampin pakai buang, sambil membawa sebatang sudu besar yang dicurinya dari dapur.
Hazim yang sedang mencabut rumput di halaman tercengang melihat Zayyan berlari keluar pintu dengan muka comot coklat.
"Zayyan! Ya Allah, anak siapa ni lari tak cukup tanah?" Hazim cepat-cepat bangun, menghalang si kecil daripada terus berlari keluar pagar.
Zayyan ketawa terbahak-bahak, langsung tak rasa bersalah. "Ayah! Tolong! Umi mayah!" katanya dengan pelat sambil bersembunyi di belakang Hazim, memegang kaki ayahnya erat.
Alifah muncul di muka pintu dengan tangan bersilang di dada, wajahnya masam mencuka. "Hazim, anak abang ni buat hal lagi! Saya baru je letak kek coklat atas meja, belum sempat hias lagi, dia dah selamat ambil sudu dan... haa, tengoklah muka dia! Comot!"
Hazim tergelak kecil sambil mengangkat Zayyan ke dalam dukungannya, memandang wajah anaknya yang penuh kesan coklat. "Pandai anak ayah rasa kek umi dulu, ya? Sedap?"
Zayyan mengangguk bersungguh-sungguh sambil tersengih lebar. "Tedap! Nak agi!"
Alifah menjeling tajam sambil menahan ketawa. "Sedap sangat sampai tak tunggu orang lain makan sekali? Siap bawa lari sudu tu!"
Hazim mengusap rambut Zayyan yang sedikit kusut. "Biasalah... anak lelaki kan. Aktif sikit. Lagipun, bakat rasa makanan tu memang ikut ayah."
Alifah menggeleng sambil tersenyum. "Ikutlah abang. Lepas ni, kalau perut dia meragam sebab makan kek tak siap, jangan nak salahkan saya."
Hazim tergelak lagi sebelum mencium pipi Zayyan yang comot. "Dengar tu, hero ayah. Jangan asyik kacau umi je. Nanti umi lari rumah baru tahu."
Zayyan mengerutkan dahi, memandang Alifah dengan wajah penuh kebimbangan. "Umi... Angan lali. Amau. Nanti Yayan angis..."
Alifah terdiam sejenak sebelum tersenyum lembut. Dia menghampiri dan mengusap kepala anaknya. "Umi tak ke mana pun, sayang. Umi ada je dengan ayah dan Yayan... sampai bila-bila."
Hazim tersenyum, matanya bertaut dengan pandangan penuh kasih dari Alifah. Mereka tahu, walaupun kehidupan mereka kini lebih sibuk dan riuh dengan kehadiran Zayyan, kebahagiaan itu terasa lebih bermakna.
"Saya bersyukur... dapat abang dan anak kita." Alifah berbisik lembut, cukup untuk Hazim dengar.
Hazim tersenyum kecil sambil memeluk pinggang isterinya. "Dan abang... bersyukur sebab ada isteri dan anak yang melengkapkan hidup abang."
Zayyan yang tidak faham apa-apa hanya merenung kedua-dua orang tuanya dengan wajah bingung sebelum tiba-tiba bersuara, "Ayah... umi... nak kek agi!"
Mereka berdua tergelak serentak, dan Hazim mencubit pipi Zayyan dengan penuh kasih. "Ya, ya. Jom masuk dalam. Umi buat kek baru."
"Zayyan, duduk sini dulu dengan ayah. Jangan lari lagi, tau," pesan Hazim sambil meletakkan Zayyan di atas sofa. Si kecil itu mengangguk patuh, tapi matanya tetap melilau mencari peluang untuk buat hal lagi.
Hazim menggeleng sambil tersenyum, kemudian melabuhkan punggung di sebelah anaknya. Zayyan mengusap perutnya sambil mengeluh kecil, "Ayah... Yayan apar."
"Baru makan kek curi tadi pun dah lapar lagi?" Hazim tergelak kecil sambil mencubit pipi tembam anaknya.
"Amau kek... nak yayam!" Zayyan bersuara, memandang Hazim dengan mata bulat bersinar.
"Nak ayam pula? Tadi cakap nak kek umi?"
"Nak yayam, ayah!"
"Ya ya, kejap lagi ayah minta umi masakkan ayam goreng untuk Zayyan, ya?"
"Yay!" Zayyan menepuk tangan kecilnya dengan gembira.
Alifah muncul dengan dulang berisi kek coklat yang sudah siap dihias, lalu meletakkannya di atas meja. Dia melirik ke arah Hazim dan tersenyum kecil. "Abang, Zayyan buat hal lagi tak?"
Hazim menggeleng sambil menepuk kepala anaknya perlahan. "Tak ada dah. Dia cuma lapar... nak ayam pula."
Alifah tergelak kecil sambil mengelap tangannya dengan kain. "Lapar? Makan coklat banyak sangatlah tu."
Zayyan memandang Alifah dengan wajah comel penuh harapan. "Umi... yayam!"
Alifah mencubit hidung anaknya dengan lembut. "Ya, sayang. Umi masak kejap lagi, okey?"
Zayyan mengangguk laju sambil tersenyum lebar. Hazim menarik Alifah duduk di sebelahnya, lantas memeluk bahu isterinya dengan mesra.
"Penat tak? Dari pagi tadi tak berhenti buat kerja," tanya Hazim dengan nada prihatin.
Alifah tersenyum sambil menyandarkan kepalanya ke bahu Hazim. "Penat sikit... tapi tengok muka Zayyan gembira macam ni, hilang rasa letih."
Hazim mengangguk setuju. "Betul tu. Kadang-kadang rasa macam baru semalam kita kahwin. Tak sangka dah ada anak yang lasak macam ni."
Alifah ketawa kecil. "Anak siapa lah agaknya yang lasak sangat ni..."
Hazim pura-pura terkejut. "Eh, jangan salahkan abang pula. Zayyan ikut umi kot... aktif, tak reti duduk diam."
"Eh, mana ada!" Alifah mencubit pinggang Hazim dengan manja.
Zayyan yang memerhati gelagat ibu bapanya tiba-tiba bersuara dengan suara pelatnya, "Ayah... Umi... anja!"
Hazim dan Alifah tergelak besar serentak, tak sangka anak kecil itu faham apa yang berlaku. Hazim mengusap kepala Zayyan dengan penuh kasih.
"Betul, sayang... ayah dan umi memang manja," usik Hazim sambil mengenyit mata pada Alifah yang menjelingnya. Alifah hanya tersenyum sambil memandang Hazim dengan rasa bahagia yang sukar digambarkan. Tidak pernah dia menyangka bahawa kehidupan rumah tangga mereka akan dipenuhi dengan begitu banyak gelak tawa dan kebahagiaan.
Dan Zayyan pula, si kecil yang nakal tetapi penyayang, menjadi pelengkap sempurna dalam hidup mereka berdua.
Akhirnya, projek cinta suam kuku mereka, berjaya dengan bahagianya.
TAMAT
Feedback! Saya mahu feedback!
Terima kasih luangkan masa untuk baca dua manusia tiga suku sehingga terwujudnya cinta suam kuku ini. Semoga sedikit sebanyak memberi manfaat (walaupun macam tak ada) buat awak semua.
Terima kasih, jumpa lagi di kisah Eyash Awan!
Share this novel