"Bagus! Pastikan Zhariff rasa terseksa. Buat apa yang kita dah rancang!" Datuk Zainal mengangguk beberapa kali sebelum memutuskan talian.
"Apa yang papa dah rancang? Kenapa nak seksa hidup Zhariff, pa?" Mendatar sahaja suara Raisyah. Terkejut Datuk Zainal disergah begitu. Entah bila Raisyah masuk ke bilik bacaannya. Datuk Zainal langsung tidak perasan.
Tajam sahaja mata Raisyah memandang Datuk Zainal. Apa lagi yang papanya tidak puas hati? Selama ini hidupnya dan Zhariff sudah berjaya dihancurkan oleh papanya sendiri.
"Bukan urusan kamu! Jangan masuk campur!!" Tengking Datuk Zainal.
"Cukuplah dengan dendam dan benci papa pada Zhariff. Semua itu tak akan ke mana. Bertaubatlah papa. Zhariff dah cukup menderita dengan apa yang papa buat. Kenapa papa sanggup buat begini pada kami..?" Air mata Raisyah sudah menitis ke pipi.
"Keluar! Papa kata keluar!!" Sekali lagi Datuk Zainal menengking Raisyah. Terangkat sedikit bahu Raisyah terkejut dengan tengkingan Datuk Zainal. Dia terus berlari keluar. Datin Rohana yang baru sahaja ingin menapak masuk ke bilik bacaan tersebut mengucap panjang apabila tubuhnya hampir terlanggar dengan Raisyah yang berlari keluar.
Datin Rohana mengetuk-ngetuk pintu bilik Raisyah beberapa kali. Raisyah di dalam hanya mendiamkan diri. Tiada esakan kedengaran. Hanya air mata sahaja yang keluar berlinangan.
Raisyah membuka pintu setelah lama berdiam diri. Tidak disangka yang Datin Rohana masih berada di hadapan pintu. Wajahnya kelihatan basah dengan air mata. Raisyah terus menerpa memeluk Datin Rohana. Lengan Datin Rohana ditarik agar mengikutnya masuk ke dalam bilik. Daun pintu dikunci dari dalam.
"Mama, Syah nak minta tolong mama." Raisyah bersuara serak. Datin Rohana menanti Raisyah bersuara lagi.
"Mama tahu di mana Zhariff tinggal?" Datin Rohana mengangguk lambat. Dia tahu kerana Zhariff ada juga menghubunginya sebelum ini tetapi dirahsiakan dari pengetahuan Datuk Zainal.
Share this novel