BAB 6: Perjalanan Malam

Mystery & Detective Series 5224

BAB 6: Perjalanan Malam

Perjalanan Tun Besar dan Parang Bayang hanya bertemankan api jamung merentasi kegelapan malam yang gelita- sunyi dan bisu. Hanya sesekali terdengar bunyi cengkerik dan tapak kaki mereka berdua melangkah santai namun, konsisten dan laju. Tidak kelihatan mereka mengejar masa tetapi, tidak pula mereka berlengah-lengah menuju ke arah destinasi yang hendak dituju.

Tun Besar hanya membontoti Parang Bayang kerana dia sendiri tidak tahu ke mana dia akan di bawa. Laluan yang diikuti oleh Parang Bayang adalah laluan-laluan kecil yang kebiasaannya dilalui oleh orang-orang kampung di situ. Ada sebahagian jalan yang pernah dilalui oleh Tun Besar tetapi, kebanyakannya adalah jalan-jalan baru yang tidak pernah diketahuinya selama ini. Almaklum, Tun Besar sendiri lebih banyak aktiviti-aktivitinya berlegar di kawasan istana dan kawasan sekitarnya sahaja.

Tun Besar mengerti, semakin terpencil laluan yang mereka ikuti, semakin kurang atau tidak ada orang yang akan melaluinya apatah lagi, malam-malam begini. Kebiasaannya, laluan utama di sekitar kota Melaka akan ada banyak orang yang masih lalu-lalang termasuk orang-orang Datuk Temenggung yang akan membuat rondaan demi memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat sekitar termasuk juga pedagang-pedagang asing dari sebarang insiden yang tidak diingini. Sebab itu juga negeri Melaka ini terkenal dengan aman dan makmur di seluruh pelusuk dunia.

Tun Besar juga tahu, ‘pengelakan’ ini juga besar manfaatnya kepada perjalanan mereka berdua- tidak perlu berbasa-basi dengan orang-orang yang berpapasan di sepanjang jalan. Silap gaya, mungkin ada di antara mereka mengenali identitinya sebagai anak Bendahara. Manalah tahu. Mungkin kecoh nanti Tun Besar yang telah mati ditikam, hidup kembali. Tentu perancangan ayahandanya terbantut dek kerana ‘kebodohan’ mereka melaksanakan perintah.

“Er, Tuan Pendekar… ke mana arah kita ni?” Tun Besar memulakan bicara dengan berhati-hati, takut kalau Parang Bayang berasa tidak senang dengan perbualan yang cuba dicetuskan oleh Tun Besar.

Parang Bayang masih diam membisu. Di sebalik sinar cahaya jamung yang berbalam-balam itu, Tun Besar sedikit sebanyak dapat melihat wajah Parang Bayang, untuk melihat apa reaksi pendekar yang masyhur di kalangan golongan bangsawan sepertinya- itu pun tidak semua yang tahu- apatah lagi, seluruh rakyat negeri Melaka. Alangkah terkejutnya Tun Besar apabila melihat wajah Parang Bayang itu masih kelihatan muda belia- sepertinya baru berusia dalam 20an sahaja! Mungkinkah orang di hadapannya ini benar-benar watak lagenda Parang Bayang?

“Er, Tuan Pendekar…tuan hamba-”

“Tak usah terlebih adat, Tun Besar… kita bukan di istana.Ingat, namamu kini Fateh dan kau panggil saja aku Bayang. Kanda Bayang.” tegas Parang Bayang. Tun Besar hanya mengangguk-anggukkan kepalanya- dan dia berbuat sedemikian, walaupun dia tahu Parang Bayang tidak pun memandangnya untuk mengesahkan dia faham apa yang dikehendaki oleh pendekar itu.

Suasana kembali sunyi sepi. Tun Besar masih berkira-kira untuk memulakan bicara. Mana mungkin dia akan melalui kembara ke Inderaputra dalam suasana sebegini. Sifatnya yang keletah dan ceria tidak memungkinkan dia bersikap ‘bisu’ sebegini- boleh mati akalnya nanti.

Tun Besar beralih untuk mengamati susuk tubuh dan keterampilan pendekar lagenda yang dikenali sebagai Parang Bayang ini. Tubuhnya tidaklah terlalu sasa dan tidak pula ‘kuncup’. Hanya sedang-sedang sahaja tetapi, jelas tubuh itu kelihatan kekar dan sangat lincah. Sebetulnya, tidak kedengaran bunyi tapak kaki Parang Bayang ini melangkah- yang berbunyi sesekali itu adalah bunyi tapak kakinya sendiri. Ini sangat mengagumkan Tun Besar kerana sudah pastinya Langkah Meniti Angin yang dimilikinya tidak ‘selembut’ dengan Langkah Meniti Angin yang dipraktikkan oleh Parang Bayang. Bukan senang untuk ‘mempertahankan’ hikmat itu sepanjang perjalanan ini apatah lagi, untuk kelihatan bersahaja mempraktikkannya tanpa kelihatan terlalu ‘berusaha’.

“Gunakan udara yang berlegar sebagai teman, melalu dan tidak melawan.” Parang Bayang mulai membuka kata- bagai mengerti apa yang difikirkan oleh Tun Besar. Tun Besar hanya mengangguk namun, kata-kata itu tidaklah difahaminya secara langsung tetapi, dia lantas sahaja memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh Parang Bayang.

“Merasa lebih penting daripada berfikir. Badan yang merasa akan bertindak pantas sebelum sampai kepada fikiran.” tambah Parang Bayang, memberikan tips-tipsnya kepada Tun Besar. Tun Besar hanya mengangguk lagi tanpa membantah.

Tun Besar menaakul akan pengajaran yang diberikan oleh Parang Bayang kepadanya. Dia mulai membayangkan bentuk tenaga dan ‘perasaan’ yang sesuai berdasarkan pengamatan udara yang berlegar di sekitarnya. Dari tenaga itulah dimula mengalirkan suatu daya untuk tubuhnya mengingati gerak Langkah Meniti Angin secara semulajadi tanpa perlu berusaha untuk ‘mengingati’ bagaimana atau cara-cara gerakan itu dilakukan. Semakin lama, tubuhnya semakin ‘mesra’ dengan ‘perasaan’ itu. Ini seperti meletakkan suatu ‘program’ dalam tubuhnya- seperti reseptor pada kulit yang mengesan bahaya kepanasan dan merefleksi suatu tindakan tanpa perlu berfikir panjang. Meletakkan ‘program’ seperti ini di bawah minda separa sedar dengan sengaja bukanlah sesuatu perkara mudah.

Namun, lama kelamaan Tun Besar mulai betah dan tidak terasa ‘lelah’ mempraktikkan pengajaran Parang Bayang walaupun, masih ada sedikit cacat cela untuk membiasakannya. Langkah Tun Besar menjadi semakin ringan dan meluncur tanpa kedengaran derap langkahnya seperti tadi. Betapa gembiranya Tun Besar kerana walaupun dia mempelajarinya daripada ayahandanya Tun Perak tetapi, pengajaran Parang Bayang ini lebih mudah difahami oleh Tun Besar. Tetapi Tun Besar tidak menyedari bahawa, bukanlah kerana ajaran Parang Bayang itu lebih mudah kerana inti pengajaran Parang Bayang terhadap Langkah Meniti Angin itu sebenarnya lagi sukar untuk difahami oleh orang-orang kebanyakan yang belajar untuk menjadi pendekar dan ajaran Tun Perak itu pula yang sebenarnya lebih ‘praktikal’ dari sudut asasnya. Inti pengajaran Tun Perak berupa langkah dan huraian manakala, ajaran Parang Bayang lebih kepada ‘roh’ dan falsafah gerakan tersebut. Tentu saja memahami falsafah usul sesuatu ilmu itu, lebih sukar lagi.

Parang Bayang hanya tersenyum di hadapan- tidak pun dia menoleh Tun Besar dibelakangnya tetapi, dia dapat menyedari perubahan gerak langkah Tun Besar yang telah jauh berbeza dari sebelumnya. Tiada riak terkejut pada wajah Parang Bayang atas perubahan yang berlaku sedangkan perkara seperti itu bukanlah sesuatu yang umum. Ada yang mengambil masa sehingga puluhan tahun untuk mempelajarinya secara tuntas apatah lagi dalam masa tidak sampai semalaman! Sesungguhnya, Parang Bayang sepertinya benar-benar tahu akan kecerdasan Tun Besar memahami sesuatu perkara melebihi orang-orang lain seusia atau lebih tua daripadanya.

‘Bapak borek, anaknya tentu rintik.’ bisik hati Parang Bayang

Tak berapa lama kemudian, mereka berdua tiba di suatu jeti di sebuah perkampungan dipinggir sebuah sungai di negeri Melaka. Parang Bayang segera mengarahkan Tun Besar supaya melepaskan ikatan kapal kecil jenis *pencalang dan naik untuk menggulung sauh. Semua itu dilakukan oleh Tun Besar tanpa berbasa basi. Dia hanya mengiakan sahaja. Sebagai seorang budak yang kerap ‘bermain’ dengan kapal dagang, apa yang perintahkan oleh Parang Bayang itu tidaklah menjadi bebanan kepadanya.

Nota: Sejenis kapal dagang tradisional yang sederhana besarnya yang dibina oleh orang-orang Melayu dari Kepulauan Riau dan Semenanjung Tanah Melayu untuk pelayaran jarak dekat dan sederhana. Ada disebutkan di dalam Hikayat Hang Tuah- ‘Dua pencalang dan dua ghurab digunakan kerajaan Majapahit untuk menghantar surat dan hadiah untuk memperbaiki hubungan dengan Kesultanan Melaka.’ Kapal ini kemudiannya popular sebagai kapal pengintip (pencalang), boleh memuatkan sehingga 20 orang krew dalam sesuatu masa, bergantung kepada saiz kapal pencalang tersebut.

Tun Besar kemudian tertarik perhatiannya ke arah ruang kamar nakhoda kerana terdapat sekujur tubuh sedang berbaringan di situ, nyenyak sekali lenanya sehingga tidak menyedari kehadiran Parang Bayang dan Tun Besar di atas kapal itu.

“Bangun.” tersentak orang yang berada di dalam pencalang tersebut mendengarkan suara Parang Bayang. Dia kelihatan terkebil-kebil dan mengesat-ngesat kelopak matanya dan mengamati susuk tubuh di hadapannya kini.

“ Eh, Tuan Bayang,” tersengih-sengih saja lelaki itu- segera bangkit dan bersiap ala kadarnya dengan pantas.

“Semuanya sudah diatur?” tanya Parang Bayang untuk mengesahkan sesuatu.

“Sudah Tuan, bekalan makanan, air bersih, kelengkapan dan segala-galanya sudah lengkap. Malam ni pun agak cerah langitnya, tiada aral- dalam 4-5 hari kita boleh menjejaki Inderapura.” Parang Bayang hanya tersenyum dengan penjelasan lelaki separuh umur itu.

“Pakcik, saya Fateh,” Tun Besar mencelah, memperkenalkan dirinya.

“Oh, pakcik ni bernama Halim, orang gelar Nakhoda Halim.” tersenyum sahaja Nakhoda Halim melihat Tun Besar yang keletah dan begitu mesra.

“Semua sudah sedia? Ayuh, kita berangkat!” Fateh bersorak dengan ajakan Nakhoda Halim yang begitu bersemangat- bagai sesuatu yang merasuk dalam jasad Nakhoda Halim, segar bugar lelaki itu berbanding keadaannya tadi yang kelihatan lesu tidak bermaya.

Pelayaran Tun Besar ke Inderapura kini dimulakan dengan rasminya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience