BAB 5: Cerita Yang Tidak Berbahasa
“Eh, bonda!” Qa’qa’ menjerit keriangan melihat Khaleeda di hadapan pintu. Segera dia memeluk Khaleeda dengan erat. Memang benar budak lelaki yang comel itu sayang sungguh pada Khaleeda, sebagaimana jua Khaleeda sayang padanya seperti anak kandungnya sendiri.
“Siapa? Oh, Khaleeda!” Catherine yang baru muncul berasa sangat bahagia melihat Khaleeda yang sudi bertamu di ‘terataknya’ pada hari ini. Rutin Catherine yang kini sebagai surirumah sepenuh masa adakalanya amat membosan- hanya berkaitan soal keperluan rumahtangga dan persekolahan anak tunggalnya sahaja. Kehadiran Khaleeda, setidak-tidaknya dapat memberi perspektif yang lebih ‘menyegarkan’ dari apa yang biasa dia lakukan.
“Masuklah- Kaka, jemput bonda masuk.” Qa’qa’ segera menuruti arahan ibunya dan menarik tangan Khaleeda dengan penuh ceria. Khaleeda hanya ketawa kecil melayani telatah Qa’qa’ yang manja tersebut.
“Awak sihat, Cat?” kata Khaleeda sambil melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Qa’qa’ turut sama duduk, lantas pula dia berbaringan di atas peha Khaleeda. Kata-kata Khaleeda itu sengaja dikuatkannya kerana Catherine tidak berlengah untuk ke dapur- menyediakan sedikit jamuan untuk tetamunya itu.
“Alhamdulillah, semua pun sihat and what about you? Makin cantik, tak berubah.” Catherine dengan berhati-hati menghidangkan teh melur kesukaan Khaleeda beserta sedikit kudap-kudapan. Khaleeda tersenyum melihat apa yang dijamukan oleh Catherine itu di hadapannya. Nampaknya, Catherine pun sudah arif benar dengan kesukaan Khaleeda. Ini tidak menghairankan kerana sepanjang tempoh berpantang dan hampir setahun, Catherine dan ibu bapanya tinggal di villa Faridah.
“Baik, sihat walafiat. Saya ni tidak secantik mana- Cat silap tengok ni.” Khaleeda berseloroh. Jari jemari Khaleeda ligat membelai rambut Qa’qa’ dengan mesra.
“Eh, betullah. Dah lebih 10 tahun kita kenal, you never change at all. Apa rahsianya?”
“Awak nak belajar ke?” duga Khaleeda.
“Of course!” sahut Catherine tanpa ragu-ragu. Memang benar kejelitaan Khaleeda itu agak luar biasa kerana wanita di hadapannya itu walaupun tidak mengenakan sebarang make up dengan dandanan yang sederhana, potongan badan yang cantik berkebaya, kecantikan semulajadi Khaleeda jelas terserlah- lagaknya kelihatan seperti anak gadis awal 20an sahaja- tentu sahaja peluang untuk mencungkil rahsia penjagaan dan perawatan kecantikan Khaleeda itu sangat menjadi dambaan wanita-wanita sepertinya.
“Betul ni?” Khaleeda hanya tersenyum. Qa’qa’ yang berada di ribaan Khaleeda sudah mula terlelap. Sungguh damai sekali dia dibelai begitu sehingga terlena sebegitu. Lantas, Khaleeda segera menggendong Qa’qa’ ke kamar.
Catherine hanya memerhatikan tingkah laku Khaleeda itu sambil mengeleng-geleng kepalanya- berasa sedikit kehairanan melihat anaknya itu mudah sekali terlena di pangkuan Khaleeda. Amat susah sekali Qa’qa’ hendak tidur siang seperti ini kerana ‘kesibukan’ anak kecilnya itu dengan keletahnya untuk bermain. Kejadian seperti ini hanya berlaku kalau Qa’qa’ terlalu letih kerana bermain atau kerana bondanya, Khaleeda inginkan Qa’qa’ tidur. Catherine masih ingat tatkala Qa’qa’ masih bayi dan kerap mengamuk dan menangis- hanya Khaleeda saja yang boleh meredakan amukan Qa’qa’ dan menidurkannya dengan mudah. Tidak kepada Catherine sebagai ibu kandungnya, tidak juga kepada Stephen dan Carol selaku datuk dan nenek Qa’qa’. Selain itu, hanyalah Fateh yang mampu ‘mengawal’ anak mereka itu.
Terkadang, jauh di sudut hati Catherine ada terpendam sedikit rajuk, sepertinya Qa’qa’ itu anak kandung Khaleeda berbanding dirinya sendiri. Ibu mana yang tidak terasa hati apabila anak sendiri ‘melebihkan’ orang lain. Apa pun, Catherine tidak menyalahkan Khaleeda kerana sifat dan tingkah laku Khaleeda yang penyayang itu memang siapa sahaja akan ‘cair’ termasuk dirinya sendiri yang senang dengan Khaleeda. Lagi pun, ‘beban’ menjaga anak yang masih bayi (pada ketika itu) dapat juga ‘dikongsi’ bersama terutamanya, ketika Catherine sedang berpantang. Selesa dan terjaga sekali Catherine dijaga oleh Khaleeda dalam tempoh-tempoh tersebut.
Tetapi, apa yang Catherine tidak tahu- itu hanyalah sebahagian daripada aura penenang yang disisipkan oleh Khaleeda (dan juga Fateh) kepada Qa’qa’. Aura ini merupakan sebahagian daripada cabang aura penyembuh yang boleh memperbaiki dan menjana pertumbuhan sel-sel tubuh dan juga ketenteraman rohani dan perasaan. Sesiapa sahaja yang disisipkan oleh aura penenang ini akan berasa relax, tenteram dan damai. Namun, pengamal aura penyembuh dan penenang ini ada pantang larangnya terutama kepada wanita yang mengamalkannya kerana aura ini lebih ampuh kepada orang yang belum bersuami (tidak ‘bersama’ dengan lelaki). Kalau sudah bersuami apatah lagi telah melahirkan anak, kesannya tidak sebaik mereka yang masih dara.
Sebab itu, antara Khaleeda dan Faridah yang mengamalkan ilmu yang hampir serupa, *‘memiliki suami’ ini merupakan impak yang besar dalam amalan mereka terutamanya Khaleeda yang ‘kurang’ bernasib baik dan bakal kehilangan segala ilmu kebatinannya berbanding Faridah walaupun kesan ‘pengurangan’ keremajaan mereka adalah serupa. Tetapi, bukan soal keremajaan itu menjadi obsesi Khaleeda untuk kekal sebegitu cuma, tanggungjawab Khaleeda dalam perjuangannya bersama Fateh tidak memungkinkan dia untuk kehilangan segala kelebihan yang dimilikinya. Pincanglah segala apa yang diusahakan selama ini dan Khaleeda tidak mahu disebabkan hasrat peribadinya, perjuangan dia dan Fateh menjadi sukar dilaksanakan. Kalau diikutkan hati, tentu sahaja sebagai wanita yang ingin dicintai ‘sepenuhnya’ oleh lelaki bergelar suami- dia tidak akan peduli soal ilmu kebatinan yang dimilikinya. Segala ilmu firasat, aura yang pelbagai, gerak tempur dan segala-galanya itu, apakah perlu itu semua demi sebuah cinta?
Apa yang Khaleeda perlakukan sehingga kini untuk sebuah cinta juga- mungkin lebih besar daripada cinta yang biasa. Apakah cinta terhadap agama, bangsa dan negara itu perkara kecil?
Nota *: Rujuk dalam The Big Boss 1, BAB 78: Tradisi, Obsesi dan Cinta.
“So, what’s the secret?” tanya Catherine lagi, seusai Khaleeda membaringkan Qa’qa’ di atas katil.
“Kalau saya ceritakan, awak jangan terkejut.” Khaleeda hanya tersenyum melihat telatah Catherine yang tidak sabar-sabar lagi untuk mengorek rahsia awet mudanya.
“Why should I? Ada benda pelik-pelik ke you makan atau tempek dimuka-”
“Tengok, awak sendiri dah panik. Awak kena buka minda.” Khaleeda kembali melabuhkan punggungnya ke sofa di ruang tamu.
“OK, OK… then apa dia?”
“Pertamanya, kalau saya katakan- umur saya ini lebih tua daripada ibu bapa awak, awak percaya?”
“Seriously?” Catherine tercengang-cengang. Takkan kot? Cerita mengarut apa yang Khaleeda cuba sampaikan ini?
“Ke mari, saya nak ‘ceritakan’ pada awak.” Khaleeda mengisyaratkan supaya Catherine duduk di sebelahnya.
“Pejam mata awak. Jangan buka selagi belum selesai, ya?” bisik Khaleeda kepada Catherine yang berada di sampingnya. Catherine hanya mengangguk-angguk, tanda faham dengan arahan Khaleeda. Lalu, Khaleeda meletakkan kedua-dua telapak tangannya di ubun-ubun Catherine.
Sebaik sahaja Khaleeda telapak tangan Khaleeda menyentuh ubun-ubun Catherine, suatu ‘penceritaan’ aneh mula menerpa ke layar fikiran Catherine- suatu cerita yang sepertinya sangat jelas pada layar matanya yang tertutup rapi, berbicara namun tidak bersuara, rumit tetapi bagai mudah untuk minda mencakna- semuanya itu seperti berputar-putar di ruang fikiran Catherine. Dia dapat melihat ‘cerita’ yang hendak disampaikan oleh Khaleeda. Ada kejutan dan keterujaan sehingga menjadikan Catherine bingung untuk cuba mengerti jika hanya berpandukan logik akalnya. Semakin dia mengerti, semakin pertanyaan demi pertanyaan menerpa jiwa dan mindanya. ‘Dunia’ apakah ini?
*******
“Kenapa?” Fateh melihat sikap Catherine agak luar dari kebiasaannya. Ada suatu pergolakan yang hebat sedang bertempur di dalam minda Catherine dan Fateh sedar akan hal ini.
Catherine masih diam membisu, dia benar-benar keliru dan kejutan yang diberikan oleh Khaleeda pada siang hari tadi, sungguh-sungguh membingungkannya. Tiada kata yang benar-benar terbaik untuknya ungkapkan dan luahkan pada Fateh. Segala-galanya rumit walaupun di dalam mindanya, dia mengerti apakah yang telah berlaku.
Fateh mula menghampiri Catherine yang masih ‘ralit’ membersihkan tugasannya di dapur- dia tahu, Catherine mendengar pertanyaannya tadi tetapi, ada sesuatu yang menyulitkan Catherine untuk menyusun kata. Bukan itu sahaja, perkara ini membuatkan Catherine seperti ‘mamai’ dalam dunia ‘khayalannya’.
Tak semena-mena, Catherine terasa pinggangnya dirangkul dengan lembut- terasa bahang tubuh Fateh di belakang tubuhnya, mendamaikan ‘peperangan’ perasaan yang sedang dihadapinya. Deruan nafas Fateh di sebalik cuping telinganya terasa lembut dan menyenangkan. Tubuh Catherine menggigil gementaran. Air matanya mula mengalir laju, tidak dapat dibendung lagi. Pelukan Fateh makin erat, memujuk badai gelora airmatanya untuk segera reda.
Lama dalam keadaan begitu, Catherine merungkaikan pelukan Fateh dengan lembut dan Fateh melepaskannya dengan perlahan-lahan. Catherine mendepani Fateh dengan mata berkaca-kaca dan menguntum senyuman. Berat sekali Catherine hendak tersenyum bagai dipaksa-paksa pula untuk dia berbuat sedemikian. Fateh mengusap linangan air mata Catherine yang masih tersisa dari wajah isterinya itu dengan penuh kasih sayang.
“Awak lihat sesuatu?” kata Fateh sambil tersenyum lembut. Catherine hanya mengangguk lemah dan disembamkan wajahnya ke dada Fateh yang bidang. Fateh mengusap-usap belakang isterinya- meredakan kekeliruan yang membawa kerisauan dan pergolakan batin yang membadai di dalam perasaan dan jiwa Catherine.
“Is that the truth, sayang?” Lemah sekali suara Catherine melafazkan kata-katanya. Fateh hanya mengiakan sahaja.
“Then, who are you?”
“Suami awaklah.”
“No, who are you- really?” desak Catherine sedikit keras. Matanya mulai berkaca-kaca semula.
Fateh terdiam seketika. Dia tahu pasti akan tiba pada suatu masa perkara ini akan terjadi antara dia dan Catherine. Mana mungkin dia dapat menghindarkannya dalam suatu tempoh yang lama. Perlahan-lahan, Fateh merungkaikan pelukannya dan melurut tangannya untuk mencari jari jemari Catherine yang halus. Setelah dipastikan (tangannya dan tangan Catherine bersentuh), segera dia memegang erat tangan isterinya itu. Dia tahu, hanya dia saja yang menggenggam erat tangan Catherine tetapi, isterinya tidak berbuat begitu. Longgar saja jari-jemari Catherine terhadapnya. Tautan jemari mereka terasa hambar.
“Tiada apa yang rahsia, sekiranya Khaleeda yang ‘menceritakannya’.” Fateh menatap mata Catherine, dalam-dalam- membaca segala persoalan yang hendak diklarifikasikan kepada Catherine.
“But, why?”
“Saya tak tahu. Takdir itu yang memilih dan menulis mengikut apa yang ditetapkanNya.”
“Don’t you have the right to choose?”
“Ya… saya boleh memilih tetapi, apakah pilihan saya itu tidak diketahui olehNya?” Catherine hanya terdiam membisu dengan jawapan Fateh. Sepertinya, dia akur- namun, dia masih sukar untuk meredhai apa yang berlaku.
“Could you, just don’t go?” Catherine mula berkira-kira sendiri. Besar sekali pengharapan di dalam lubuk hatinya.
Fateh melepaskan genggaman tangannya perlahan-lahan- berpaling dan meninggalkan Catherine keseorangan di dapur- menuju ke ruang tamu. Pertanyaan Catherine itu tidak dijawap dan ini membuatkan Catherine terpinga-pinga melihat tingkah laku suaminya itu.
“Sayang?” Catherine cuba meminta kepastian.
“Setiap hidup kita ini, perjalanan dan ujian itu- semestinya ada kemiripan dengan kisah para Nabi. Mungkin kisah hidup kita adalah sebegini.” kata Fateh sambil merebahkan badannya ke sofa.
“Kalau kita menghadapi sakit yang teruk- sesungguhnya Nabi Ayyub AS sendiri telah mengalaminya dalam ujian yang lebih dahsyat. Apa saja masalah- sama ada dengan kaum keluarga sendiri, fitnah wanita, dengan pemimpin, harta- bukankah telah dilalui oleh para Nabi sekalian?” Fateh seperti bermonolog sendirian, perlahan dan lembut saja kalimat-kalimat itu diucapkan- tetapi, dia yakin Catherine pasti mendengarkannya.
“Sebagaimana Nabi Ibrahim AS meninggalkan Siti Hajar bersama Nabi Ismail di sebuah padang pasir yang gersang- mungkin… itulah keadaan yang bakal kita tempuhi.” Makin tumpah air mata Catherine mendengarkan kata-kata Fateh itu.
Tanpa berlengah, Catherine segera mendapatkan Fateh yang sedang berbaringan di atas sofa. Dia segera bersimpuh, mengambil tangan Fateh,mengucupnya dan meletakkan telapak tangan Fateh di wajahnya. Wajah Catherine diusap-usap dan kucupan penuh kasih sayang diberikan oleh Fateh di dahi isterinya itu.
“Insya Allah- kita akan sentiasa bersama.” bisik Fateh kepada Catherine. Dunia mereka bagai hening-seheningnya.
Share this novel