BAB 9: Seludang Damsyik
Di atas pencalang kecil yang terhuyung-hayang dibuai ombak, suasana kelam malam dipenuhi oleh gelak tawa kasar dan suara sumbang para bajak laut yang sudah menawan dek kapal. Beberapa orang dari mereka melangkah dengan sombong, menyapu pandangan ke setiap sudut pencalang, mencari apa-apa yang berharga untuk dirampas. Ketua mereka, seorang lelaki bertubuh besar dengan rambut kusut dan wajah garang, menghampiri Nakhoda Halim dan Tun Besar dengan golok besar yang berkilat dalam cahaya rembulan. Dengan menghentakkan golok besar tersebut di atas lantai kapal- suara hempasan kayu golok itu menambahkan ketegangan di udara dan menambahkan suasana yang telah sedia riuh rendah.
“Mana harta kau, wahai nakhoda tua?!" jerkah ketua bajak laut. Nakhoda Halim hanya membisu seribu kata sepertinya tidak mengendahkan kata-kata ketua bajak laut yang parau dan kasar tersebut.
Melihatkan reaksi Nakhoda Halim yang seperti acuh tak acuh, ketua bajak laut menjadi sangat berang.
Jangan sampai aku terpaksa sembelih budak ni!” ugut ketua bajak laut sambil menjeling ke arah Tun Besar, seorang budak yang masih berdiri teguh di sisi Nakhoda Halim. Pada perkiraan ketua bajak laut, mungkin budak tersebut mempunyai pertalian rapat dengan Nakhoda Halim. Adanya budak ini- mudah kerja mereka. Pasti lebih berkesan ugutan yang hendak dibuat.
Bajak laut di sekeliling mereka terbahak-bahak ketawa, merasakan kemenangan sudah berada dalam genggaman. Namun, Nakhoda Halim hanya tersenyum tipis. Dia memandang tenang ke arah ketua bajak laut itu, wajahnya langsung tidak terkesan dengan ancaman yang dilemparkan.
“Harta? Kamu betul-betul mahu harta? Ah, sungguh beruntungnya kami malam ini dengan kehadiran kalian semua..” Nakhoda Halim berkata dengan tenang dan perlahan, suaranya sinis seperti mengejek dan mungkin mencabar 'keberanian' ketua bajak laut untuk bertindak. Ketua bajak laut dan anak-anak buahnya menjadi bingung seketika dengan jawapan Nakhoda Halim yang sungguh 'berlainan' daripada apa yang sepatutnya berlaku.
Tun Besar turut tersenyum menangkap maksud Nakhoda Halim. Dia tahu, bukan saja dia ingin melihatkan 'sesuatu', Nakhoda Halim juga seperti berniatkan perihal yang sama- apa yang bakal Parang Bayang 'persembahkan' kepada mereka kelak. Tentunya peristiwa malam ini akan menjadi sesuatu yang sangat menarik!
Tun Besar mengangkat kepalanya, memandang ke arah bajak laut itu dengan penuh keyakinan- seperti dia juga ingin melontarkan cabaran kepada bajak-bajak laut tersebut untuk segera bertindak. Matanya kemudian melirik ke sudut kapal di mana seorang lelaki berwajah tenang, berpakaian serba hitam, duduk tanpa menghiraukan kekacauan yang berlaku. Sosok itu, Parang Bayang, tidak bergerak. Dia hanya memerhati, acuh tak acuh, seakan bajak laut yang mengancam mereka tidak lebih dari sekumpulan budak-budak yang sedang bermain-main.
“Serahkan semua atau nyawa kalian akan melayang!” seorang bajak laut lain berseru lantang, tombaknya diacukan ke arah Nakhoda Halim.
Namun, Nakhoda Halim tetap tenang. Dia dan Tun Besar tidak berkata apa-apa lagi, hanya senyuman kecil di wajah mereka semakin membuatkan para bajak laut bertambah geram. Mereka tidak faham—kenapa 'mangsa' mereka ini begitu berani, kerasukan hantu lautkah sehingga mereka tidak gentar dengan senjata yang terhunus di hadapan mereka? Kebiasaannya, ramai mangsa sudah 'keracauan' sehingga terkencing dan terberak. Apakah *penggerun yang mereka gunakan sudah tidak lagi ampuh?
*Nota: Penggerun- satu amalan yang mampu menggerunkan musuh berkait dengan ilmu hitam dengan pengantaraan khadam jin, biasa diamalkan oleh bajak-bajak laut dan penjenayah-penjenayah pada masa itu.
“Ini yang kau cari, nakhoda tua?” Ketua bajak laut itu semakin mendekatkan goloknya ke arah leher Tun Besar, cuba untuk memaksa mereka menyerah.
Namun, saat itu Parang Bayang- yang hanya memerhati dari tadi- bangkit dari tempat duduknya dengan gerakan perlahan. Bajak laut yang sedang riuh serta-merta terdiam, mata mereka kini tertumpu pada lelaki itu tak berkedip- mengawasi apakah tindakan yang hendak diambil oleh lelaki tersebut. Pada hemat mereka, lelaki itu secara fizikalnya tak mungkin menimbulkan ancaman. Dia hanya kelihatan 'biasa-biasa' saja tidak seperti sosok pendekar yang biasa mereka temui berbadan agam dan kekar.
Parang Bayang melangkah ke hadapan dengan langkah yang tenang, tetapi penuh dengan aura yang tidak dapat diterangkan. Wajahnya tetap dingin, matanya seakan-akan menembusi setiap satu daripada mereka.
“Apa kau mahu buat?” tanya ketua bajak laut, nadanya penuh ejekan tetapi berasa sedikit curiga atas perlakuan lelaki tersebut.
“Kau fikir kau boleh lawan kami?”
Tanpa berkata apa-apa, Parang Bayang menggerakkan tangannya. Satu hentakan ringan ke arah seorang bajak laut yang berada paling dekat dengannya, dan sekelip mata bajak laut itu jatuh tergolek ke lantai. Bajak laut yang lain tercengang—gerakan Parang Bayang sangat halus, terlalu cepat untuk mata mereka tangkap. Dalam sekelip mata, lelaki itu sudah berada di hadapan mereka, menggerakkan tangannya dengan lembut tetapi penuh dengan tenaga yang tidak kelihatan.
Dengan menggunakan hikmat persilatan Kilat Serong Tiga Lapis, Parang Bayang mematahkan serangan-serangan yang datang dari setiap penjuru. Setiap libasan golok dan tombak yang dihunus ke arahnya seperti tidak mengenai apa-apa, seolah-olah dia sudah meramal setiap gerakan sebelum ia dilakukan. Bajak laut yang cuba mengelilinginya kini bertaburan di atas lantai pencalang, pitam dan tidak mampu bergerak.
Suasana menjadi hening dan hanya bunyi deruan ombak yang masih setia mengiringi malam. Para bajak laut yang tersisa memandang dengan mata terbeliak, tidak percaya dengan apa yang mereka saksikan. Mereka tidak dapat melihat dengan jelas bagaimana Parang Bayang menyerang, tetapi satu demi satu teman mereka jatuh, seolah-olah disentuh oleh tangan ghaib.
“Apa… apa yang kau buat?!” Ketua bajak laut itu berundur, wajahnya kini penuh dengan ketakutan. Dia tidak tahu siapa yang dia hadapi—tetapi gerak-geri Parang Bayang yang licin dan misteri itu cukup untuk membuatkan rasa gentar meresap ke tulang sumsum. Apakah lelaki itu hantu laut yang naik di atas pencalang?
Parang Bayang kini berdiri tegak di hadapan ketua bajak laut itu, senyuman kecil yang sama masih terukir di bibirnya. Perlahan-lahan, dia menarik parang dari pinggangnya—sebilah parang yang 'ikonik' dan dikenali hampir oleh setiap penjenayah di seluruh Selat Melayu. Lakaran Seludang Damsyik ini disimpan dan dijadikan tanda amaran oleh bajak-bajak laut terdahulu sebagai 'kod merah' mereka- yang menggambarkan tentang geruh dan sial terhadap nasib mereka jika bertemu pembawa parang tersebut.
Seludang Damsyik yang ditempa dengan kaedah tempaan orang-orang Damsyik, berkilau dalam cahaya rembulan seperti mengisyaratkan sesuatu yang amat buruk bakal berlaku kepada yang menentang .
Ketua bajak laut terkesima dan kaku apabila melihat senjata itu kerana dia amat tahu akan lagenda Seludang Damsyik ini, mana mungkin sebagai ketua bajak laut dia boleh ambil mudah perihal 'kod merah' para bajak laut seluruh Selat Melayu walaupun ramai yang menganggapnya hanya mitos. Kegerunan mula menerpa di dalam hati ketua bajak laut tersebut-serta merta wajahnya berubah menjadi pucat.
Dia teringat cerita-cerita lama yang sering didengarnya dari ketua-ketua bajak laut terdahulu—tentang seorang pendekar misteri yang bergerak dalam bayang-bayang. Seorang yang jarang sekali membunuh lawan tetapi, seterunya kalau hidup pun ibarat bangkai bernyawa. Sosok yang diceritakan itu ialah Parang Bayang- seorang lagenda dalam dunia kepahlawanan Melayu dan ketua bajak laut sama sekali tidak menyangka selama berdekad-dekad bergelumang dengan laut dan garam di Selat Melayu ini- dia telah 'beruntung' menemui sosok lagenda ini!
Dengan suara tersekat-sekat, ketua bajak laut itu melutut, tangannya terketar-ketar memegang lantai kayu pencalang.
“Ampunkan kami, Tuan Parang Bayang… Kami tidak tahu... kami tidak tahu tuan...” terketar-ketar suara ketua bajak laut mengatur kata. Parang Bayang hanya merenung dingin.
“Kalian telah melakukan kesilapan besar malam ini. Bukankah aku telah memberi amaran kepada 'bangsa' kalian tidak melakukan onar di Selat Melayu atau aku bunuh semuanya? Kalau ada hukumnya untuk aku menghukum kalian pada malam ini, kalian semua ketika ini pasti dah bertemu Raqib dan Atib. Tinggalkan pencalang ini, dan bersumpahlah untuk kembali kepada agama.”
Ketua bajak laut segera mengangguk lemah, pasrah dan terlalu takut untuk berkata apa-apa lagi. Dia memberi isyarat kepada anak buahnya yang tersisa, dan mereka semua bercempera lari ke perahu kecil mereka, melompat dengan tergesa-gesa untuk meninggalkan pencalang itu. Dalam sekelip mata, bajak laut itu hilang di tengah malam, hanya deru ombak yang tinggal sebagai saksi kekalahan mereka.
Tun Besar menghela nafas panjang, sungguh dia berasa amat 'terpesona' melihatkan rentetan peristiwa yang berlaku. Dia menoleh kepada Nakhoda Halim, yang tersenyum puas- lagaknya seperti melihat suatu persembahan hiburan golongan orang-orang bangsawan di Melaka. Ah, ini tentu lebih baik lagi, fikirnya.
“Pakcik tahu?” Tun Besar berkata perlahan kepada Nakhoda Halim, matanya masih berkilau-kilauan dengan apa yang dia saksikan.
“Mereka juga tentu tidak menyangka, kail hendak menduga lautan dalam .” Nakhoda Halim hanya mengangguk perlahan, mengiakan kata-kata Tun Besar.
“Benar, Tuan Kecil. Kadang-kadang, musuh terbesar kita bukanlah orang yang berada di hadapan kita, tetapi ketidaktahuan kita tentang kemampuan sendiri. Dan malam ini, mereka telah belajar satu pelajaran yang sangat berharga.”
Tun Besar tersenyum, melihat Parang Bayang yang kini kembali duduk di sudut pencalang, acuh tak acuh seperti sebelumnya. Sosok itu, yang hanya kelihatan biasa-biasa saja, siapa pun pasti tidak menyangka dia seorang yang paling digeruni di lautan ini.
Share this novel