BAB 3: Misteri Perjalanan Masa

Mystery & Detective Series 5224

Fateh tersentak dari tidurnya. Peluh dingin membasahi dahi, nafasnya tercungap-cungap bagai baru terlepas daripada perangkap lautan yang dalam. Dia segera bangkit dan berteleku sebentar pada bucu katil seperti berfikir akan sesuatu. Sesekali dia menoleh ke arah Catherine yang masih lagi nyenyak tidur. Pagi masih terlalu awal untuk segala-galanya pada hari ini.

Perlahan-lahan Fateh meninggalkan ruangan kamarnya, menuju ke kamar Qa’qa’ At-Tamimi- untuk memeriksa keadaan anak lelakinya yang kini sudah pun berumur 10 tahun. Budak itu pun masih sedang lena dibuai mimpi. Fateh mengusap lembut kepala Qa’qa’ dengan penuh kasih sayang dan berhati-hati agar tidak membangunkan anaknya itu. Setelah berpuas hati- seperti security guard yang meronda kawasan, memastikan segala-galanya dalam keadaan selamat dan terkawal- Fateh segera beredar dari situ.

Fikiran Fateh masih lagi menerawang mengenangkan perihal mimpinya tadi. Kalau hendak dikatakan mimpi, kejadian dalam mimpi tersebut bagaikan benar-benar terjadi- bagai ingatan lama yang muncul kembali. Ingatan yang sentiasa berulang-ulang semenjak akhir-akhir ini. Fateh cuba mencari makna ‘peringatan’ itu dengan firasatnya yang dalam- semakin lama, dia semakin pasti ianya bagai sebuah arahan yang perlu dilaksanakan. Tapi, mengapa dan bagaimana?

Deringan telefon menyedarkan Fateh dari lamunannya. Siapa pula yang menelefonnya pada pagi-pagi buta sebegini- Fateh berasa sedikit hairan tetapi, apabila memikirkan kemungkinan ada kecemasan yang perlu perhatiannya- Fateh mencapai malas telefon bimbitnya itu dan tertera nama Faridah pada permukaan skrin. Faridah? Apa mahunya Faridah pada waktu sebegini?

“Kanda?” Fateh hanya mengiakan.

“Maaf kanda, adinda telefon kanda awal sebegini.” Manis suara Faridah pada pendengaran Fateh.

“Kenapa, dinda- apa keperluan adinda telefon sepagi ini?”

“Kita kena berjumpa. Moleknya pada hari ini kerana telah sampai alamat kepada kita..” resah sekali suara Faridah menuturkan bicara. Fateh sedikit tersentak kerana apa yang Faridah katakan jelas merujuk kepada apa yang difirasatkan oleh Fateh sebentar tadi.

“Dinda pun begitu?” Fateh cuba mendapatkan kepastian.

“Ya, kanda… kita jumpa, ya? Kita berjumpa di rumah Khaleeda?”

*******

Khaleeda menjengah ke luar jendela, melihat dua merpati sejoli sedang berjalan beriringan menuju masuk ke villanya. Laman villa yang luas terbentang itu membuatkan pasangan tersebut mengambil sedikit masa untuk sampai ke pintu masuk villa ni. Faridah kelihatan erat merangkul lengan Fateh- sedikit sebanyak menerbitkan kecemburuan di dalam hati Khaleeda tetapi, dia tahu hal yang sedemikian bukanlah perkara yang perlu diperbesar-besarkan tatkala ini. Dia tetap bersyukur dapat melihat batang tubuh Fateh di hadapan matanya.

Apabila melihat Fateh dan Faridah sudah benar-benar menghampiri, Khaleeda segera membuka pintu villa tersebut seraya tersenyum memandang mereka berdua. Fateh dan Faridah turut membalas senyuman Khaleeda- Fateh tanpa berlengah terus merangkul tubuh Khaleeda lalu memberikan ciuman di ubun-ubun kepala gadis itu. Faridah yang melihat kemesraan Fateh terhadap Khaleeda hanya tersenyum mesra kerana dia sendiri pun memahami tempatnya Khaleeda itu dalam hati dan hidup Fateh.

“Khaleeda sihat?” tanya Fateh, ringkas. Telapak tangannya lembut membelai wajah Khaleeda yang jelita.

“Sihat, bang. Abang, Catherine dan Qa’qa’ bagaimana?”

“Alhamdulillah. Catherine kirim salam dan Qa’qa’ tadi ingin ikut berjumpa bondanya (merujuk kepada gelaran Khaleeda).” Khaleeda tersenyum bahagia mendengarkan kata-kata Fateh berkenaan anak tiri yang disayanginya itu. Benar, Khaleeda lebih memanjakan Qa’qa’ berbanding ibu kandungnya, Catherine sendiri.

“Tak bawa dia sekali?” tanya Khaleeda.

“Kalau dibawanya dia, tak mahu pulang pula nanti.” balas Fateh dengan senyuman, sekadar membalas apa yang perlu sebagai jawapan kepada pertanyaan Khaleeda kerana dia tahu, Khaleeda tentu lebih faham kedatangannya pada hari ini bersama Faridah untuk membincangkan sesuatu yang mustahak dan sulit.

“Kasihan saya ini, tak ada yang ingin bertanya,” sampuk Faridah yang dari tadi hanya tersenyum, menjadi pemerhati.

“Awak ada di hadapan saya, sihat dan cantik- apa perlu ditanya lagi?” seloroh Khaleeda- berderai tawa wanita berdua. Giliran Fateh pula menjadi pemerhati.

“Jom- abang, Faridah- kita bersantai dahulu, sedikit jamuan telah disediakan. Nanti dah reda penat, kita boleh mula bicara apa yang patut.” pelawa Khaleeda.

Fateh dan Faridah hanya akur menurut. Mereka bertiga berjalan beriringan- lengan kanan dipaut Khaleeda dan lengan kiri Fateh dirangkul oleh Faridah. Sungguh, keadaan seperti ini tentunya menjadi kecemburuan kepada semua lelaki dalam dunia!

*******

“Berdasarkan catatan cuneiform pada prasasti dalam gua di Gunung Tahan, ada 4 checkpoint array di situ. Checkpoint pertama ada 3 pintu, checkpoint seterusnya- di setiap checkpoint tersebut mempunyai 2 pintu masing-masing.” kata Faridah sambil melakarkan sesuatu di atas papan putih yang terletak di dinding ruangan bilik diskusi milik Khaleeda.

“Checkpoint yang pertama dan pintu pertama, telah di masuki oleh kanda, kira-kira 600 tahun yang lepas ke masa hadapan pada tahun 80an.” jelas Faridah sambil menjeling ke arah Fateh. Khaleeda hanya mengangguk kepalanya sambil memikirkan sesuatu- eh!

“Abang…” Khaleeda cuba mengingati sesuatu. Fateh hanya menganggukkan kepalanya, mengetahui apa yang bakal ditanya oleh Khaleeda. Dia tahu, Khaleeda pastinya menyedari sesuatu akan ‘hal’ itu.

“Benarkah budak nakal itu abang?” Khaleeda seperti tidak percaya.

“Cik ini cantik, tapi bakal tunangan saya pun tidak kurang rupawan. Andai boleh dipilih-pilih, saya mahu kedua-duanya…” Fateh menuturkan semula kata-kata yang pernah dituturkan kepada Khaleeda untuk meyakinkan isterinya itu. Mata Khaleeda terbeliak kerana apa yang baru diucapkan oleh Fateh benar-benar mengingatkannya pada suatu peristiwa yang telah lama berlaku- pecah derai tawa Khaleeda. Faridah turut sama menyertai Khaleeda dalam ‘upacara’ yang langka seperti ini. Bukan sesuatu yang biasa keadaan lucu seperti ini berlaku kepada Fateh kerana sinonimnya Fateh itu dengan misteri dan kehidupan seorang pejuang.

“Siapakah agaknya bakal tunangan kanda?” Faridah mulai mengusik- dia tahu bahawa dialah orang yang dimaksudkan sebagai bakal tunangan Fateh itu. Amatlah lucu perkataan itu dilafazkan oleh seorang budak lelaki berumur 12 tahun. Makin meriah ketawa Khaleeda dan Faridah.

Merah padam muka Fateh kerana malu dipermainkan oleh kedua-dua isterinya itu. Kalau dia tahu, tentu saja dia boleh membiarkan Khaleeda meyakini kebenaran peristiwa itu secara alami- bukankah Khaleeda sentiasa akur dengan kata-katanya? Mengapa pula dia ‘gatal’ untuk mengatakan sesuatu yang kini menjadi perangkap ‘maut’nya sendiri? Ah, hendak menyesal pun tiada gunanya lagi.

“Ok… ok… kita sambung semula, ya?” Faridah cuba untuk kembali serius (begitu juga dengan Khaleeda) setelah tawa mereka berdua kembali mereda. Apatah lagi apabila melihat muka Fateh menjadi lebih serius daripada kebiasaannya.

“Begini, kanda Fateh dah guna pintu pertama pada checkpoint pertama- bermaksud pergi ke masa hadapan, dan kanda juga telah guna pintu kedua yakni pintu yang dinamakan Pintu Takdir.”

“Pintu Takdir?” Tanya Fateh kehairanan.

“Ya, dinda menamakannya sebagai Pintu Takdir kerana dinda sendiri tidak pasti apa sebenarnya fungsi tersebut secara pasti. Dalam kes kanda, kanda seperti ‘dilahirkan’ semula 100-200 tahun dengan suatu identiti baru dengan ‘kehilangan’ beberapa fragmen-fragmen memori yang lebih lama sebelum itu. Jadi, kanda yang kini adalah kanda yang telah melalui pintu kedua.” Panjang lebar keterangan yang diberikan oleh Faridah. Fateh hanya mengangguk-angguk kecil, tanda memahami dan mengikuti apa yang diperkatakan oleh Faridah dengan penuh minat.

“Dinda juga telah gunakan pintu kedua- kembali ke rahim ibu dinda ‘kedua’ pada sekitar tahun 1920an untuk mencari kanda.”

“Maksudmu, abang Fateh ke masa hadapan, tidak ‘dilahirkan semula’ cuma hilang memorinya dan kamu ‘dilahirkan semula’?” Khaleeda meminta kepastian. Ada keanehan dalam cerita Faridah.

“Ya, begitulah… mengapa Khaleeda bertanya begitu?”

“Oh, tidak. Saya mahu tahu- versi awak yang manakah melalui pintu takdir tersebut kerana, saya telah berjumpa dengan Faridah yang seorang lagi.” jelas Khaleeda. Fateh dan Faridah berpandangan. Pelik.

“Awak ada berjumpa dengan saya?” Faridah mulai tertanya-tanya.

“Benar… dan saya yakin dia juga adalah Faridah.” Kata-kata Khaleeda itu membuatkan Faridah menjadi sangat kaget. Perkara seperti ini turut membuatkan Fateh terkejut.

Dalam ingatan Fateh yang berbalam-balam, dia seperti menyedari sesuatu. Ya, dia yakin apa yang dikatakan oleh Khaleeda itu ada kebenarannya kerana - dia juga seperti pernah berjumpa dengan Faridah yang lagi satu. Tapi bila? Bagaimana? Ah, Fateh mulai bingung untuk menyambungkan titik-titik memorinya agar naratif kewujudan ‘Faridah’ itu dapat dirungkaikan dengan lebih jelas.

“Apakah dinda telah melalui Pintu Takdir itu sebanyak 2 kali?” tanya Fateh kepada Faridah. Faridah hanya menggeleng-gelengkan kepala kerana dia sangat yakin, dia tidak pernah melakukan perkara sedemikian.

Jadi, siapakah Faridah itu?!

Boleh rujuk semula dalam The Big Boss pertama, Bab 89: Pertemuan Yang Edan- ada diceritakan pertemuan Khaleeda dengan seorang perempuan tua bernama Tengku Faridah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience