BAB 2: Manusia Yang Bernaung Di Bawah Takdir

Mystery & Detective Series 5224

Tun Perak membuka matanya perlahan-lahan. Renungannya jauh menembusi malam yang gelita, menerusi jendela yang terbuka di ruangan kamarnya. Kamar ini memang dikhaskan olehnya sebagai kamar khas untuk dia bekerja, merancang strategi, mengatur tenaga dalaman dan kebatinan serta berbincang perkara-perkara sulit dan rahsia. Ruangan itu juga dipenuhi segala kelengkapan persenjataan, kitab-kitab bacaan yang pelbagai, peralatan geometri, ruangan mesyuarat dan solat. Hampir segala-galanya yang diperlukan oleh Tun Perak ada di situ.

“Katakan, Bayang… apakah benar Tun Besar itu orangnya?” tanya Tun Perak sambil menoleh ke arah lelaki yang berada di suatu sudut di kamarnya. Oleh sebab suramnya pencahayaan di kamar itu, batang tubuh lelaki yang bergelar Parang Bayang itu kelihatan samar-samar dan berbalam-balam.

“Begitulah aturannya, Datuk.” pendek saja balasan Parang Bayang namun, ada ketegasan dalam nada suaranya. Tun Perak hanya mengangguk-angguk, tanda faham. Dia sendiri pun berfirasat sebegitu.

“Perihalnya Raja Muhammad, tentu saja akan perbalahan keluarganya takkan berkesudahan.” keluh Tun Perak- seperti mengingati sesuatu- berat nafasnya bagai menanggung beban yang tidak berkesudahan.

“Hamba yakin, Datuk telah memutuskan sesuatu dalam fikiran.” Parang Bayang hanya tersenyum melihat Tun Perak dalam kesamaran cahaya di kamar itu.

“Yakinkan aku wahai Bayang, wajarkah *Raja Hussein itu diangkat menjadi putera mahkota?”

Nota *: Raja Hussein merupakan adinda Raja Muhammad, anak kepada Sultan Mansur Syah bersama Permaisuri Raden Galoh Cendera Kirana, diangkat menjadi Sultan Melaka ke-7 dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488).

“Apakah yang bermain dalam firasat Datuk?” Parang Bayang mengembalikan semula persoalan itu kepada Tun Perak.

“Bukankah kau lebih mengetahui perihal firasat itu berbanding aku? Sahabat kepada ahlul bait, bukan orang kepalang.”

“Hamba ini hanya orang yang bernaung, mana sama dengan penaung. Datuk sendiri adalah payung akan hamba.” Tun Perak hanya menggeleng-gelengkan kepalanya mendengar jawapan Parang Bayang. Masakan sahabatnya Syed Hussein Jamadil Qubra ini manusia biasa yang hanya menjadi kakak tua- mengulangi kata-kata tuannya sahaja.

“Bagaimana amanat Tuan Maulana kepadamu?” Tun Perak menukar cara bertanya, dia tahu untuk mengorek ilmu daripada Parang Bayang, pantang kalau dinisbatkan ke atas diri lelaki itu sendiri- lantaran Parang Bayang hanya akan bersandarkan kepada takdir, sebagai jawapan tuntasnya semata.

Suasana menjadi hening seketika, pertanyaan Tun Perak itu bagai berat untuk dibalas oleh Parang Bayang. Tun Perak cuba membaca reaksi Parang Bayang dengan ilmu firasatnya tetapi, setiap kali itu juga dia gagal menembusi apa yang dikatakan sebagai ‘bicara’ batin. Auranya bagai berderai halus dan menghilang apabila menghampiri batang tubuh Parang Bayang. Tun Perak hanya tersenyum sendirian, dia tahu pastinya Parang Bayang menyedari akan ‘cubaannya’ tadi namun, pemuda itu kelihatan seperti acuh tak acuh sahaja- menandakan dia tidak ambil pusing akan hal ‘intipan’ yang dilakukan oleh Tun Perak.

Tun Perak menghela nafasnya dalam-dalam, memerhatikan Parang Bayang yang masih membisu. Fikirannya bagai berputar kembali ke masa lampau tentang watak di hadapannya ini. Kalau difikirkan logik akal, mana mungkin watak seperti Parang Bayang ini boleh wujud pada zamannya. Tun Perak pernah mendengar nama ini daripada arwah ayahandanya, sebagaimana dikhabarkan dari beberapa generasi sebelum itu sehingga sampai kepada Sultan Melaka pertama, Raja Iskandar Syah atau Parameswara, iaitu sekurang-kurangnya sudah 60 tahun dari tempoh waktu tersebut. Apatah lagi jika ditambah lagi waktu Maulana Syed Hussein datang ke Kerajaan Chermin dan bersahabat dengan lelaki ini iaitu 50 tahun sebelum Parameswara diangkat menjadi Sultan- dan lelaki ini masih kelihatan muda belia!

“Kepada Maulana Rahimahullah, hanya ada Allah dan Rasul. Selayaknya, tidak bersabit akan amanat maulana kepada perihal ini. Kalau firasat Datuk untuk melihat demi Dia, Datuk akan dapat jawapan yang Datuk mahukan.”

“Ya, aku akur kata-katamu Bayang. Aku tahu, yang kau juga mengetahui asbab pemilihan Raja Hussein ini dan akibatnya. Ini juga aturanNya.”

“Begitulah, Datuk. Hmmm… masanya sudah tiba, izinkan hamba berangkat dulu.”

“Apakah dapat aku berjumpa lagi denganmu, Bayang?”

“Insya Allah- pasti kita akan berjumpa lagi.”

Setelah bersalam ringkas- Parang Bayang, seperti namanya jua bagai ghaib dari ruangan kamar Tun Perak. Tun Perak hanya memandang kosong ke suatu sudut di mana Parang Bayang berada sebentar tadi.

‘Eh,’ Tun Perak tergumam- dia mula terperasankan sesuatu yang amat penting. Dia sangat pasti akan hal ini tetapi, logik akalnya bagai menidakkan apa yang dia rasakan. Ah, apakah mungkin? Apakah Parang Bayang itu- peluh dingin mula mengalir di dahi Tun Perak. Ini bukan sekadar kebetulan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience