"KAU dekat mana, Jim? Dah on the way ke?" soal Alifah seraya menggigit hujung kukunya. Dadanya bagai dipalu tanpa henti akibat debaran yang semakin menggila. Rambut yang jatuh ke dahi dia tolak ke belakang sementara menanti jawapan Hazim di sebalik sana.
"Kejap Lep, aku sesat!" Hazim terus menggigit bawah bibir sementelah menyatakan hal itu. Kepalanya terjengah-jengah mencari lorong masuk ke rumah Alifah.
Argh! Entah kenapa dengan dia hari ini.
"Kau sesat Jim? Takkan kau tak ingat jalan ke rumah aku, Jim?" Suara Alifah sudah berubah nada. Lelaki itu cuba bergurau dengannya kan? Tak mungkin Hazim terlupa arah ke rumahnya sedangkan lelaki ini sudah berkunjung ke sini lebih daripada dua kali.
"Aku betul-betul tak ingat, Lep. Selama ni aku naik motor, aku guna jalan tikus ke rumah kau. Hari ni aku kena memandu, mana boleh guna jalan tikus. Mahu masuk dalam parit karang. Tolong aku, Lep. Kakak aku dah bising kat belakang ni, silap hari bulan aku sumbat mulut dia dengan stereng yang aku tengah pegang sekarang," adu Hazim dengan wajah yang sudah cemberut akibat tertekan dengan bebelan Hadirah di tempat duduk belakang.
Stress tahu tak?!
Alifah terus terpelongo dengan ayat-ayat Hazim yang menusuk masuk ke dalam halwa telinganya tika itu. Lelaki itu benar-benar membuatkan darahnya naik.
"Kau kat mana sekarang?" Mengalah. Pasrah. Alifah terus menyoal lalu keluar dari biliknya. Kaki itu laju melangkah ke pintu dengan tangan yang tangkas mencapai kunci motor di sebalik pintu.
"Nak pergi mana tu, Lep?" sergah Afifah yang sedari tadi mengikut langkah adiknya.
"Keluar kejap," jawab Alifah pendek sambil mencari selipar. Haish, mana pula pergi selipar dia?!
"Kau nak lari ke? Hari ni kau bertunang tau, jangan buat hal yang boleh memalukan keluarga, Lep." Afifah mula menuduhnya dengan wajah yang tidak bersalah. Alifah terus menghentikan segala perbuatannya sebelum memandang muka kakaknya dengan perasaan geram.
"Haah, aku nak lari."
"Alifah!" jerit Afifah tidak sengaja.
"Aku nak lari pergi dekat bakal tunang aku yang sesat tak jumpa rumah kita. Puas hati kau? Jangan banyak cakap, kak. Aku nak pergi selesaikan masalah ni dulu, kau janganlah tambah rasa serabut aku. Berhenti membebel, bingit telinga ni."
Alifah terus menghidupkan enjin motor scooter kakaknya sebelum meninggalkan kawasan perumahan. Saja dia memilih untuk menunggang motor itu berbanding motornya kerana dia sedang berpakaian baju kurung moden. Nak melangkah naik motor pun susah! Mahu sekali kangkang, terus terbelah sampai paha kainnya itu.
Angin yang meniup menghempas wajahnya yang sudah dirias tipis oleh Alifah tadi. Kereta yang tersadai pinggir simpang empat dia dekati sebelum menghentikan motor. Tingkap sebelah pemandu Alifah ketuk sehingga kaca itu diturunkan.
"Jim!" tegur Alifah dengan wajah yang cemberut apabila melihat wajah Hazim yang tersengih tanpa memandangnya.
"Lep... sorry! Aku–" Ucapannya terhenti seraya dia mengalihkan perhatiannya pada gadis itu.
Damn! Cantiknya!
"Aku apa, Jim? Kau dahlah lambat lepas tu cakap lag-lag macam guna Google Meet dengan speed internet empat kbps," potong Alifah apabila lelaki itu berdiam diri dengan mata yang masih tidak lekang memandangnya tanpa putus.
"Kau cantik, Lep... Jantung aku... berdetak lagu dangdut tengok kau sekarang. Dag dig dug. Dag dig dug di dalam dada. Jantung berdebar, hati berbunga. Amboi!" Terus terkeluar lagu Dag Dig Dug nyanyian Haiza dari mulut Hazim tika itu. Mata itu juga bersinar penuh cinta.
Dapat pengkid cantik macam ni, siapa je yang tak nak tengok oi!
Alifah tersentak dengan tingkah Hazim sehingga pipinya terasa panas dan merah. Bongok punya Hazim! Sudahlah ayah dan adik-beradiknya ada di dalam kereta itu. Boleh pula dia buat perangai tiga suku dia sekarang?
"Adik! Apa buat perangai macam ni, malulah bakal menantu ayah," tegur Encik Ahmad sambil menggelengkan kepala dengan perangai anak bongsunya itu.
"Bakal menantu ayah cantik sangat bila jadi perempuan, adik terkedu lalu terkentut, yah," seloroh Hazim dengan senyuman yang masih tidak luntur. Cantiknya dia. Cantiknya dia!
"Macam-macamlah kau sorang ni. Alifah, masuklah. Motor tu biar Abang Haris yang bawa. Kamu ikut kami naik kereta ya?" ajak Encik Ahmad dengan kepala terjengah ke arah Hazim untuk bercakap dengan bakal menantunya itu.
"Eh tak apalah, pak cik. Saya balik naik motor je." Pantas Alifah menolak.
"Mana boleh, masuk sini. Kitorang dah susahkan kamu datang ke sini. Biar je Abang Haris yang bawa, kamu masuk kereta. Nanti cair make up tu kena panas lama sangat."
Kata-kata Encik Ahmad membuatkan Alifah kelu lidah bersama pipi yang terasa hangat. Dia semakin malu apabila Hazim bersiul gatal dan menyambung lagu dangdutnya yang terhenti tadi sebaik saja Alifah masuk ke perut kereta.
"Gatal betul bakal tunang awak tu, Alifah," tegur Hadirah ke arah Alifah yang diam termangu di sebelahnya.
"Saya pun tak tahu dia segatal ini, kak. Sempat lagi tak nak cancel pertunangan ni?" kata Alifah sambil memandang wajah bakal kakak iparnya itu. Terus wanita itu memandangnya dengan wajah penuh kerutan di dahi.
"Janganlah batalkan pertunangan ni, Alifah. Awak ambil lah dia, akak dah tak nak simpan dia lama-lama. Pening kepala! Ambil dia eh, Alifah?" rayu Hadirah dengan mata yang bersinar penuh harapan.
"Kalau nanti saya pening juga macam mana, kak? Agak-agak boleh refund tak?" Alifah turut melayan. Hazim yang mendengar sambil memandu itu sudah panas hati dan panas telinga! Manakala Encik Ahmad hanya mengulum senyum kerana terhibur dengan perbualan dua anak perempuan di belakang.
"Dia non-refundable. Sekali beli, tak ada dah refund-refund. Walaupun pening, simpan je lah ya? Jangan refund dah."
"Tapi kak, kesianlah saya kalau tak boleh refund. Nanti botak kepala saya–"
"Wah, seronoknya orang belakang mengutuk aku ya? Ingat aku barang ke nak main refund-refund ni?" potong Hazim dengan wajah cemberut sebelum menarik brek tangan setibanya dia di halaman rumah Alifah. Kelihatan abangnya yang sedari tadi mengikut dari belakang turut memarkirkan motor gadis itu di bawah garaj rumahnya.
"Ya lah, nak guna kau ni lifetime tahu? Risau juga tak sempat habis warranty kau dah tak useful, Jim," kata Alifah tanpa tapis sehingga membuat wajah lelaki itu merah kerana geram.
"Dah lah, Lep. Kau banyak merapu sekarang. Turun! Kita dah sampai. Aku tak sabar nak ikat tali pertunangan dengan kau sampai kau tak terfikir nak refund aku dah lepas ni," ugut Hazim sebelum tersenyum senget.
"Malas layan." Alifah terus keluar dari kereta dan berlari masuk ke dalam rumahnya. Sesekali, tergaris juga senyuman bahagia di bibirnya apabila teringat tingkah mereka di dalam kereta tadi.
Adik? Comelnya panggilan Hazim!
Dan ayat terakhir Hazim tadi membuatkan dia tersengih tanpa ada tanda noktah.
Cinta suam kuku kau semakin meresap dalam diri aku, Hazim!
Share this novel