Satu tahun kemudian...
ALIFAH yang duduk di atas kusyen lembut mengerling belakang badan Hazim buat seketika sebelum kembali menunduk. Tangannya ralit menguis-nguis kain kebaya putih yang terletak elok di badannya. Tudung satin putih yang dipakai terasa kemas, tapi jantungnya berdegup laju macam nak pecah.
"Weh Alep, kau okey tak ni?" tanya Afifah yang sibuk membetulkan selendang di bahu.
Alifah mengeluh. "Kak... aku rasa macam nak lari." Suaranya bergetar, matanya terpejam erat.
Afifah tergelak kecil, kemudian mencubit pipi adiknya. "Hoi, jangan gila! Kalau kau lari, aku heret kau balik masuk masjid!"
"Tapi... aku rasa macam mimpi. Hazim nak kahwin dengan aku? Aku tak percaya..." Alifah menggumam perlahan, hampir tidak terdengar.
"Kalau tak percaya, cuba cubit pipi sendiri," jawab Afifah sambil tersenyum lebar. "Kalau sakit, maksudnya betul lah tu. Lagipun, dah jodoh. Kau ingat senang nak dapat lelaki yang sanggup tahan perangai ganas kau tu? Cuba bersyukur sikit ada orang nak kau."
Alifah buat muka sebelum tunduk lagi dan termenung melayan debaran yang semakin meraja dalam hati.
Hazim pula sedang duduk bersila di ruang solat masjid, betul-betul di hadapan tok kadi. Baju Melayu putihnya nampak segak dan bersih, lengkap dengan samping songket kelabu yang terletak elok. Songkok hitam tersarung kemas di kepala. Dari jauh, dia nampak seperti lelaki paling tenang di dunia. Tapi hakikatnya, tangan dia menggigil teruk dan berpeluh macam baru lepas kejar ayam kampung.
Lutfi dan Sham, dua gerangan yang sudah menjadi sahabat karibnya, duduk di belakang Hazim sambil sesekali menjenguk ke depan. Lutfi nampak tak habis-habis sengih, manakala Sham pula tahan ketawa. Mungkin sebab mereka berdua tahu rahsia Hazim— dia sedang menahan perut memulas sejak tadi.
Ezrul pula hanya diam dan tersenyum melihat salah seorang pekerja yang paling dia percaya bakal bertukar status beberapa waktu sahaja lagi. Sesekali, belakang badan lelaki itu dia gosok untuk mengurangkan rasa gugup yang berdentum bagai nak gila.
"Weh, Jin Pendek," Sham berbisik sambil mencuit bahu Hazim. "Kau okey ke ni? Janganlah pengsan masa lafaz akad. Malu satu kampung, tahu?"
Hazim hanya membalas dengan senyum tawar, matanya masih tertancap pada lantai masjid. Hatinya rasa macam ada gendang dipalu kuat-kuat. Sedikit pun dia tak berani tengok ke arah para tetamu yang memenuhi ruangan. Apatah lagi mahu menoleh ke arah Alifah di belakangnya. Dia risau sekali dia toleh, terus dia tumbang tidak sedarkan diri.
Sesekali dia menarik nafas panjang, cuba meredakan debaran yang semakin menggila.
"Kalau rasa nak terkucil, cakap awal-awal," tambah Lutfi pula, kali ini suaranya lebih kuat. "Kitorang ada bawa pampers kecemasan dalam kereta."
"Kurang ajar," Hazim menjeling tajam, tapi hanya sempat mencubit lutut Lutfi sebelum tangan dia kembali menggigil. Lutfi dan Sham ketawa perlahan, cuba menyembunyikan kegelisahan sahabat mereka itu. Ezrul pula hanya mengumam senyuman dengan telatah tiga abdul itu. Sungguh menggeletek jiwa kecilnya.
Dari jauh, Hazim dapat melihat wajah ayahnya yang sedang mendekat. Encik Ahmad tersenyum sebelum menjatuhkan duduk tidak jauh dari anak bongsunya.
"Adik jangan takut, istighfar banyak-banyak." Nasihat ayah sentiasa melekat dalam mindanya.
"Ya Allah... Tenangkanlah hati aku," Hazim berdoa dalam hati, cuba mencari kekuatan untuk menghadapi saat genting ini.
Tok kadi memulakan lafaz dengan suara yang tenang dan mendayu. Semua orang diam, mendengar dengan penuh khusyuk. Hanya Hazim yang terasa macam dunia sekeliling makin kabur.
"Hazim Solehin bin Ahmad, aku nikahkan dikau dengan Alifah Samira binti Abdul Baqi dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai."
Hazim menelan air liur. Tangannya menggigil lagi. Mata tok kadi yang memandangnya tajam membuatkan dia terkedu seketika. Tok kadi mengulang sekali lagi, kali ini dengan suara yang lebih perlahan, seolah-olah memahami kegelisahan di dada Hazim. Semua orang menunggu dengan penuh debaran.
Hazim menarik nafas panjang, cuba fokus pada lafaz. Dengan suara yang sedikit bergetar, dia bersuara, "Aku... Aku terima nikahnya Alifah Samira binti Abdul Baqi... dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai."
Sunyi. Sepi. Seolah-olah masa berhenti seketika. Hazim tak berani angkat muka.
Tiba-tiba saksi angkat tangan. "Sah!"
Serentak dengan itu, seluruh masjid bergema dengan ucapan syukur dan takbir. Hazim yang tadinya kaku kini terasa lega, seolah-olah beban berat terangkat dari bahunya. Sham dan Lutfi terus peluk Hazim dari belakang sambil bersorak kecil.
"Kau berjaya, Jin Pendek!" Lutfi ketawa besar sambil menumbuk bahu Hazim.
"Tak sangka si cacing kepanasan ni boleh lepas juga akad dengan sekali lafaz," ejek Sham.
Hazim hanya mampu sengih sambil lap peluh di dahi. Dalam hati, dia bersyukur kerana semuanya berjalan lancar, walaupun hampir-hampir lidahnya terkedu dan membeku.
SELEPAS selesai sesi photoshoot di masjid dan beberapa tempat, Hazim dan Alifah duduk di sudut bilik pengantin, hanya mereka berdua. Suasana sunyi, hanya terdengar sayup-sayup suara orang berbual di luar. Bau bunga segar masih memenuhi ruang, membuatkan suasana terasa lebih hangat dan mendamaikan.
Hazim berdehem kecil, cuba meredakan rasa canggung yang bersarang di dada. Alifah pula asyik menguis hujung rambutnya, entah kenapa terasa janggal walaupun mereka sudah sah bergelar suami isteri. Masing-masing diam, seolah-olah takut hendak memulakan bicara.
Tiba-tiba perut Hazim berbunyi kuat. Alifah terkejut sebelum menoleh sambil tersenyum sinis.
"Weh... kau lapar ke?" tanya Alifah, cuba menahan ketawa yang hampir meletus.
Hazim tersipu-sipu, muka merah padam. "Haah... gugup sangat sampai perut aku buat konsert."
Alifah tergelak kecil, sambil menyiku lengan Hazim dengan lembut. "Orang tengah romantik, perut kau buat lawak pula."
Hazim tergelak kecil juga, tapi tiba-tiba wajahnya berubah serius. Dia perlahan-lahan sentuh pipi Alifah dengan lembut, ibu jarinya mengusap halus kulit gebu itu sambil mata mereka bertentang. Jantung Alifah berdegup kencang, dan pandangannya terperangkap dalam tatapan Hazim yang penuh cinta.
"Kau tahu tak..." Hazim memulakan dengan suara perlahan tapi penuh kejujuran. "Aku dah lama suka kau. Dari dulu... dari awal kita kenal... tapi aku takut. Takut kalau aku luahkan, kau tak rasa benda yang sama. Takut kalau aku kehilangan kawan yang selalu bergaduh mulut dengan aku."
Alifah tergamam, tidak menyangka Hazim menyimpan perasaan selama ini. "Hazim..."
"Tapi sekarang.." Hazim mengukir senyuman kecil sambil menggenggam tangan Alifah dengan lebih erat. "Kau dah jadi hak aku. Aku takkan biarkan kau lari lagi. Tak kira macam mana kau mengelak, aku tetap akan kejar."
Alifah menggigit bibir, cuba menyembunyikan rasa bahagia yang menggebu dalam dada. "Siapa cakap aku nak lari? Aku... tak pernah nak lari dari kau pun."
Hazim ketawa kecil sambil menundukkan wajahnya, menyembunyikan senyum kemenangan. "Yalah tu. Kalau aku tak usaha lebih, mesti kau dah lari dengan Pak Mail kat hujung kampung tu."
"Eh, kau ni! Aku tak hadap la orang tua tu!" Alifah membalas sambil menampar kuat bahu Hazim.
"Adoi! Sakitlah gila!" Hazim terus menggosok bahunya yang terasa pedih. Nyeri betul rasa tamparan pengkid ni.
Suasana menjadi senyap sunyi apabila Hazim cuba meredakan rasa pedih di bahu dan Alifah hanya memerhati tanpa ada niat membantu.
Tanpa aba-aba, Hazim menarik Alifah ke dalam pelukannya. Alifah terdiam, terkejut seketika, tapi tidak menolak. Detak jantungnya makin kencang, tapi dalam pelukan Hazim, dia rasa tenang.
"Terima kasih, galah..." bisik Hazim di telinga isterinya. "Sebab sudi jadi bini aku."
Alifah tersenyum kecil sambil memejamkan mata, menikmati kehangatan itu. "Sama-sama... Jin Pendek."
Usai, Hazim menjeling jam di pergelangan tangan. Sudah hampir tengah malam. Suasana di luar semakin sepi, hanya terdengar bunyi cengkerik menemani malam. Dia menghela nafas panjang, berat hati untuk bergerak.
"Aku... dah kena balik rumah," ujar Hazim perlahan, cuba menyembunyikan rasa kecewa.
"Balik? Bukan kau tidur sini ke malam ni?" soalnya, walaupun dia tahu memang adatnya pengantin lelaki tidur di rumah sendiri sebelum kenduri esok.
Hazim tersenyum nipis sambil menggaru kepala. "Mak kau dah pesan awal-awal. Katanya biar rindu sikit, lagipun esok dah nak kenduri."
Alifah tertawa lepas. "Mak aku pandai je nak bagi drama."
"Kalau rindu, call aku, Lep," usik Hazim sambil menjungkitkan keningnya berkali-kali.
Alifah menjeling dengan senyum mengejek terukir di bibir. "Siapa nak rindu kau? Jangan perasan lebih."
"Manalah nak tahu, diam-diam menangis rindukan suami," usik Hazim lagi.
Hazim bangun sambil menarik nafas panjang, seakan-akan tidak mahu berpisah. "Okeylah... aku balik dulu. Kau tidur elok-elok. Jangan asyik fikir aku je sampai tak boleh tidur."
Alifah menjelir lidah sambil membuat muka, tapi dalam hati tetap terasa berat untuk melepaskan Hazim pergi.
Sebelum melangkah keluar, Hazim berpaling sekali lagi, melontarkan pandangan penuh makna. "Selamat malam...sayang."
Alifah terdiam, pipinya merona merah mendengar panggilan itu. "Selamat malam..." jawabnya perlahan, sambil melihat Hazim keluar dari bilik dengan hati yang masih bergetar.
"OH MY GOD! Sejak bila Hazim sweet sampai macam tu sekali? Jantung aku rasa macam dah berhenti berdegup! Tak guna punya Hazim!" bebel Alifah seorang diri sebelum dia bergolek di atas katil kerana perasaan suka mula memenuhi hati.
"Arghhh! Aku suka kau Jin Pendek!"
Share this novel