"MACAM mana Jim? Dia cakap apa?" Dengan penuh kepochi, Taliya menderu ke arah Hazim yang baru saja melangkah masuk ke dalam kafe. Ezrul yang melihat hanya menggelengkan kepala sebelum meneruskan kerjanya yang tergendala.
"Macam mana apa, puan?" Sengaja Hazim mengelat.
Taliya terus memincingkan matanya sehingga kepalanya terteleng sedikit tika memandang wajah Hazim tika itu. Tak faham atau sengaja buat-buat tak faham ni?
"Macam mana dengan Alifah, progress korang berdua? Macam mana?" Taliya masih bersabar tatkala suaranya dia cuba untuk mengekalkan nada suaranya. Padahal dalam hati, sudah berbakul makian dia curahkan pada Hazim yang sengaja membuatkan darahnya menggelegak.
"Alep? Sihat alhamdulillah. Tak ada cacat cela kecuali cacat otak. Progress? Tinggi saya maintain, berat turun sikit alhamdulillah. Kalau Alep, saya tak tahu. Terlupa nak tanya BMI dia tadi, rasanya BMI dia normal je tu." Hazim menjongketkan bahunya berkali-kali untuk menjawab persoalan Taliya.
Wanita itu terus melongo kerana tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi.
Berat? Tinggi? BMI?
Apa masalah budak ni sebenarnya?
Taliya menarik nafas dalam. "Hazim..." panggilnya dengan nada yang tertahan.
"Ya, puan."
"Awak marah tak kalau saya cakap awak ni bongok?" Satu nafas, dia menghentam Hazim dengan realiti pahit.
Kali ini giliran Hazim pula yang terjatuh rahang dengan soalan Taliya itu. Bongok? Sampai hati!
"Kenapa puan ni?" Hazim menjeling wanita itu dengan perasaan sakit hati yang menjalar.
"Awak tu yang kenapa! Saya bukannya nak tahu BMI awak dan Alifah. Saya nak tahu progress relationship awak dengan dia. Macam mana? Dia suka awak ke? Dia menyampah dengan awak yang pendek ni ke? Dia dah bertunang dengan orang lain ke? Dia jatuh cinta dengan orang lain ke? Macam gitu bukannya BMI! Sakit hati betul saya bercakap dengan awak ni, Hazim! Ya Allah!" Taliya menghembus nafas berat sebelum menarik kerusi untuk duduk.
Panas betul hatinya tika itu.
"Oh, itu ke? Saya sengaja je mengelat untuk jawab soalan puan tu. Bukannya saya bongok sampai tahap itu, Puan Taliyaku." Hazim tersengih tanpa rasa bersalah sebelum belakangnya terasa dilempar dengan satu kain. Terus dia menoleh ke belakang dan matanya langsung menangkap gerangan Ezrul yang memandangnya dengan pandangan tajam.
"Kenapa bos baling kain buruk dekat saya!" bentak Hazim.
"Kau sebut apa tadi? Puan Taliyaku? KU?" Pergerakan tangan itu kelihatan sedikit agresif pada pandangan Hazim dan Taliya. Lelaki itu mula menyedari kesalahannya dan langsung melepaskan tawanya.
"Bos..." panggil Hazim sambil memegang perut yang terasa keras.
"Bos jangan risaulah, saya tak ingin pun dekat puan ni. Jangan cemburu sangat, okey bos?" Hazim yang masih lagi dengan sisa tawa terus mengusik Ezrul yang sudah berwajah cemberut. Takut sangat orang mengorat bini dia yang sewel itu.
"Saya pun tak inginlah dekat awak, Hazim." Jelingan tajam kedua dari Taliya dia hiraukan. Memang laki bini ini suka main jeling-jeling eh?
"Alhamdulillah, Allah jauhkan saya dari bala terbesar dalam hidup."
Belum sempat dia menghela nafas lega, lengannya dihentam kuat oleh dulang yang sedari tadi dipegang oleh Taliya. Geram! Mulut jantan ni memang macam harey!
"Jangan kona-kona Hazim, jawab soalan saya tadi." Dengus Taliya kuat.
Hazim terus kembali tertawa dengan melihat wajah cemberut isteri majikannya tika itu. Macam ayam tengah tahan berak!
"Progress tu eh? Tak ada apa-apa progress. Yang penting saya dah luahkan perasaan saya dan saya tengah tunggu jawapan Alep. Harapnya dia tak tolak kasih, sayang dan cinta saya yang membuak-buak untuk dia. Auch, sakitnya! Saya tak boleh bayang kalau saya kena reject. Puan doakan saya tau, puan? Saya tak nak single dah sebab saya menyampah tengok puan dan bos depan mata saya," jujur Hazim berkata sehingga memasamkan lagi wajah yang sedari tadi sudah tersenyum ceria.
"Awak kalau tak sebut pasal saya dengan Ezrul, tak boleh ke? Kalau tak sebut awak akan kena buasir ke?" Taliya menggeleng kepalanya dengan mata yang digulingkan kerana meluat.
"Tak boleh! Saya kena sebut juga! Tak lengkap hidup saya kalau tak ghibah tentang puan dan bos." Sengihannya melebar.
"Kepala otak kau! Ghibah tu berdosa tahu tak!" Wajah Taliya sudah semakin merah.
"Kalau inti ghibah tu puan, insya-Allah tak."
"Main-main awak eh? Pergi buat kerja sana. Sakit pula hati saya tengok muka awak ni, Hazim."
Hazim terus menjauh dengan gelak-tawa jahat yang masih tersisa. Seronoknya dapat mengusik isteri majikannya sehingga wajah itu merah kerana marah!
"Jangan rindu saya, puan!" usik Hazim sebelum hilang di sebalik kaunter.
"Blah lah kau!"
Suara ketawa Hazim yang semakin kuat menyakitkan hati Taliya. Menyampah!
Share this novel