Faridah terus menerangkan kajian dan penemuannya kepada Fateh dan Khaleeda. Segala imej dan tulisan prasasti-prasasti yang terdapat di dalam Gua Bukit Tulang telah diambil gambarnya oleh Faridah untuk sewaktu ekspedisi terakhirnya bersama Fateh, 10 tahun yang lepas untuk kajian lebih lanjut. Fateh sendiri tidak menyedari akan hal ini kerana fikirannya pada masa itu sangat bingung memikirkan apa yang telah terjadi dalam kehidupannya yang berlegar dalam misteri mencari Pintu Dunia.
Keseluruhannya, terdapat 4 checkpoint terdapat pada array yang ‘melindungi’ rahsia Gunung Tahan. Checkpoint pertama, Faridah menamakan sebagai Checkpoint Masa yang mempunyai 3 pintu- Pintu Pertama- masa hadapan, Pintu Takdir- yang masih tidak difahami kerana penjelasan prasasti cunieform terjejas akibat hakisan, Pintu Ketiga- masa dahulu. Untuk checkpoint kedua, ketiga dan keempat penjelasannya adalah Dunia Hijab, Dunia Para Dewa, Dunia Langit dan Dunia Rahsia Tuhan. Setiapnya mempunyai dua pintu sama ada untuk pergi dan kembali. Bagaimanapun, menurut Faridah lagi, laluan-laluan checkpoint ini tidaklah semudah yang disangkakan kerana kemungkinan besar laluan-laluan wormhole ini tidak stabil kerana gangguan electromagnetic dan akan mengalami glitch tanpa bersebab. Ini mungkin disebabkan kewujudan laluan-laluan ini telah wujud terlalu lama selari dengan garis masa peradaban manusia kuno.
Jadi, untuk memahami dengan lebih mendalam, Faridah telah melakukan pelbagai perkara tidak hanya mentafsir cuneiform secara literal tetapi, termasuk juga teori-teori yang menentang arus dari dunia kesepakatan saintis moden dan sejarahwan kontemporari iaitu secara pseudo-history namun, dapatannya masih jauh dari matlamat yang ingin dicapai secara tuntas dan meyakinkan.
Walaupun begitu, Faridah yakin ada beberapa perkara akan terkait dalam kisah-kisah mitologi untuk merungkaikan rahsia kewujudan dan fungsi checkpoint-checkpoint yang terdapat di Gunung Tahan seperti kisah mitologi Tamadun Sumeria yang berkaitan suatu bangsa yang disebut *Anunnaki dan laluan mereka ke bumi untuk melombong emas untuk dibawa ke Planet Nibiru. Ini diyakinkan oleh kewujudan prasasti-prasasti yang mempunyai tulisan cuneiform dan juga rupa bentuk laluan-laluan checkpoint dan pintu-pintu yang terdapat di dalam Gua Bukit Tulang bukanlah terbentuk secara semulajadi tetapi lebih menyerupai laluan-laluan transit pelombongan yang sengaja dibina oleh suatu daya luaran.
Nota *: Anunnaki adalah sekelompok dewa yang terdapat dalam cerita-cerita mitos orang-orang Sumeria, Assyiria, Babylon dan Akadia yang menyebabkan tamadun Sumeria kuno menjadi begitu maju pada masa dahulu. Anunnaki juga dikatakan berasal dari Planet ke-12 dalam sistem suria iaitu Planet Nibiru. Terdapat pelbagai teori aneh berkaitan Anunnaki termasuk ‘penciptaan’ ras manusia moden hasil ‘campurtangan’ bangsa ini dalam mengubah genetik manusia. Teori oleh Zecharia Sitchin pada tahun 1976 ini amat kontroversial dan secara sepakat ditolak oleh sejarahwan, saintis dan golongan agama kerana bercanggahan dengan kewujudan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT melalui Nabi Adam AS.
Oleh yang demikian, salah satu cara untuk membuktikan teori-teori yang bersabit dan merungkaikan rahsia Pintu Dunia ini, sudah menjadi ‘kewajipan’ kepada Faridah, Fateh dan Khaleeda ‘merasai’ secara langsung fenomena yang ‘dihidangkan’ oleh misteri ini secara fizikalnya. Jika tidak, mereka hanya mampu menghidangkan segala permainan teori semata-mata tanpa bukti yang nyata.
*******
“Jadi bagaimana keputusan, abang?” Khaleeda memandang Fateh untuk memastikan arah tujuan mereka selepas ini.
Fateh hanya diam membisu. Fikirannya masih mencari-cari pilihan yang terbaik sebelum segala-galanya diputuskan. Pada akalnya, dia sudah ‘lelah’ untuk kembali bertualang dan berjuang kerana kembaranya yang merentasi zaman- sudah cukup untuk dia mengenali dunia seperti seadanya- mungkin melebihi manusia-manusia yang lain. Apatah lagi dengan kehadiran Qa’qa yang masih memerlukan bimbingan dan kasih sayangnya.
Tetapi, Fateh tahu dia adalah manusia yang ‘terpilih’ untuk memegang amanah. Tentu sahaja apa yang berlaku, dengan segala kelebihan dan kurniaan Allah SWT kepadanya bukanlah untuk dia bersenang-senang tanpa ujian yang nyata. Bertambah berat lagi tanggungjawab dan ujian yang hendak dipikul apabila kini dia telah berkeluarga dan mempunyai cahaya mata.
“Kanda risaukan risaukan Qa’qa’ dan Cat?” Faridah cuba menduga. Fateh hanya mengangguk kecil. Kalau bukan sebab itu, tentu lebih tetap pendiriannya tentang hal ini.
“Kalau tentang itu, abang jangan khuatir- Khaleeda akan sentiasa pastikan keperluan mereka sentiasa cukup…” Khaleeda cuba memberikan dorongan.
“Tidaklah apa yang abang risaukan keperluan itu andai adanya kau, Khaleeda. Tapi, kali ini andai abang pergi bersama Faridah- mungkin ianya kali terakhir kita sekeluarga dapat bersama. Tiada jaminan untuk kembali lagi.”
Suasana menjadi hening seketika. Mereka bertiga seperti melayari perasaan masing-masing yang rumit untuk dirungkaikan. Benar apa yang dikatakan Fateh. Berdasarkan maklumat hasil dari kajian Faridah, perjalanan kali ini amat besar ‘peluangnya’ menjadi perjalanan masa yang bercirikan ‘tiket’ sehala semata. Tiada kepastian untuk pulang semula.
Tetapi, menurut dari petanda mimpi dan firasat Fateh- ada tuntutan yang mendesak untuk mereka segera ‘melangsaikan hutang’ yang tertunggak. Faridah juga mengalami mimpi yang hampir serupa sepertinya ada ‘seseorang’ yang menyeru semangat mereka untuk ‘singgah’ di ‘dunia’ sebalik sana. Petanda ini datang menerusi imej-imej yang sukar digambarkan, kata-kata yang tidak berbahasa dan pengertian dan maksud sebenar ‘seruan’ itu hanya dapat difahami oleh hati yang dapat ‘melihat’ dan ‘mendengar’. Orang-orang seperti Fateh, Khaleeda dan Faridah tentunya lebih memahami ‘dunia’ seperti ini serta ‘permainan’ di dalamnya.
“Kamu berdua tentu faham tetapi, apakah Catherine akan dapat menerima ‘keadaan’ kita seperti ini?” Fateh mengajukan semula persoalan yang bermain di fikirannya. Khaleeda dan Faridah hanya diam membisu.
“Beginilah, bang… izinkan saya mencari jawapan untuk persoalan abang ini. Abang janganlah risau- Insya Allah pasti ada penyelesaiannya.” kata Khaleeda sambil tersenyum manis kepada Fateh. Jari jemari Fateh segera digenggam erat- sedikit sebanyak meredakan kegelisahan di dalam lubuk perasaan Fateh. Fateh hanya mengangguk kecil, ada kedamaian pada wajahnya.
Faridah hanya tersenyum melihat mereka berdua- sepertinya Khaleeda itu sangat melengkapi Fateh sebagaimana dia dan Catherine juga melengkapi Fateh dalam sisi dan ‘keperluan’ yang sangat berbeza. Sungguh, lelaki ini begitu ‘besar’ untuk dimiliki oleh hanya salah seorang daripada mereka kerana salah seorang daripada mereka tidak mempunyai semua yang diperlukan oleh Fateh.
… dan Fateh itu sendiri walaupun dengan seluruh keperkasaannya- dia sendiri memerlukan mereka bertiga!
Share this novel