BAB 20

Romantic Comedy Completed 726

"MANA pengantin perempuan pergi ni?" suara ibu yang datang dari biliknya menyebabkan Afifah terus meluru ke situ dalam keadaan yang tergesa-gesa.

"Kenapa ibu?" soal Afifah setelah melihat wajah ibunya yang sudah berubah.

"Adik kau mana, Pah? Alifah pergi mana?" Soalan ibu membuatkan Afifah terus mendongakkan kepalanya pada katil dua tingkat itu. Mana tahu adiknya itu sedang terbongkang di atas katil walaupun hari ini majlis persandingannya.

"Dia takde pun atas katil tu, bu..." Seraya itu lengannya terasa pedih apabila dicubit oleh ibunya. Terus Afifah mengaduh kesakitan dan menjauh sedikit.

"Sakitlah bu..." adu Afifah dengan bibir yang sudah dimuncungkan.

"Siapa suruh kamu cakap benda yang tak membantu langsung? Geram betul ibu dengan kamu ni. Dahlah jom cari adik kamu cepat. Majlis dah nak mula, dia pulak hilang entah ke mana. Aduh, peninglah ibu dengan adik kamu yang sorang ni..." bebel ibu lalu terus keluar dari bilik anak-anak daranya.

Haih, pening-pening!

Mana pulak perginya si budak Alifah ni! Suka betul buat orang sakit jantung dengan perangainya!

Afifah menggaru sedikit kepalanya yang bertudung sebelum mula mendail nombor adiknya yang tiba-tiba hilang.

Dalam lima saat, panggilannya berjawab.

"KAU PERGI MANA ALIFAH SAMIRA!" Terus dia menjerit kuat. Lantaklah budak tu nak pekak ke apa sebab dia dah menyusahkan hidup seorang Afifah.

"Woi, slowlah sikit cakap tu. Berdesing lubang telinga aku, kak." Alifah yang tidak sempat menjauhkan telefon dari telinganya langsung menegur akibat terkejut dengan suara petir gadis itu.

"Kau pergi mana aku tanya?" soalnya sekali lagi apabila soalannya tidak berjawab.

"Alah, sebelum majlis aku baliklah kak..." kata Alifah sambil jemarinya mula menggaru kepala yang berselendang warna hijau zamrud. Warna tema majlis persandingan antara dirinya dan juga Hazim.

"Kau balik sekarang sebelum ayah dan abang keluar pergi cari kau. Balik sekarang!" arah Afifah tegas sambil bercekak pinggang.

"Yalah, yalah... Bisinglah mak petir ni. Bingit tahu tak telinga aku!" Dan-dan Alifah mematikan panggilan mereka lalu memuncungkan bibirnya.

Hazim yang elok bertanjak dengan warna yang sama seperti pakaiannya hanya tersengih memandang wajah Alifah yang sudah sah menjadi isterinya semalam.

"Diorang marah?" soal Hazim lalu sambung menyedut strawberry smoothie. Buaian yang diduduki, Hazim hayun perlahan sambil menikmati panas pagi yang mula terik.

"Gila tak marah, akak suruh balik sekarang kau tahu tak," ujar Alifah lalu berdecit perlahan. Mango smoothie yang masih tinggal separuh dia sedut laju dek rasa geram yang melanda.

Ini semua salah Hazim yang tiba-tiba ajak dirinya untuk melakukan kerja gila di pagi hari persandingan mereka. Jam 10 pagi tadi, lelaki itu sudah mesej supaya tunggu dia di belakang rumah. Lelaki itu ajak dia fly senyap-senyap tanpa orang tahu semata-mata nak belanja isterinya itu mango smoothie.

Dasar pengantin perangai tiga suku!

"Habiskanlah smoothie kau tu dulu, kejap lagi kita balik. Okey, sayangku?" kata Hazim dengan sengihan yang makin melebar.

Dia saja buat kerja gila dengan mengajak isterinya itu melepak di taman permainan berdekatan perumahan Alifah. Saja... Nak ambil angin sama-sama.

"Sayang-sayang... Kejap lagi bila kita sampai rumah, konfem kita melayang Jim. Terus ke syurga aku rasa kita berdua ni, tak sempat pun nak bersanding," tutur Alifah penuh geram. Mujur saja wajahnya sudah dirias elok oleh make up artist yang telah ditempah khas oleh Hazim. Kalau tidak, lagilah keluarganya mengamuk jika dia pulang dengan wajah sememeh macam baru lepas balik pasar.

Hazim terus melepaskan tawa besar apabila mendengar ayat yang baru keluar daripada bibir Alifah. Isterinya itu benar-benar sudah pasrah. Dia hanya memandang penuh tunak wajah Alifah sebelum tersenyum bahagia.

"Kau sumpah cantik, Alep. Lagi cantik bila kau bertudung macam ni, sejuk hati aku," puji Hazim dengan mata yang tidak lepas memandang Alifah yang gigih menyedut air yang tersisa.

"Cantik sangat ke?" soal Alifah dengan wajah yang sudah bertukar merah.

"Cantiklah, isteri Hazim Solehin kot? Mestilah super duper cantik!" kata Hazim lalu berdiri daripada terus menghayunkan buaian di taman itu.

"Dah habis ke?" soal Hazim walaupun dia sudah nampak bekas minuman Alifah telah kosong.

"Dah," jawab Alifah lalu bergerak ke tong sampah untuk membuang bekas smoothienya.

"Jom balik," ajak Hazim sambil menghulurkan tangannya untuk menggenggam tangan Alifah yang tidak berapa gebu itu.

"Jom!" Alifah menyambut huluran suaminya lalu memautkan jari mereka bersama. Kedua-duanya berjalan sambil menghayunkan tangan ke arah motor Hazim yang diparkir di tepi jalan.

"Yang, peluk kuat-kuat tau. Aku nak rempit ni!" kata Hazim lalu terus menarik tangan Alifah supaya memeluk pinggangnya. Bibir sudah tersenyum lebar dengan ulahnya.

"Kau sengaja je kan nak suruh aku peluk kau?" Alifah terus menampar perut Hazim kuat sebelum berdecit kuat.

"Yang peluk yang. Aku betul-betul nak rempit ni!" arah Hazim sekali lagi. Tanpa menunggu lama, dia terus memulas pendikit minyak motor sehingga menyebabkan Alifah tersentak ke belakang akibat tidak bersedia.

"HAAAAZIMMMMM... KAU NAK MATI KEEEE?" jerit Alifah kuat lalu mengetatkan pelukannya pada perut lelaki itu.

Hazim terus tergelak kuat. Sesekali cermin sisi dilihat dan dia kembali tertawa apabila melihat wajah Alifah yang sudah senget-benget akibat tekanan angin yang kuat.

"Yang! Kau hodoh gila tapi aku tetap sayang kau, yang!" usik Hazim.

"Aku benci kau Hazim!" tutur Alifah dengan bersusah payah apabila angin itu betul-betul menekan wajahnya.

Dia berharap make upnya tidak hancur. Kalau tidak, memang mati dia dikerjakan oleh ibu nanti.

"I love you, Alifah Samira!" ucap Hazim kuat.

"Diam. I hate you Hazim Solehin!" Perut Hazim dicubit.

"I love you more my cutest pengkid!" Kali ini Hazim memegang lengan Alifah dengan tangan kirinya. Sebelah lagi dia mengawal kestabilan motor yang ditunggang mereka.

Alifah terus tertawa kecil dengan luahan terakhir Hazim itu. Dasar mamat tiga suku.

"Aku pun sayang kau, Hazim..." kata Alifah perlahan lalu meletakkan dagunya pada bahu Hazim.

Alifah yang hampir ke arah pengkid dahulu sudah hilang. Yang tinggal hanyalah Alifah yang baru saja mahu memulakan kisahnya bersama Hazim, makhluk pendek yang dia kenal secara tidak sengaja setahun yang lalu.

Terima kasih Hazim kerana pilih aku... kerana aku tidak pernah tahu aku bakal menjadi sebahagia ini apabila bersama kau.

Terima kasih kerana mewujudkan projek Cinta Suam Kuku antara kita yang telah menyatukan jiwa Hazim Solehin dan Alifah Samira.

Terima kasih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience