BAB 8: GANGGUAN DI TENGAH LAUTAN
Angin laut berhembus damai. Perjalanan pencalang yang dinakhodai oleh Nakhoda Halim di perairan *Selat Melayu bagai tidak dicabar oleh ‘gangguan’ alam. Air laut tenang membelai. Cahaya bulan dan bintang-bintang yang berselerakan, cerah menghiasi dada langit. Tentunya untuk seorang nakhoda yang berpengalaman, ini adalah suatu perjalanan yang mudah dan lancar.
Nota *: Sebelum dikenali sebagai Selat Melaka, kawasan perairan antara pantai timur Sumatera, selatan Borneo dan utara Jawa sehingga perairan antara pantai timur semenanjung hingga ke pantai barat Borneo dikenali sebagai Laut Melayu (Selat Melaka turut termasuk dalam wilayah ini). Nama 'Laut Melayu' ini atau 'Sea of Malayu' muncul pada karya Ibn Khordadbeh, seorang ahli geografi dan birokrat Parsi yang ditulis pada abad ke-9M. Menurut Manuel Godinho de Erédia, seorang penulis dan kartografer Portugis- telah menulis sekitar 1613 tentang 'Malayo Sea/Malyo Sea/Malayu Sea'-merujuk kepada perairan di antara semenanjung dan Sumatera yang mana ini jelas merujuk kepada Selat Melaka pada hari ini. Terdapat juga satu peta Eropah tahun 1821 Masehi yang mencatatkan tentang 'Malayan Sea' yakni perairan di antara pantai timur semenanjung dan pantai barat Borneo itu yang hari ini dikenali sebagai Laut China Selatan.
Walaupun begitu, Selat Melayu ini bukanlah selat laut yang sebarangan walaupun arusnya sering tenang. Ketenangan pada arus airnya tidak bermakna sekiranya ‘pergolakan’ pelayaran tidak berlaku. *Bajak laut sering sahaja mengintai peluang untuk menjarah kapal-kapal dagang yang melaluinya. Ini amat memeningkan pemerintahanan Melaka kerana ianya boleh menyusutkan aliran perdagangan di rantau ini. Oleh yang sedemikian, semenjak pemerintahan Raja Iskandar Shah (Parameswara), keselamatan kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melayu amat dititikberatkan oleh Sultan demi menjaga kemakmuran Melaka dan negeri-negeri yang bernaung di bawahnya.
Nota *: Lanun
Melalui perluasan tanah jajahan dan naungan Melaka yang pesat dilaksanakan semasa pentadbiran Bendahara Tun Perak, ini memudahkan penguatkuasaan undang-undang laut diperketatkan dan disebabkan itu, perairan di sekitar jajahan Melaka ini bebas dari ancaman-ancaman bajak laut kepada kapal-kapal dagang yang singgah. Kalau ada pun hanyalah kes-kes terpencil yang berlaku dan di kawasan yang jauh dari pelabuhan Melaka. Tambahan pula, **Orang-orang Laut yang pakar dalam pelayaran dan ilmu-ilmu laut telah berbai’ah taat setia kepada Sultan Melaka- turut sama membantu kerajaan menguatkuasakan undang-undang laut di perairan Melaka.
Nota **: Orang Laut juga dikenali sebagai Orang Lanun atau Orang Selat merupakan suatu kelompok suku kaum yang mendiami kawasan pesisir pantai, pulau-pulau dan muara-muara sungai sekitar Semenanjung Tanah Melayu, timur Sumatera, Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Batam, Pulau Tujuh, Temasik dan kawasan sekitar. Suku kaum ini asalnya bajak laut (lanun) yang menguasai Selat Melayu dan amat setia dengan keluarga Diraja Srivijaya. Oleh disebabkan itu, mereka meneruskan kesetiaan dan sokongan kepada keturunan Diraja Srivijaya melalui Parameswara (Putera Raja terakhir dari keluarga tersebut dari Palembang) yang kemudian menggagaskan Kesultanan Melayu Melaka sehingga kepada Kesultanan Melayu-Riau (selepas jatuhnya Melaka ke tangan Portugis).
“Hmmm… nampaknya kita ada ‘teman’ malam ini.” kata Nakhoda Halim seperti berbisik kepada Parang Bayang yang duduk tidak jauh dari tempat kemudi pencalang.
“Hmmm..” balas Parang Bayang acuh tak acuh.
Nakhoda Halim hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Sebagai orang yang berpengalaman, perkara seperti ini bukanlah perkara yang asing padanya. Bukan sekali dua dia menghadapi bajak laut di lautan, sudah tak terbilang lagi kejadian seperti ini berlaku- dia sudah lali dan tidak kisah lagi.
“Eh, mengapa perahu-perahu itu mengepung kita?” Tun Besar mula menyedari sesuatu yang ganjil di sekelilingnya. Nyata, walaupun keadaan sekitar agak gelap dan berbalam-balam cahayanya dek sinaran cahaya bulan- itu tidak menyukarkan Tun Besar untuk mengesan sesuatu yang ‘aneh’ yang berlaku dipersekitarannya.
“Hahaha… Tuan Kecil jangan bimbang- perkara ini adalah biasa.” balas Nakhoda Halim sambil melirik matanya ke arah Tun Besar.
“Siapa mereka, pakcik?”
“Bajak laut!”
“Bajak laut?”
“Ya.”
Nakhoda Halim masih fokus kepada kemudinya. Sesekali dia akan menjeling untuk melihat reaksi Tun Besar. Nakhoda Halim hanya tersenyum melihat Tun Besar tetap kekal tenang dan bersahaja. Sungguh jarang sekali dia dapat melihat seorang budak begitu sifatnya. Kepalang budak, pasti sudah gelabah dan berteriak memanggil ibu dan ayah.
“Kau tidak takut?” soal Nakhoda Halim kepada Tun Besar.
“Mengapa perlu takut?” Nakhoda Halim pula disoal oleh Tun Besar. Nakhoda Halim hanya menggeleng-geleng kepala sambil tersengih.
“Ya, bagaimana kalau mereka cuba berbuat tidak baik. Membunuh atau mencederakan, misalnya?”
“Anak ayam pun ibunya akan marah kalau kita cuba mengusik…” Tun Besar hanya tersenyum.
“Jadi?”
“Apa mereka tidak kenal lelaki itu?” Tun Besar mengisyaratkan maksud kata-katanya kepada Parang Bayang. Nakhoda Halim hanya ketawa terbahak-bahak kerana faham apa yang Tun Besar cuba sampaikan..
“Kau memang betul!” Nakhoda Halim masih ketawa. Parang Bayang hanya mengerling melihat telatah Tun Besar dan Nakhoda Halim. Parang Bayang tidak terasa akan kelucuan melihat tingkah laku mereka berdua tatkala ini, kerana dia masih sibuk mengawasi pergerakan perahu-perahu asing yang kian menghampiri.
“Bagaimana Tuan Bayang?” Nakhoda Halim menantikan keputusan Parang Bayang, tindakan seterusnya.
“Biarkan mereka, aku nak lihat siapa mereka.” Nakhoda Halim mengangguk-angguk faham.
Mereka bertiga hanya menanti. Sesungguhnya, kalau tidak diamati betul-betul- memang tidak akan perasan kehadiran perahu-perahu bajak laut itu menghampiri kerana senyapnya mereka bergerak dan mendayung menghampiri pencalang yang dinaiki oleh Tun Besar, Nakhoda Halim dan Parang Bayang. Begitulah kepandaian dan ilmu laut yang dimiliki oleh bajak-bajak laut Selat Melayu ini. Bukan pelaut yang kepalang.
Tak lama kemudian, suatu teriakan keras kedengaran dan berpusu-pusu pula lembaga-lembaga asing ‘membanjiri’ pencalang yang dinaiki oleh Tun Besar. Suasana menjadi riuh rendah dan gelak ketawa bajak-bajak laut ini seperti telah menerima kemenangan yang besar!
Share this novel