BAB 1: Ribut Antara Dua Kerabat

Mystery & Detective Series 5224

BAB 1: RIBUT ANTARA DUA KERABAT

“Datuk! Datuk!”

Terdengar laungan keras dari luar istana kecil Datuk Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Laungan itu terdengar sangat cemas dan mendebarkan. Sejurus kemudian, terdengar derapan tapak kaki menderu menuju ke balai tamu istana Tun Perak. Suasana di luar istana semakin riuh dan gegak gempita bagai langit jatuh menimpa kepala.

Tun Perak yang tadinya memejam mata- khusyuk menaakul-membuka matanya perlahan-lahan. Di hadapannya kini ada dua orang pemuda sedang merafak hormat seperti memohon keizinannya untuk memulakan bicara. Muka-muka mereka merah dan cemas- tidak dapat menyelindungi hajat mereka untuk berbicara segera. Mereka sangat terdesak untuk berbicara.

“Tun Besar, Datuk! Tun Besar!” kata salah seorang pemuda tersebut setelah Tun Perak mengisyaratkan mereka untuk menyampaikan apa yang hendak diperkatakan.
“Tun Besar ditikam mati Raja Muhammad!” sambung pemuda yang kedua. Tun Perak hanya mengangguk-angguk lemah.

Perkhabaran daripada kedua-dua pemuda tersebut menimbulkan suasana gegak gempita di balai tamu tersebut apatah lagi, setibanya ‘mayat’ Tun Besar mula diusung masuk. Suasana makin riuh dengan reaksi marah, sedih dan berbaur-baur. Orang-orang perempuan mulai bertangisan, orang-orang lelaki sudah sedia berselinsing lengan. Perkara ini bukan sebarang hal yang remeh untuk dibawa berbincang. Ini soal nyawa, hukum kanun negeri Melaka- berhutang nyawa dibalas dengan nyawa!

Tun Perak melihat ‘mayat’ anakanda kesayangannya dengan rasa pilu dan berat hati walau pun pada zahirnya, dia kelihatan tenang tidak bereaksi. Matanya meliar mencari seseorang untuk diperintahkan dan dia melihat anakandanya yang tua, Tun Zainal Abidin telah sedia di hadapannya, akan bersegera akur pada apa yang bakal di’titah’kan oleh ayahandanya, Tun Perak.

“Zainal, bawa ‘mayat’ adindamu ke kamarnya. Jangan lupa apa yang telah dipesan.” Tun Zainal Abidin mengangguk kepalanya, tanda faham dan akur. Tanpa bertangguh, Tun Zainal Abidin- dibantu oleh beberapa pemuda dikalangan sahabat Tun Besar segera mengusung ‘mayat’ tersebut ke kamar.

Suasana kembali hingar bingar dan bertambah gempita apabila sekumpulan pemuda lain yang bersahabat dengan Tun Besar menyeret seorang pemuda masuk ke balai tamu tersebut. Rupanya kusut masai dan terdapat lebam- bengkak dan bengkil menghiasi wajahnya. Sumpah seranah segera terhambur dari kalangan hadirin yang berada di situ. Kalau bukan kerana air muka dan mahu menjaga ketertiban Tun Perak selaku pemimpin yang mereka kasihi, sudah pasti pemuda yang kusut masai tersebut dibunuh saja oleh mereka.

“Bawa dia ke istana!” kata Tun Perak, sedikit keras. Dia tidak lagi menggunakan kata ganti nama yang molek dengan gelaran pemuda itu kerana marahnya sudah mula meninggi. Amarahnya terhadap Raja Muhammad dihadapannya itu masih lagi beralas namun, itu bukan lesen untuk keluarga diraja menginjak maruah keluarganya. Kalau hendak dikira faktor darah keturunan, darah yang mengalir di tubuhnya itu pun darah daripada darah keturunan Sultan-sultan Melaka juga!

*******

Raja Muhammad yang diheret oleh kaum kerabat Tun Perak dengan iringan takbir oleh sahabat-sahabat Tun Besar yang ingin menuntut bela, tiba di pekarangan istana Melaka- suasana menjadi riuh rendah dan menggamatkan. Kaum kerabat diraja (terutamanya di sebelah Permaisuri Raden Galoh Cendera Kirana, bonda Raja Muhammad) yang mula membanjiri pekarangan istana menjadikan suasana yang sedia kecoh menjadi semakin menggila. Masing-masing saling mengherdik dan mengugut. Jelas keberantakan antara dua keluarga ini semakin merekah menunggu pecah. Andai ada di antara dua ‘klan’ ini terjentik secara fizikal, tidak mustahil perang antara mereka boleh tercetus dengan mudah.

“Keluarga kepalang, kepala kamu semua di bawah kelangkang kita!” Raja Muhammad mengherdik pemuda yang memegang ikatan yang membelenggu putera raja itu. Sengaja dia mengeraskan suaranya supaya kaum kerabat Tun Perak dapat mendengar butir herdikannya itu, dengan niat sengaja menyakitkan hati mereka. Dia tahu, inilah masa yang sesuai untuk dia berbuat sedemikian, setelah melihat segerombolan kaum keluarga termasuk pengawal, panglima dan orang-orang kuat istana mula mendominasi pekarangan istana.

Sememangnya kata-kata penghinaan Raja Muhammad itu berjaya mencetuskan perkelahian antara dua keluarga yang amat berpengaruh di Melaka ini. Seusai lafaz, api kesumat menjadi marak ibarat dicurahkan minyak. Raja Muhammad ditolak keras hingga tersembam mukanya ke tanah. Sejurus itu, gerombolan antara dua keluarga mulai merusuh- saling berpencak, tikam menikam, berteriak dan melaung- tidak ubah seperti perang sedang meletus dahsyat.

“Celaka Mamat!” getus Sultan Mansur Syah,murka (memaki anakandanya- Raja Muhammad) setiba baginda di pekarangan istana melihatkan ‘perang’ yang sedang berlaku di hadapannya. Setelah menerima perkhabaran mengenai apa yang berlaku, baginda tidak membuang masa, terus bergegas dan tentu saja baginda tidak menyangka perkara berkaitan kematian Tun Besar ini boleh menjadi sedemikian rupa. Baginda sendiri baru mengetahui hal dan perkhabaran konflik ini beberapa ketika yang lepas. Geruh dan bala apa yang sedang menimpa Melaka?

“Berhenti kalian semua! Setan apakah yang merasuk hingga kalian hilang sembah hormat pada baginda sultan?!” jerit Hang Ali (salah seorang daripada 9 pahlawan utama istana Melaka).

Jeritan Hang Ali itu sedikit sebanyak berjaya mengendurkan suasana tegang antara dua buah keluarga terutamanya di sebelah kerabatnya Permaisuri Raden Galoh tetapi, kerabat keluarga Tun Perak masih lagi enggan beralah. Keadaan ini menyebabkan kerabat Permaisuri Raden Galoh dalam keadaan berjaga-jaga dengan tindak tanduk kerabat Tun Perak yang seperti gajah naik minyak lagaknya.

“Apakah Qisas dan Kanun Melaka lebih kecil daripada sultan?!” terdengar satu laungan keras dari ‘kem’ Tun Perak. Mendengarkan kata-kata ini, suasana kembali gegak gempita. Dua kerabat keluarga bangsawan ini mulai bertikam lidah. Muram wajah Sultan Mansur Syah mendengarkan kata-kata tersebut. Tidak pernah sekali pun hatta, dalam mimpi baginda melebihkan diri berbanding hukum Allah SWT. Tidak pula baginda terfikir untuk membela Raja Muhammad andai kata jelas puteranya itu bersalah. Sungguh baginda Sultan Mansur berasa amat dukacita bukan kepalang.

Pang! Suatu tamparan keras hinggap ke pipi pelaku yang menghina sultan. Seorang lelaki memekup pipi dengan kedua-dua belah tangannya. Dia sendiri terkejut dengan tamparan yang datang secara tiba-tiba itu tetapi, dia hanya mengaduh kesakitan dan tidak bertindak apa-apa kerana orang yang menamparnya itu adalah Tun Perak sendiri!

Tun Perak menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda kesal. Dia yang baru saja tiba dapat melihat dan mendengar gegak gempita di pekarangan istana dari kejauhan. Memang jelas sekali kata-kata lelaki tadi cukup membuatkan Tun Perak berasa berang.

“Nyah, nyah kamu semua, nyah kerana istiadat hamba Melayu tidak pernah derhaka tetapi, akan anak raja seorang ini, janganlah kita pertuan.” tunjuk Tun Perak kepada Raja Muhammad.

Lafaz kata Tun Perak ini sangat menggetarkan hati Raja Muhammad sehingga tidak tegak lagi dia hendak berdiri. Raden Galoh mulai longlai melurut ke tanah. Sultan Mansur sendiri tidak terkata apa kerana kata-kata Bendahara Paduka Raja Tun Perak itu sangat jelas ditujukan kepada keluarga diraja. Tidak boleh lagi untuk baginda tawar menawar akan ‘hukuman’ yang telah dijatuhkan oleh Bendaharanya itu. Baginda sangat arif dan faham akan ‘perintah’ Tun Perak kepadanya.

Sultan Mansur tahu apa implikasi ucapan Tun Perak tadi- sarat dengan maksud tersurat dan tersirat walaupun secara lafaz zahirnya, Tun Perak seperti memberi peringatan, mengherdik dan menghalau kerabatnya sendiri daripada membuat onar di pekarangan istana tetapi, tujuan lafaz itu lebih dalam dan besar maksudnya. Baginda tahu, Tun Perak sedia memaafkan anakandanya, Raja Muhammad tetapi, janganlah diharapkan status Raja Muhammad itu akan dimuliakan lagi sebagai pewaris sultan. Raja Muhammad sudah hilang kelayakan itu. Hilangnya ‘bai’ah’ dan taat setia Tun Perak, bermakna tiada gunanya menjadi sultan. Tun Perak tonggak pemerintahan Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Tanpa Tun Perak, hilanglah wibawa dan kebijaksanaan Melaka sebagai negeri berdaulat.

Adakah kuasa Tun Perak itu melebihi diri baginda sebagai Sultan Melaka? Ya dan tidak. Ya, kerana keturunan Tun Perak bersilsilah kepada Parameswara (Raja Iskandar Syah), secara turun-temurunnya seperti ‘penjaga’ Kesultanan Melayu Melaka. Tun Perak mempunyai ‘kuasa’ untuk melantik sultan dan pengganti sultan yang seterusnya. Perihal ini, seluruh kerabat diraja sedia maklum. Tentu lebih maklum lagi kepada Raja Muhammad dan Raden Galoh. Jadi, jelas tadi Tun Perak tidak berkenan dengan tingkah laku Raja Muhammad, putera Sultan Mansur Syah yang paling tua dan sepatutnya menjadi pengganti baginda pada masa hadapan. Dalam konteks ini, memang benar Tun Perak lebih berkuasa daripada sultan sendiri tetapi, jika ketetapan pelantikan itu telah termaktub, Tun Perak akan menjadi pendamping sultan yang paling taat dan setia.
Apatah lagi, Tun Perak bukan sahaja sembrono untuk tidak menyokong Raja Muhammad sebagai pengganti baginda, Tun Perak juga telah menetapkan tuntutan Qisas terhadap kematian Tun Besar dan ini ‘ganti rugi’ yang dipinta. Jika tidak dihukum Raja Muhammad sebegitu keras (layaknya hidup seperti rakyat biasa- merupakan hukuman seumur hidup yang paling berat kepada seorang bakal raja), tentu saja kerabat keluarga Tun Perak tidak akan berpuas hati. Mereka akan menuntut bela di kemudian hari. Perpecahan antara dua buah keluarga berpengaruh ini-natijahnya amat buruk kepada Melaka kelak. Segala-galanya seperti telah digarap oleh Tun Perak dengan sehalus-halus pertimbangan dan penuh kebijaksanaan, sangat jelas walaupun dalam lafaznya yang begitu pendek dan bersahaja. Apa pun, lafaz Tun Perak itu dapat meredakan amukan dan pertelingkahan antara dua kerabat keluarga besar ini. Apa lagi yang boleh baginda persoalkan?

Setelah merafak sembah, tanpa berbasa basi dengan Sultan Mansur, Tun Perak segera memohon perkenan baginda untuk segera beredar. Segerombolan kerabat keluarga Tun Perak segera beransur dari pekarangan istana. Suasana yang menjadi hening-seheningnya buat seketika. Raja Muhammad hanya mampu berteleku di atas tanah, tidak berani bertentang mata dengan ayahandanya, Sultan Mansur yang menjeling keras. Dia tahu- dia telah jatuh ke dalam ‘lubang’ yang dalam. Lubang yang digalinya sendiri- dan semuanya telah terlambat untuk dikesali.

*******

“Bagaimana, Zainal?”

“Seperti yang ayahanda pesan.” jawab Tun Zainal Abidin, pendek. Tun Perak hanya mengangguk-anggukkan kepala. Senyuman mula terukir di bibirnya.

Tun Zainal Abidin tidak mengambil masa untuk beredar dari ruang kamar rehat Tun Perak. Segala perintah ayahandanya itu adalah sulit dan perlu dirahsiakan kepada semua orang. Dia perlu menguruskan ‘mayat’ Tun Besar seberapa segera supaya tidak disyaki oleh sesiapa jua termasuk kaum kerabat keluarganya sendiri.

Tun Zainal Abidin tidak menyangka, firasat ayahandanya berkenaan konflik besar yang akan terjadi antara keluarganya dengan keluarga kerabat diraja akan segera menjadi kenyataan, termasuk juga ‘kematian’ adindanya, Tun Besar. Selama beberapa bulan ini, ayahandanya memerintahkan agar dia sentiasa menemani Tun Besar ke mana saja adindanya itu pergi. Sebelum itu, telah diperturunkan oleh Tun Perak ilmu menyekat darah dan melumpuhkan tubuh kepadanya. Diperintahkan juga agar menggunakan ilmu tersebut terhadap Tun Besar di saat ianya perlu dilakukan.

“Apakah maksud ayahanda, menggunakan ilmu ini kepada Tun Besar?” tanya Tun Zainal Abidin pada suatu hari.

“Untuk menyelamatkan nyawa adindamu.” balas Tun Perak, seperti acuh tak acuh.

“Bukankah dengan menyekat darah dan melumpuhkan Tun Besar itu, akan menyebabkan adinda seperti tidak bernyawa?”

“Kerana itu, kau perlu tahu bila masanya yang sesuai untuk kau perlakukan pesananku ini, Zainal.”

“Bilakah masanya, ayahanda?” Tun Zainal Abidin masih keliru.

“Tatkala keris tertusuk di perut adindamu.” Tun Zainal Abidin kaget dengan balasan Tun Perak. Memang benar, sepanjang ilmu itu diturunkan, ayahandanya itu amat menitikberatkan bahagian perut dan dada untuk disekat darahnya. Kali ini lebih spesifik arahan Tun Perak- tumpukan pada bahagian perut- seperti ada ‘kepastian’ perkara ini akan benar-benar berlaku.

Segala-galanya masih terngiang-ngiang pada pendengaran Tun Zainal Abidin yang amat mahir dalam bidang perubatan itu. Sebagai anak yang tua, dia pasti sedia berkhidmat kepada orang tuanya itu- bila-bila masa dengan caranya sendiri. Belum pernah lagi Tun Perak memberikan tugas yang penting kepada Tun Zainal Abidin melainkan hal-hal berkaitan perubatan sahaja tetapi kali ini, dia pasti ada percaturan yang sedang direncanakan oleh ayahandanya. Dia yakin itu adalah besar dan sebagai watak kecil yang ‘dicaturkan’, Tun Zainal Abidin tidak dapat membayangkan agenda besar yang difikirkan oleh strategis ulung seperti Tun Perak. Walaupun mereka berdua anak beranak, karakter antara mereka berdua amat berbeza. Tun Perak yang terkenal sebagai negarawan dan berkarisma berbanding Tun Zainal Abidin yang lebih lembut dan halus pekertinya. Berbanding dirinya, Tun Besar memiliki sifat-sifat kepimpinan seperti Tun Perak walaupun jiwa Tun Besar lebih ‘bebas’ berbanding ayahandanya yang lebih ‘tertib’. Kalau bukan sebab kepimpinan dan sifat mesra Tun Besar kepada semua orang, sebab apakah lagi yang mampu membuatkan segerombolan pemuda hampir serata ceruk kawasan istana ini menyerbu istana untuk menuntut bela? Ini bukan sebarang karisma untuk seorang yang masih budak (sekitar 12 tahun umurnya)! Tak boleh nak dibayangkan bagaimana kalau Tun Besar sudah dewasa kelak. Apakah pengaruhnya akan melebihi sultan? Boleh jadi.

Langkah Tun Zainal Abidin mulai melaju menuju ke kamar Tun Besar. Pintu kamar itu diperintahkan supaya dikawal rapi dan tidak dibenarkannya orang lain termasuk bondanya sendiri atas alasan mahu menyiapkan dan menyegerakan persemadian Tun Besar dan tak mahu bondanya itu bersedih hati. Dia tahu, bondanya itu amat halus pekerti, sensitif dan lemah semangatnya- apa pun ini juga adalah perintah Tun Perak.

“Kanda,” Tun Besar mulai berbicara tatkala melihat Tun Zainal Abidin masuk ruang kamarnya. Tun Zainal Abidin mengisyaratkan agar adindanya itu tidak membuat bising. Tun Besar hanya tersengih melihat Tun Besar terjengket-jengket, lagaknya seperti pencuri masuk rumah. Muka Tun Zainal Abidin masam mencuka melihatkan reaksi adindanya- bagai mengejek perlakuannya itu.

“Bagaimana?” tanya Tun Zainal Abidin sambil memeriksa balutan luka di perut Tun Besar.

“Baik saja. Apa lagi arahan ayahanda?”

“Kau kena berangkat segera ke Inderapura, malam ini juga. Selepas pemakaman mayat gantian kau itu, masa itu adalah paling sesuai.” bisik Tun Zainal Abidin.

“Aku belum pernah ke Inderapura, lagi siang boleh tersesat jalan, apa pula di malam kelam.” Tun Besar meluahkan resah hatinya. Tun Zainal Abidin hanya tersenyum melihat adindanya itu.

“Jangan kau terlebih bimbang, ayahanda mengutuskan Parang Bayang bersama.”

“Parang Bayang?” terbelalak mata Tun Besar mendengarkan nama gelaran itu.

“Parang Bayang yang itu?” Tun Besar meminta kepastian.

“Ya, siapa lagi Parang Bayang?”

“Dia benar-benar ada?” soal Tun Besar seperti tidak percaya. Tun Zainal Abidin hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum melihat reaksi Tun Besar.

Tak semena-mena Tun Zainal Abidin memeluk Tun Besar, erat. Lama sekali pelukannya sehingga Tun Besar berasa kehairanan. Belakang Tun Besar, ditepuk lembut oleh kekandanya bagai seorang ibu cuba mendamaikan anak kecil yang memberontak meminta sesuatu.

“Kenapa?” tanya Tun Besar selepas saja pelukan kekandanya itu terungkai- sungguh wajahnya Tun Zainal Abidin dalam keadaan bermuram durja.

“Kau jaga diri baik-baik, dinda. Doa kekanda akan sentiasa ada buat dinda.” balas Tun Zainal Abidin, keharuan.

“Ayahanda berpesan, janganlah kau pulang ke Melaka selagi tidak diuruskan perihal Puteri Wanang Sari dari Inderapura. Kanda fikir, mungkin inilah peluang terakhir kanda dapat bertatap muka denganmu.” sambung Tun Besar penuh kepiluan. Anda kata anak orang lain boleh jatuh kasih kepada Tun Besar, apakan pula dia sebagai kekanda. Tentu kasih sayang Tun Zainal Abidin terhadap adik-adiknya jauh lebih besar lagi. Tun Besar turut sugul mendengarkan kata-kata Tun Zainal Abidin.

“Oh, sebelum kanda alpa, ayahanda kata- janganlah kau menggunakan nama Tun Besar selepas ini untuk mengelakkan kecurigaan orang di kemudian hari.”

“Sudahnya, apa yang hendak dinamakan diriku ini, kanda?” Tun Besar mengaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Fateh.”

“Fateh?” bulat mata Tun Besar. Pertanyaan itu bukan kerana dia tidak tahu tentang Khalifah Muhammad Al-Fateh, penakluk *Konstantinopel yang telah masyhur semasa zaman Sultan Muzaffar Syah, ayahandanya Sultan Mansur Syah tetapi, dia benar-benar inginkan kepastian.

Nota *: Sultan Muhammad Al-Fateh berumur 21 tahun semasa menakluk Konstantinopel (sekarang Turkiye) pada tahun 1453, yakni sezaman semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1459) di Melaka.

“Ya, Fateh.” pendek saja balasan Tun Zainal Abidin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience