"WOI Hazim! Awak termenung apa ni?" Sergahan itu menyebabkan lamunan Hazim terus terbang tanpa bayangan.
"Oh, sorry puan, teralit pula saya," kata Hazim sambil tersengih menunjukkan giginya yang tersusun elok. Stok-stok yang dia sudah kira tadi, dia ulang kira semula kerana terlupa key-in ke dalam sistem akibat terlampau lama mengelamun.
Taliya hanya memandang dengan kening yang terjungkit sebelah sebelum dia mendekat dengan kaunter itu. Dagu ditopang sambil melihat jemari Hazim yang laju menekan kalkulator itu.
"Awak ada masalah ke?" soal Taliya.
"Mana puan tahu?" Hazim membalas dengan pertanyaan juga. Wajah isteri majikannya dilihat sekilas lalu dengan dahi berkerut.
"Saya dah kenal awak lima tahunlah, Hazim. Sekilas ikan di air, saya tahu jantan betinanya," ujar Taliya sambil tersenyum megah.
"Apa kena mengena saya dengan ikan? Dah sah-sah saya ni jantan tulen, puan. Atau puan nak jadikan saya anak ikan puan? Ya Allah puan, ingat Tuhan..." kata Hazim cuba mengubah topik.
Taliya terus mendengus kuat. Kain lap meja yang dia nampak diambil dan terus dia baling pada Hazim. Ini yang menyampah bila bercakap dengan Hazim. Dia kuat berloyar buruk!
"Jangan nak kona-kona ya Hazim. Saya cepuk kepala awak karang!"
"Sejak-sejak dah jadi ibu ni, garang betul puan. Puan tak kesian ke dengan orang single macam saya ni? Umur 27 tapi jodoh pun tak melekat," kata Hazim sambil menjuihkan bibir dengan mata yang dikedipkan berkali-kali pada Taliya.
"Kesian juga awak ni Hazim..." kata Taliya sambil mengetuk dagunya berkali-kali.
"Dulu saya umur 27, saya dah bersalinkan Elya dan Elyas. Dah ada suami hensem, mentua yang baik. Pastu-"
"Puan, stop!" potong Hazim dengan wajah geram. Tak membantu langsunglah dia ni! Semakin membara jiwa ini mendengar bait bicara usikan Taliya.
"Tak payahlah nak perli saya sampai macam tu sekali. Lepas ni saya nak letak julap dalam latte puan, biar puan sakit perut sebab dah menghina seorang Hazim yang kacak lagi bergaya ini," adu Hazim. Walaupun sebenarnya dia tidak mengambil hati langsung dengan usikan Taliya sebentar tadi.
Taliya terus menghamburkan tawanya. Kuat perah santan betul. Patutlah si Hazim ini boleh berkawan rapat dengan seorang Taliya kerana mereka sekepala. Kuat masuk bakul!
"Berani ke nak letak julap dalam latte saya? Saya bagitahu bos kesayangan awak nanti, baru awak tahu," ujar Taliya dengan sengihan lebar.
"Sikit-sikit nak bagitahu bos, macamlah dia sorang je yang ada suami," decit Hazim sambil menjeling. Buku stok ditutup apabila dia selesai memasukkan jumlah ke dalam sistem kafe.
Telinganya dapat menangkap gelak tawa Taliya yang semakin menjadi-jadi.
Bencinya!
"Sebab tulah awak kena cari isteri cepat-cepat, bila bergaduh dengan saya nanti awak bolehlah report pada ayang awak. Tengok saya, kejap lagi saya nak video call ayang saya," usik Taliya lagi.
"Pergilah masuk office puan tu, asyik mengganggu saya aje kerjanya." Halau Hazim apabila dia sudah pasrah mahu berlawan mulut dengan wanita itu.
"Okey, Hazim. Jangan lupa buatkan saya latte ais dan hantar ke bilik saya tau. Kalau nak masukkan julap, letak ekstra okey?" kata Taliya sebelum mengekek ketawa.
"Semoga puan sakit perut." Namun, jejaka itu tetap menyiapkan pesanan Taliya.
"Nanti hantar ke office saya tau, Hazim. Terima kasih daun keladi, nanti saya buli awak lagi!" ujar Taliya sebelum menghilang di sebalik dinding.
"Nak call ayang konon. Ada ayang konon. Ayang dia pun asyik pergi laut je tinggalkan bini, itu pun nak brag kat aku..." bebel Hazim seorang diri.
"Saya dengar Hazim!" Kedengaran sayup suara Taliya menegurnya dari jauh. Terus Hazim menoleh ke sekeliling untuk mencari kelibat itu. Liur ditelan apabila terbuat eye contact dengan mata tajam Taliya yang berada jauh di rak buku kafe.
Itulah Hazim! Cakap siang, pandang-pandang! Isteri bos kau tu telinga lintah!
Share this novel